Jumaat, 17 November 2017

Psra

Marziana:
Keputusan Peperiksaan Yang Membunuh Jiwa anak-anak.

Semalam adalah pengalaman kedua saya dan suami menunggu dan bersama anak mengambil keputusan peperiksaan.

PSRA je pun!. Pada sangkaan saya tiada apa yang penting. Tiada siapa peduli pun. Tepat jam 2.30 petang kami tiba di perkarangan sekolah. Pagi sebelum itu, anak saya sudah meminta doa restu." Kita jumpa petang nanti ya kakak!" Saya berjanji. Bicara saya habis tepat jam 1.30 di Mahkamah. Menderu suami memandu Alza uzur kami dengan belting pecah dan cermin retak serta minyak yang mahal. Kelibatnya resah menyambut kami tepat jam 2.30. Kepalanya terjongol dari kamar dewan melilau mencari kami. Berlari dia tanpa kasut memimpin kami.Tangan bapanya terus dipaut mengiringi kami ke dewan.

ketika itu saya sedar, jiwanya sangat rapuh ketika itu. Saya semakin bimbang melihat lautan anak-anak yang lain. Apakah jiwa mereka juga serapuh anak saya?

Bagaimana jika keputusan diumumkan dengan hanya memanggil mereka yang mumtaz sahaja dan anak-anak yang lain ditinggalkan kerana keputusan mereka tidak mumtaz?

terganggu jiwa saya sambil mendengar pengumuman.

Tetapi saya berada di sekolah yang buat pertama kalinya tidak  membunuh jiwa anak-anak itu. Guru tersebut meminta anak-anak melakukan sujud syukur terlebih dahulu. Meminta mereka bersyukur di atas keputusan. Redha dengan keputusan atas usaha dan doa mereka. Malah berulang kali guru tersebut mengingatkan bahawa tiada pengumuman siapa yang mumtaz atau jayyid jiddan. Maka sesi berlangsung dengan pemberian sijil terus kepada anak-anak.

"Thurayya Fadhilah Binti Mohd Fadzli"

Dia bangun. Dadanya berombak menahan sebak. Ketika kembali ke pangkuan rakan baiknya, kelihatan dia sedang dipujuk.  Saya pasrah.

Dia bingkas bangun dan berlari ke arah saya. Air matanya merambu. Menangis semahunya.

Saya panik. Air mata saya juga deras. Bapanya saya panggil. (Ok.drama sangat!)

akhirnya dia kembali tersenyum bersama rakan-rakannya.

Begitulah kerapuhan jiwa anak-anak. Itulah pertama kali anak saya mendapat keputusan peperiksaan besar secara penuh selepas keputusan UPKKnya "hilang" beberapa bulan yang lalu (menyusahkan orang ok!). Maka air matanya adalah untuk beberapa perkara termasuk merasai melihat keputusan yang sebenar.

Tetapi ada perkara yang lebih besar. Bagaimana sekolah mampu memimpin emosi anak-anak tanpa perlu mengasingkan anak-anak. Bagaimana sekolah itu semalam memberitahu anak-anak, kami sayang anak-anak sama sahaja baik yang mumtaz mahupun yang musaadah. bagaimana sekolah itu melatih anak-anak tunduk dan sujud syukur terlebih dahulu sebelum keputusan diambil sebagai tanda syukur atas segala nikmat dan inayahnya.

Ya Tuhan! Terima kasih. Buat pertama kalinya tiada jiwa anak-anak yang dibunuh oleh keputusan peperiksaan!
Tahniah buat semua pelajar Sekolah Rendah Islam ABIM! ;)

Stand tall, fly high!
Mak Thurayya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan