Pentas Sunda sebagai benua luas dan tenggelam kemudiannya memang tidak dapat dinafikan. Tetapi pada waktu bila tenggelamnya ia sebenarnya masih kabur. Memegang tanggapan pengkaji Barat bahawa ia berlaku ketika zaman ais mula berakhir 22,000 tahun lalu dan selesai tenggelam 6,000 tahun lalu adalah semata-mata tiada kajian lain yang mempercanggahnya.
Jika kita lihat semula persoalan kaitan antara etnik Sabah dengan etnik Sumatera Utara ataupun Kadazandusun dengan Batak, persoalan mana datang kaitan antara mereka dengan lokasi masing-masing yang mustahil, ditambah tiada jawapan dalam mana-mana sumber yang di cari selama ini, rupa-rupanya perkaitan itu ada jika dilihat benua Sundaland yang belum tenggelam.
Jika mengikut kira-kira akademik, itu adalah sebelum 22,000 tahun lalu. Tetapi mengikut kira-kira dalam agama wahyu seperti Islam, Kristian dan Yahudi, manusia moden dimulakan, jika tidak dimulakan semula, melalui penciptaan Nabi Adam kurang 8000 tahun lalu. Pada peringkat menggemilangkan bangsa sendiri ramai yang memilih saintis daripada ilmuwan tiga agama. Tetapi dalam hidup seharian, habis dipangkah pendapat sains.
Pada kami, air laut mula naik 22,000 tahun lalu adalah semata-mata pendapat yang masih boleh dicabar. Tetapi sementara tiada yang mencabar, ia perlu dijadikan wadah dan fakta dalam menceritakan masa lalu.
Berbalik kepada gambar, nilaikan perkaitan jika diandaikan satu bangsa yang sama mendiami muara sungai dahulu sebelum benua ini tenggelam yang kini menjadi Selat Melaka dan muara kepada sungai dari Indo-China yang kini berada di tengah-tengah Laut China Selatan.
Andaikan pula jika mereka berhijrah dari pendalaman Himalaya menghilir turun melalui sungai yang mengalir ke Laut China Selatan masa lalu dan pada masa yang sama menemukan sebuah lembah subur bermuarakan sungai ke Lautan Hindi dahulu yakni petempatan asal sebelah kiri dalam gambar. Dengan menguasai pintasan dua laut ini iaitu Lautan Hindi dan Laut China Selatan melalui gabungan jalan darat seperempat dan selebihnya jalan sungai yang cukup besar untuk dimudiki kapal dahulu, mereka merupakan bangsa maju yang disinggahi pedagang timur dan barat.
Mengukuhkan teori ini, apabila air laut naik dalam kadar perlahan-lahan tetapi drastik, masing-masing di dua muara dua laut ini melarikan diri ke kawasan lebih tinggi yang mereka ketahui. Yang di pinggir Lautan Hindi lari menghulu sungai ke pergunungan Sumatera dan hari ini menjadi Batak dan di pinggir Laut China Selatan lari menghulu sungai ke rantau hari ini letaknya Brunei dan jauh lebih tinggi mengungsi ke pergunungan Sabah dan hari ini menjadi Kadazandusun-Murud. Pengungsian ini lebih jauh hingga ke kepulauan Filipina.
Kaitan yang mungkin membenarkan bahawa hal ini adalah baharu ialah Batak, pribumi Borneo dan orang Filipina masih segar menggunakan perkataan 'manuk' merujuk kepada 'ayam'. Bahkan orang Sunda nun di bucu selatan benua juga merujuknya kepada 'burung' yakni keluarga besar bagi spesis ayam.
Ini lebih logik dari arkeologi semasa yang menyatakan pribumi borneo datang dari Taiwan melalui Filipina. Masa bila pula manuk terbang ke Danau Toba? Jika dakwaan itu mengambil kira benua yang belum tenggelam, mengapa susah-susah masuk ikut Filipina?
Sebab rantau tengah tidak mereka huni adalah berbalik kepada pendedahan kami sebelum ini yang ia adalah berciri kering seperti savana tapi dalam bentuk tersendiri. Ini mungkin penyebab bahawa orang asli di Semenanjung yang berciri negroid tetap menguasai kawasan ini. Seperti puak asli negroid lainnya, kawasan sebegini memang habitat asal bagi mereka identikal dengan yang di pulau-pulau timur Indonesia, Australia timur dan tentu sekali, Afrika.
Lalu dalam gambar ini kami gandingkan semula pakaian tradisi kaum berciri mongoloid ini dengan versi setelah Islamisasi yang masih menunjukkan ciri jiwa yang sama dalam mengevolusikan pakaian asal.
Seperti biasa, perlu diterangkan bahawa kami bukanlah pihak yang berkelayakan akademik dalam menyatakan inilah faktanya. Bahkan kami memaparkannya agar ada penggiat akademik yang terpanggil untuk mengkaji dan kami menyokong apa jua hasil kajiannya nanti. Tidak mungkin kita boleh mempercanggah kajian barat tanpa bukti dan hanya melalui dakwaan semata-mata. Takkan lah kami pula yang nak kaji. Malulah negara nanti. Takkan lah tak cukup-cukup lagi.
Tetapi hanya menanggapi ada sesuatu yang disembunyikan tanpa berusaha mencari adalah seperti berlari menjerit-jerit melintas jalan sambil menutup mata berulang kali. Lambat laun dilanggar jua dan kembali sepi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan