Kedatangan sekumpulan pendakwah Para Aulia’ dan Wali yang berketurunan Rasullulah S.A.W dari titian Syaidina Hussein Ibni Syaidina Ali Ibni Abi Talib pada abad ke 14 Masehi. Setelah misi dakwah mereka di Deccan Selatan India selesai dan seterusnya mereka berlayar membawa syiar Islam di seluruh pelusuk Asia Tenggara khususnya Alam Melayu Nusantara, yang pada ketika itu menganut Agama Hindu dan Buddha serta Kepercayaan Nenek Moyang.
Maka bermulalah satu misi memperkenalkan Agama Islam keseluruhannya termasuklah langkah serta gerak tari seni mempertahankan diri iaitu ilmu-ilmu perang yang selepas itu dikenali sebagai Silat, ditambahkan pula pengisian rohani Islam yang dikenali sebagai Seni Kebatinan Islam, melalui kekuatan Zikirullah dan Ayat-ayat suci Al-Quran.
Mereka ini dikenali dengan gelaran Wali Tujuh.
1. YM SAIYID HUSSEIN JAMADIL KUBRO IBNI SHEIKH AHMAD JALAL TITIAN DARIPADA SYAIDINA HUSSEIN IBNI SYAIDINA ALI IBNI ABI TALIB ATAU MAULANA HUSSEIN.
2. YM SYEIKH THANA’UDDIN IBNI SHEIKH AHMAD JALAL ATAU ABDUL KARIM AS SAMAN AL-MADANI ATAU LEBIH DIKENALI SEBAGAI ADI PUTRA.
3. SYEIKH ZAINUDIN AL-KHATIB TUAN JANA KHATIB ATAU SINGAPURA DILANGGAR TODAK.
4. SAIYID BARAQAT ZAINOL ALAM –MENUJU KE BRUNEI DAN MENJADI SULTAN BRUNAI DENGAN GELARAN SULTAN BARAQHAT.
5. SYARIF MUHAMMAD KEBUNGSUAN-MENUJU KE KEPULAUAN SULAWESI DAN PEMERINTAH DI MINDANAO FILIPINA DAN SULU.
6. TUAN SYARIF AULIA ATAU SYEIKH ABDUL KARIM AL-MAKDUM-MENJADI ULAMA BESAR MELAKA DI MAKAMKAN DI PANGKALAN KEMPAS PORT DICKSON.
7. ARWAHI GHOIBIYAH.
Kumpulan Jemaah Aulia’ dan Wali Allah tersebut diketuai oleh YM SAIYID HUSSEIN JAMADIL KUBRO IBNI SHEIKH AHMAD JALAL TITIAN DARIPADA SYAIDINA HUSSEIN IBNI SYAIDINA ALI IBNI ABI TALIB ATAU MAULANA HUSSEIN .
Setelah beberapa lama dalam pelayaran, mereka tiba di Pasai. Dari situ mereka berpisah dan meneruskan hala tuju misi dakwah ke Melaka, Tumasek (Singapura), Tanah Jawa, Aceh Sumatera Utara, Sulawesi, Mindanao, Kalimantan, Kelantan, Pattani, Kemboja dan Champa.
Salah seorang daripada rombongan tersebut, bernama Sheikh Zainuddin Al-Khatib (Tuan Jana Khatib) dari Pasai meneruskan misi dakwahnya ke Tumasek (Singapura). Raja Tumasek pada ketika itu bernama Paduka Seri Maharaja. Pada suatu hari Permaisuri Baginda telah kagum mendengar kekeramahan Tuan Jana Khatib dan menitahkan beliau menunjukkan kebolehan.
Tuan Jana Khatib menyatakan bahawa dengan kudrah Illahi segalanya boleh terjadi (Kun Faya Kun). Tuan Jana Khatib telah merenung pada sebatang pohon pinang dan dengan kekeramahan beliau dari hujung hingga ke pangkal pohon pinang tersebut terbelah dua. Bila ini terjadi Raja Tumasek telah dihasut oleh Pembesar Istana yang menyakinkan bahawa takhta Raja boleh dirampas semudah peristiwa pohon pinang. Raja Tumasek menitahkan agar Tuan Jana Khatib dihukum bunuh.
Sebelum kemangkatan, beliau melafazkan ‘Tanah Tumasek akan musnah dan tidak akan ada Raja Melayu memerintah’. Sehari selepas kemangkatan Tuan Jana Khatib satu peristiwa yang tercatat di dalam sejarah iaitu seluruh pantai Tumasek dilanggar oleh ikan Todak sehingga beberapa minggu yang menyebabkan ramai rakyat Tumasek terutama Armada Laut Tumasek yang terkorban, ini menyebabkan Raja Tumasek gering dan berdukacita.
40 hari selepas Tumasek dilanggar Todak, Armada Majapahit menyerang sehingga Pulau Tumasek menjadi ‘Padang Jarak Padang Tekukur’. Seperti sumpah Wali Allah, Tumasek atau Singapura tidak lagi diperintah oleh Melayu hingga kini.
Manakala yang lain meneruskan misi dakwah ke beberapa negeri di Nusantara. Sayed Husein Jamadil Kubra bersama adiknya iaitu Sayed Thana’uddin atau gelarannya Sheikh Abdul Karim As-Saman Al-Madani ke Kelantan.
Setelah disambut meriah oleh Raja Kelantan dan memperkenankan untuk menempatkan beliau dua beradik tinggal di perkarangan Istana, tetapi mereka lebih selesa berdakwah serta berkhalwat (bersunyi-sunyian) di dalam Gua Puncak Bukit Panau sambil menyebarkan Islam dan berdakwah.
Sayed Thana’uddin atau Sheikh Abdul Karim As-Saman Al-Madani berulang alik dari Bukit Panau ke Pulau Besar Melaka dan Gunung Ledang berkhalwat serta berdakwah, mengajar ilmu hikmah dan kebatinan Islam. Beliau juga dikenali sebagai Tuan Syarif Aulia atau Sang Adiputra yang menjadi guru kepada Laksamana Hang Tuah lima saudara di Gunung Ledang.
Manakala di Pulau Besar Melaka beliau menjadi guru kepada Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Kalijaga, yang kemudiannya dikenali sebagai Wali Sembilan di Tanah Jawa. Manakala murid beliau Sheikh Sutabris juga menjadi Wali dan Pendakwah terkenal.
Sheikh Abdul Karim As-Saman Al-Madani mangkat ketika berumur 120 tahun. Jenazah beliau disemadikan / dimakamkan di puncak Bukit Panau, Kelantan dan ada juga mendakwa jenazah beliau dimakamkan di Pulau Besar Melaka.
Pulau Upih adalah sebuah pulau yang kecil di pesisiran pantai Melaka. Di situ juga ada penempatan pondok perguruan dan pusat dakwah yang terkenal di seluruh Nusantara, di bawah bimbingan Sheikh Awlul Islam atau Maulana Isyak ayahanda kepada Sunan Giri.
Beliau juga menjadi guru kepada Wali–Wali Sembilan di Tanah Jawa, Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Acheh, Champa dan Pattani. Pesantren ini banyak mengeluarkan ulama serta para Wali–Wali Allah yang terkenal yang menyinarkan cahaya Islam di seluruh alam Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan