Rabu, 9 Mei 2012

beldek


Saya telah mendengar secara rasminya pengumuman PM Najib tentang ‘durian runtuh’ seperti yang heboh diperkatakan sejak hampir setahun yang lalu. Saya yang bukan peneroka ini pun tertunggu-tunggu pengumuman ‘durian runtuh’ ini kerana ia telah mendapat liputan media yang meluas kerana ia berkait rapat dengan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada bulan Jun yang akan datang ini.


Dengan skala publisiti yang meluas ini saya beranggapan yang ‘durian runtuh’ yang diperkatakan oleh pucuk pimpinan kita itu akan melebihi RM100,000 (satu ratus ribu) seorang untuk diseimbangkan dengan publisiti yang teramat meluas sejak berbulan-bulan dahulu. Cara PM Najib bercerita tentang ‘durian runtuh’ itu, seolah-olah jumlah yang akan diterima oleh peneroka itu tidak boleh kurang dari RM100,000 dan dibayar serentak kepada setiap orang peneroka yang telah meneroka hutan belantara untuk dijadikan perladangan yang terbesar di dunia.

Rupa-rupanya jumlahnya hanyalah RM15,000 (lima belas ribu) sahaja dan akan diberikan dalam tiga peringkat selama tiga bulan. Kalau dikomplain, nanti dikatannya peneroka tidak bersyukur. Kalau tak komplain pula, ia sangat tidak berbaloi dengan publisiti yang meluas berterusan sejak beberapa bulan yang lalu.

Saya hanya berharap pemimpin kita tidak lagi membuat kenyataan menghina rakyat dengan menasihatkan mereka untuk berbelanja secara betul dan berhemah seperti mereka lakukan semasa memberi bantuan seratus ringgit untuk pelajar sekolah beberapa bulan yang lalu.

Kita masih ingat bantuan RM100 untuk kanak-kanak sekolah yang lalu, pemimpin setinggi pangkat seperti Muhyiddin telah beberapa kali membuat kenyataan meleter supaya wang seratus ringgit itu dibelanjakan secara berhemah seolah-olah wang yang diberikan itu berjumlah setengah juta ringgit jumlahnya. Ada di antara yang saya kenal tidak mahu menerima bantuan itu kerana terasa hati dengan leteran Muhyiddin Yassin itu.

Bantuan RM100 itu telah disiarkan berulang kali oleh media massa elektronik arus perdana berminggu-minggu lamanya dan menampakkan sangat pemimpin kita meminta penerima untuk berterima kasih kepada UMNO hingga ke liang lahat. Itu baru bantuan RM100. Tidak tahulah bagaimana pemimpin-pemimpin tertinggi kita akan mengungkit isu ‘durian runtuh’ untuk peneroka Felda ini pula.

Mungkin mereka (pemimpin) mahukan peneroka untuk memberikan pesanan dan wasiat kepada anak-anak mereka sebelum mati untuk memberi undi kepada UMNO jika mereka (peneroka) sudah tiada lagi di dunia ini. Sejumlah apa sekali pun yang kita dapati, kita wajib bersyukur, tetapi apa yang saya persoalkan ialah pemimpin utama kita terminta-minta dan mengungkit-ungkit dan memaksa peneroka untuk menzahirkan perasaan terima kasih mereka (peneroka) kerana kepentingan politik kepartian dan peribadi.

Peneroka tahu bahawa wang tersebut adalah wang yang datangnya daripada titik peluh mereka sejak puluhan tahun dahulu, bukannya wang saku pucuk pimpinan kita itu. Hanya pihak kerajaan cuba untuk menunjukkan bahawa pemberian ini seolah-olah datangnya dari kantung kerajaan untuk digunakan sebagai bahan ungkitan dalam masa menunggu PRU yang akan datang ini.

Lain-lain perkataan, peneroka dituntut untuk berterima kasih walaupun apa yang mereka terima itu adalah wang mereka sendiri. Hanya mungkin peneroka belum lagi mengetahui bahawa kantung Felda telah kekeringan kerana disalahgunakan oleh pimpinan negara hari ini.

Selepas setahun penyenaraian itu nanti, peneroka dan rakyat akan melihat hasil kerja yang tidak jujur ini. Kata perbilangan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan