Rabu, 6 Februari 2013

taqwa

SIFAT DAN SIKAP ORANG BERTAQWA 

Orang bertaqwa itu mempunyai sikap yang tertentu terhadap berbagai orang dan perkara. Di antara sikap-sikap tersebut adalah seperti berikut:

1. Sikap orang bertaqwa dengan Allah,Tuhannya

Tuhan sangat dibesarkannya melalui ibadah sembahyang, zikir, membaca Al Quran, tasbih dan tahmid. Rasa bertuhan sangat mendalam hingga terserlah pada mukanya dan sikap hidupnya. Seperti merendah diri, pemalu, sabar, redha, tenang, pemurah, tawakal, pemaaf, bertolak ansur, berdisiplin sehingga melihat mukanya mengingatkan kita kepada Allah dan hari Akhirat. Melihat mukanya terasa senang dan tenang.

2. Sikap orang bertaqwa dengan syariat

Syariat sangat dijaga, pakaiannya menutup aurat dan bersih serta kemas. Makan minumnya sangat dijaga dari yang haram dan syubhat. Pergaulan dijaga daripada bergaul bebas lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Matanya selalu ditundukkan, percakapannya disukat dan dikawal daripada tersalah dan tersilap. Pendengarannya juga begitu, sangat dijaga daripada mendengar perkara-perkara yang haram, masanya tidak dibiarkan terbuang dengan sia-sia. Setiap peralihan waktu dia pandai menggunakannya untuk perkara-perkara yang berfaedah dengan kerja-kerja yang sesuai dengan waktu itu.

3. Dengan gurunya

Dia sangat menghormati gurunya. Malu di hadapannya dan merendah diri dengannya. Sekalipun guru yang mengajarnya tentang ilmu dunia. Jasa gurunya selalu dikenang, disebut-sebut nama dan jasanya. Bila ada masa selalu menziarahinya, memberi bantuan dan hadiah. Bukan sahaja gurunya dihormati, bahkan isteri-isteri gurunya dan anak-anak gurunya dihormati juga. Kesalahan gurunya dilupakan, apatah pula dihina dan diberi malu serta diberi umpat. Dia selalu mendoakan gurunya.

4. Dengan ibu bapa

Ibu bapa sangat dihormati, sangat merendah diri di hadapan mereka. Jasa mereka selalu dikenang, bahkan dibalas selalu. Kesusahan mereka dibantu. Kalau mereka orang senang, diberi hadiah selalu. Selalu diziarahi, sering didoakan dan aib mereka ditutup. Bercakap dengan ibu bapa tutur bahasa sangat dijaga. Kalau ibu bapanya memarahinya, dia tidak akan melawan. Kalau pun perlu bercakap, sekadar menjelaskan keadaan.

5. Dengan kawan

Pandai bergaul dengan kawan, setia dengan kawan. Kesusahan kawan ditolong dan dibantu, apatah lagi kalau diminta. Suka menziarahi kawan kalau ada masa. Janjinya ditepati, aib kawan ditutupkan, anak dan isteri kawan dimuliakan, kesalahan kawan dimaafkan walaupun tanpa diminta. Kalau dia yang membuat salah cepat-cepat dia meminta maaf. Menziarahi kawan memilih waktu. Waktu ziarah tidak meliarkan mata. Kehormatan keluarga kawan dijaga.

6. Dengan umum manusia

Dalam pergaulan dengan umum manusia pandai pula menye-suaikan diri. Dalam pergaulan dia sedar diri hingga pandai meletakkan diri pada tempatnya sesuai dengan kedudukannya. Pandai melayan orang sesuai dengan kedudukannya dan mengikut tarafnya. Kalau dia seorang yang pandai atau kaya atau berpangkat, dia tidak sombong atau menunjuk-nunjuk diri di depan orang ramai. Dia tetap tawadhuk dan merendah diri. Kalau dia orang yang serba kurang tidak pula rasa rendah diri atau hina diri lebih-lebih lagi tidak mudah dihambakan orang. Kalau dia susah dia tidak akan meminta-minta apatah lagi menipu. Dia tetap menjaga maruah dirinya. Mudah memberi salam dan mudah pula menjawab salam orang.

7. Dengan tetamu

Dia sangat menghormati dan mengutamakan tetamu. Keper-luan tetamunya, sangat dijaga seperti makan minum dan tempat tinggalnya. Datangnya disambut, kepulangannya dihantar sampai di hadapan pintu atau sampai di hadapan rumahnya hingga hilang dari pandangannya. Dia memberi hadiah kepada tetamu atau memberi buah tangan kalau ada dan di waktu mampu.

8. Dengan anak isteri

Dia mengelokkan pergaulan dengan mereka. Memberi nasihat dan memimpin mereka selalu. Kesilapan mereka dibetulkan dengan bijaksana. Sabar dengan karenah mereka, beribadah fardhu bersama, makan bersama. Kewajipan terhadap anak isteri ditunaikan. Dia mendidik dan mendisiplinkan mereka di dalam semua perkara. Anak-anak yang kecil ditunjukkan kasih sayang. Yang masih belajar didisiplinkan mereka. Tidak sangat ditunjukkan kasih sayang dan tidak pula ditunjukkan benci. Anak yang sudah dewasa atau yang sudah berkeluarga, mereka di buat macam kawan, diajak berbincang dan berbual-bual. Dengan isteri bergurau senda yang tidak berlebih-lebihan, berbual-bual dengannya sesuai dengan kedudukan isteri untuk mengambil dan menjinakkan hatinya. Bagi orang yang ada berbilang-bilang isteri, bertolak ansur dengan mereka dalam hal-hal yang dibolehkan. Boleh juga tidak bertolak ansur di masa-masa yang tertentu walaupun dalam hal-hal yang dibolehkan untuk mendidik mereka.

9. Dengan situasi

Orang bertaqwa sentiasa menjaga maruah diri. Kalau dia lalu di tempat-tempat yang penuh dengan keadaan-keadaan yang boleh melalaikan dan yang boleh jatuh kepada haram, atau yang boleh menggugat iman dia tidak akan terpengaruh. Dia tetap terhormat dengan tidak meliarkan pandangan dan tidak membuka telinga untuk melihat dan mendengar perkara-perkara yang melalaikan itu. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang terjadi. Hatinya tidak rosak oleh suasana sekelilingnya. Keadaannya macamlah ikan di laut. Dia tidak masin oleh masinnya air laut.

10. Dengan ilmu

Orang bertaqwa sentiasa menambah ilmu dan pengalaman. Makin berumur semakin banyak ilmu. Semakin tua, ilmunya juga ikut tua dan matang. Pengalamannya semakin luas, sangat peka dengan ilmu. Setiap kejadian diambil iktibar dan pengajaran. Setiap isu semasa pandai mengambil hikmahnya, serta pandai menilai buruk baiknya. Hingga mendapat ilmu pengajaran darinya. Serta dia boleh menetapkan pendirian dan sikapnya. Orang bertaqwa itu sepatutnya mengambil tahu setiap kejadian di dunia ini. Sebab itu orang bertaqwa tidak mudah tertipu dan ditipu dan tidak mudah terpengaruh dengan yang negatif. Mereka mudah terpengaruh dengan yang positif. Orang bertaqwa tidak mudah dicorak tetapi mudah mencorak.

11. Dengan masa

Orang bertaqwa sangat menjaga masa. Masa tidak dibuang dan disia-siakan begitu saja. Setiap masa diisi dengan sesuatu yang berfaedah. Bahkan dia pandai membahagi-bahagikan masa mengikut jadual hidupnya. Ada masa untuk beribadah, ada masa untuk membaca, ada masa untuk berjuang, ada masa untuk menziarah, ada masa dengan anak-anak dan isteri-isteri, ada masa untuk tidur baring dan rehatnya. Kalau dia orang penting, ada masa untuk tetamu dan orang-orang yang hendak berjumpa dengannya. Begitulah seterusnya. Baginya masa itu sangat berharga. Masa adalah umurnya. Mensia-siakan masa ertinya mensia-siakan umurnya. Dia sudah tentu tidak akan mensia-siakan umurnya.

12. Dengan harta dan mata benda

Orang bertaqwa, bila berhadapan dengan harta benda dan kekayaan, sangat cemas dan bimbang, takut-takut ia disalah-gunakan. Kerana itu dia bersyukur dengan Tuhan. Digunakan harta benda dan kekayaan itu untuk Allah dan untuk berkhidmat kepada manusia lebih-lebih lagi dia sangat cemas kalau-kalau dia terbuat kerja-kerja yang boleh membazirkan harta benda dan kekayaan itu atau membuangnya kepada yang haram dan sia-sia. Orang bertaqwa merasakan harta benda dan kekayaan adalah amanah Tuhan yang perlu dipertanggungjawabkan se-baik-baiknya. Iaitu untuk diagih-agihkan kepada yang berhak dan yang empunyanya, terutamanya kepada fakir miskin dan kepada jihad fisabilillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan