Sabtu, 4 Oktober 2014

10 nasihat daie

Nasihat Buat Para Dua't



[Kredit]

Beberapa hari lepas saya diberi peluang yang cukup berharga oleh Allah untuk bertemu mata dan berborak mesra dengan sahabat lama saya, Inche Q. Beliau adalah bekas ahli sebulatan gembira semasa di Kerajaan Bersatu dahulu.

Sedar tidak sedar, apabila kami melontar semula (Baca: Throwback), sudah kurang lebih tujuh tahun kami menyertai gerabak tarbiyah ini. Ya, tujuh tahun!

Saya tahu, saya tahu. Tidaklah selama masyaikh dan asatizah yang sudah puluhan tahun berjuang dan terus tsabat berada di atas jalan ini.

Namun untuk saya secara peribadi, saya merasakan tujuh tahun itu boleh tahan lamanya. Jika berkahwin tujuh tahun yang lalu, anak pertama saya kini kemungkinan besar sudah bersekolah tadika! Wah! Ahahaha. 

Pandang kiri, pandang kanan. Jalan laju seperti tiada apa-apa yang berlaku. 

Saya amat bersyukur kepada Allah, kerana sehinggi kini, sehingga saat ini, Dia masih lagi mahu memberikan saya peluang dan ruang untuk bersama-sama di dalam gerabak ini. Gerabak yang sentiasa bergerak laju dan akan meninggalkan sesiapa sahaja yang tidak seriyes dan bersedia. 

Segala puji bagi Allah kerana mengurniakan nikmat besar yang meluhuri dan memberkati ini. Sungguh, tiada siapa yang dapat menempuhi sesuatu jalan tanpa inyaha dan izin daripadaNya. 

Nanges sekejap.

Oleh sebab itu, saya ingin berkongsikan nasihat dengan anda semua. Nasihat marhaen datangnya dari seorang yang marhaen juga, yang sudah kurang lebih tujuh tahun berada di atas jalan ini.

Yang memberi nasihat ini, tidaklah lebih baik daripada anda yang menerimanya. Tidak sama sekali. Tetapi tidaklah bermakna saya tidak boleh berkongsikan sedikit pengalaman dan panduan yang mungkin berguna untuk anda semua bukan?

Bukankah agama ini didirikan atas dasar nasihat? Bukankah orang yang rugi adalah mereka yang tidak saling menasihati dengan kebenaran, kesabaran dan kasih-sayang?

Jadi ijinkan saya untuk berkongsi sedikit nasihat- nasihat yang sudah tentunya peringatan untuk diri saya dahulu - agar dapatlah menjadi saham-saham sorga buat saya suatu hari nanti. Nasihat ini terutamanya saya tujukan buat anda yang bergelar dua't. Senyum.

Baiklah. Anda sudah bersedia? Kali ini saya nasihatkan jangan sediakan popkon perisa apa pon, kerana khuatir anda tersedak atau tercekik nanti. Heh. 

Tarik nafas. Bismillah.

Pertama, kena selalu betulkan dan perbaharui niat. Selalu.

Kenapa aku nak join usrah? Kenapa aku bersama dakwah? Kenapa aku nak buat semua kerja-kerja ni? 

Adakah aku punya agenda peribadi? Adakah kerana aku mahu nama dan dipuji? Atau kerana ada akhawat yang dichentai? Ehem. 

Tanya balik diri. Persoalkan semula motif kita mahu bersama gerabak diri. Malah kena muhasabah, adakah keputusan yang telah banyak merubah diri kita ini sebenarnya adalah keputusan yang tepat. 

Kerana saya telah melihat ramai ikhwah (dan mungkin juga akhawat) yang kecundang di atas jalan ini. Tidak mustahil sekiranya mereka bermula dahulu dengan niat yang salah.

Niat yang betul akan memandu kita pergi jauh. Sedangkan niat yang terpesong dan salah, hanya akan membawa kita jatuh ke dalam gaung yang dalam. 

Kedua, mujahadah itu kena besar. Bukan sekadar mujahadah tahu? Tetapi mujahadah yang besar dan benar.

Mungkin ungkapan seperti "Jalan ini tidak dibentangkan dengan permaidani merah"atau "Jalan ini sumpah panjang" atau "Ini bukan jalan arnab gemok berlari riang" seperti sudah klise dan terlalu biasa di telinga kita. 

Namun apabila kita sendiri sudah ditampar, dibelasah dan digomol sehingga terduduk malah terguling-guling, baharu lah kita tahu tinggi rendahnya sang langit biru.

Apa maksud mujahadah yang besar? Hendaklah kita melawan sehabis-habisnya segala bentuk bisikan syaitonirojim mahupon nafsu diri yang mahu kita tunduk kepada ujian dan cobaan yang datang melanda.

Apa pula maksud mujahadah yang benar? Kita bermujahadah kerana Allah. Kita berperang melawan kefuturan kerana kita damba pada chentaNya. Kita bersungguh-sungguh berkorban tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana mahu membela agama ini. 

Hanya mujahadah yang besar dan benar sahaja yang akan menyelamatkan kita daripada mehnah dan tribulasi yang melanda. Kerana mujahadah itu menguatkan. Mujahadah itu menghidupkan. 

Mujahadah itu pahit kerana sorga itu manis.

"Apakah kamu mengira kamu akan masuk sorga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad dalam kalangan kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar."
[ali-Imraan, 3:142] 

Ketiga, sabar. Bersabar dengan fitrah jalan perjuangan ini yang tidak semudah seperti menjadi Puan Sabariah. Eh.  

Setelah bertahun lamanya berada di atas jalan ini, kita mungkin mengharapkan sekurang-kurangnya akan kelihatanlah sinar di hujung terowong. Akan mula tampaklah mentari yang sudah lama ditutup gerhana. Akan mula keluarlah pucuk-pucuk tunas yang telah sekian lama kita tanam, baja dan jaga biji benihnya.

Tetapi kita hampa. Kita terus tergaru-garu kepala penuh kehairanan.

Bukan sahaja tiada sinar di hujung terowong itu. Bukan sahaja mentari tidak menampakkan wajahnya. Bukan sahaja pucuk tak kembang membunga. 

Namun terowong semakin gelap pekat. Langit semakin mendung kehitaman. Pucuk layu menyembah bumi.

Lihatlah sekeliling! Bukankah nasib umat Islam kian hari makin memburuk? Bukankah penyakit umat Islam semakin lama semakin membusuk?

Pada masa yang sama, kemaksiatan semakin berleluasa. Taghut semakin hebat melebarkan sayapnya. Jahiliyyah pula semakin menjadi-jadi ganasnya.

Sekiranya kita melihat ini dengan pandangan mata orang yang tidak sabar, pastilah kita akan mudah menjadi lemah. Andai kita mengambil kira semua ini sebagai indikator bahawa usaha kita berdakwah adalah sia-sia, sudah tentu kita akan pantas mengalah. Sudah berapa ramai mereka yang gugur dan futur di atas jalan chenta di jalan pejuang ini, hanya kerana mereka tidak mampu bersabar? Aduhai.  
"Dan betapa banyak Nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak (menjadi) lemah kerana bencana yang menimpanya di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak (pula) menyerah. Dan Allah menchentai orang-orang yang sabar."
[ali-Imraan, 3:146]

Namun sabar itu tidak pula bermakna tunggu dan lihat. Tidak pula sabar itu bermaksud duduk diam goyang kaki tidak berbuat apa-apa. Dan sabar itu tidaklah bererti redha tanpa berbuat apa-apa.

Maksud sabar yang lebih tepat adalah menerima ketentuan dan takdir Allah dengan rasional dan bijaksana; pada masa yang sama berusaha dan bertindak sebaiknya untuk memperbaiki keadaan yang ada, dengan segala wasilah dan kemampuan yang ada. 
"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar."
[al-Baqarah, 2:153]

Tak mungkinlah Allah akan menjanjikan sesuatu yang cukup besar kepada mereka yang hanya duduk, tunggu dan lihat sahaja, sekiranya itu yang dimaksudkan dengan sabar, bukan? Senyum.
[Kredit]

Keempat, terbuka dalam menerima kritikan dan teguran. 

Saya rasa sifat ini jarang sekali ada pada diri seorang al-akh atau al-ukht yang pernah saya jumpa di atas jalan ini. Sedangkan sifat ini merupakan penanda aras keberkesanan tarbiyah pada seseorang itu.

Tarbiyah yang benar-benar berjaya akan menundukkan keegoan seseorang itu. Tarbiyah yang meresap ke dalam jiwa akan menghilangkan segala sifat takabbur dan angkuh pada diri seseorang itu. Dan tarbiyah yang benar-benar efektif mampu untuk menghancurleburkan jahiliyyah yang berkarat di hati.

Maka latihlah telinga itu untuk tahan menerima teguran. Anggaplah teguran yang diberikan kepada kita itu adalah tanda kasih dan sayang orang yang menegur. Lihatlah kritikan yang dilontarkan itu sebagai buah-buah yang wangi dan harum, dan bukannya batu-batu yang tajam dan menyakitkan. 

InshaAllah kita akan lebih sejahtera dan bahagia apabila kita tidak lagi menganggap teguran dan kritikan sebagai tanda orang dengki kepada kita, tetapi surat chenta dari Allah untuk memperbaiki kelemahan yang ada. 

Kelima, banyakkan membaca dan bergaul mesra (Baca: Muayasyah).

Sekarang ni zaman intelektual. Maklumat dan info terkini boleh diperolehi bila-bila masa dengan mudah dan pantas.

Kadang-kadang tu terasa seram sejuk dan geli tengkuk juga, apabila mendengar orang-orang yang mendakwa diri sebagai pejuang Islam bercakap dengan auta, bukan dengan fakta. Senang-senang je kantoi busuk.

Lebih mengerikan apabila hadek-hadek bertanyakan soalan-soalan isu semasa dan yang mampu kita jawab hanyalah, "Itu perkara furu'. Tak perlu bincang!" atau "Tak bertambah iman lah kalau bincang pasal tu" atau "Masuk sorga ke kalau tahu pasal semua tu?" Alahai pak mat sayang. 

Lengkapkan diri kita dengan bacaan bukan sahaja bahan-bahan fikrah, tetapi dengan ilmu pengetahuan di luar bidang kita. 

Pernah suatu ketika, Imam Hassan al-Banna diuji dan ditanya tentang topik kejuruteraan (sedangkan dia hanyalah seorang guru sekolah rendah) dan beliau dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang dan bergaya sekali. Pergh.

Tidakkah itu menambahkan tsiqah (kepercayaan) mad'u yang memerhati?

Tapi err, kalau memang dah dasar malas membaca, kata orang, tak dapek den nak nolong eh! 

Banyakkan juga bergaul dengan masyarakat di sekeliling kita untuk lebih memahami mereka dan membekalkan kita dengan info berguna dalam memberikan rawatan yang paling tepat untuk mereka. Ia dapat mengelakkan kita terus tinggal dalam kepompong kita, larut dan syok sendiri dengan bulatan gembira dan cipiki-cipika!

Keenam, berukhuwwahlah dengan ukhuwwah yang sebenar, keranaNya.

Tiada manusia yang mahu menjadi pulau. Tiada manusia di muka bumi, sekiranya waras dan rasional, mahu dan boleh hidup sendiri.

Apatah lagi dalam menelusuri jalan perjuangan yang penuh dengan onak dan duri ini, kita pastinya memerlukan teman dan taulan, yang dapat bersama-sama kita sepanjang perjalanan ini.

Namun dalam kita mahu membina ukhuwwah fillah, ukhuwwah fiddakwah dan fi semua-semua yang baik itu lah, pastinya ia tidak mudah. Iblis dan konco-konconya mana mungkin akan bertepuk tangan berpom-pom penuh kegembiraan melihat dua sahabat yang saling berkasih-sayang keranaNya, apatah lagi bersahabat untuk menegakkan Islam yang terchenta? Nehi!

Maka ukhuwwah itu pasti akan diuji. Pasti akan ada salah faham. Pasti akan ada pertengkaran dan mungkin percakaran. Itu semua normal.

Persoalan yang lebih utama, bagaimanakah sikap dan akhlak kita apabila berhadapan dengan situasi sebegini? Adakah kita yang akan mengalah dahulu, atau tunggu mahu dipujuk rayu? Adakah kita yang akan meminta maaf dahulu, atau mencebik muka masam seribu?

Apabila kita dikurniakan dengan seorang sahabat yang sentiasa mengingatkan kita pada Allah, hargailah sahabat itu dengan sepenuh jiwa dan raga kita. Kerana ketahuilah, itu adalah anugerah yang cukup besar daripada Allah, kerana Dia mahu kita sentiasa mengingatiNya dan mahu membimbing kita untuk sentiasa berada di atas jalan yang benar.  

Persahabatan biasa hanya puas di dunia. Persahabatan yang hoyeaahh pasti akan membawa ke sorga! [Kredit]
Kerana orang-orang mu'min itu bersaudara, bukan? Senyum.   

Ketujuh, raikanlah perbezaan yang ada. 

Antara isu yang tidak akan pernah surut dalam kalangan para dua't adalah taadud jemaah, atau berbilang jemaah. Dari dulu sehingga kini, isu ini terus hangat dan panas diperdebatkan. Masuk era MukaBuku dan Waksep ini, lagilah galak orang berbicara tentang siapa yang lebih bagus, siapa yang lebih betul.

Hakikatnya, tiada siapa yang boleh mendakwa cara atau kaedah yang digunakannya untuk berdakwah adalah yang paling tepat, paling baik, paling bergaya dan yang paling akan diterima Allah. Erk.

Kadangkala itu saya hanya mampu menggeleng kepala melihat kelakuan mereka yang menggelarkan diri sebagai dai'e, tapi kerjanya hanya memaki dan mencaci mereka yang berlainan kefahaman dan keyakinan. Kata mahu tegakkan Islam, tapi sibuk merendahkan dan menjatuhkan kumpulan yang tidak sebulu dengan mereka. Kata pendakwah, tapi sebenarnya mereka ini penjenayah!

Yang menjadi mangsa sering hadek-hadek yang pening dan rimas melihat abam-abam dan hakak-hakak mereka yang asyik bergaduh dan tak habis-habis bertekak tentang siapa yang lebih baik dan siapa pula yang jahat dan huduh. Akhirnya, mereka ini langsung tidak mahu menyertai mana-mana gerakan Islam kerana jelik dengan perangai dua't yang tidak berakhlak ini. Alahai.

Imam Hassan al-Banna, dalam usul yang kelapan dengan tegas menyatakan:

"Perbezaan pendapat fikah dalam soal kecil tidak sepatutnya menjadi sebab untuk berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan dan persengketaan kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya."

Bertaqwalah, dalam setiap tindakan dan perbuatan kita. Kerana taqwa itulah yang paling dichentai Allah.
"Sungguh yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa."
[al-Hujuraat, 49:13]  

Meraikan perbezaan ini bukan sahaja antara jemaah yang berbeza, namun sesama ikhwah dan akhawat juga. Dengan latar balakang tarbiyah yang berbeza, murabbi yang berbeza, susu formula yang diminum sewaktu kecil-kecil dahulu yang berbeza (eh), sudah pastinya akan ada perbezaan dari segi gerak kerja antara ikhwah dan akhawat, meskipon berada di dalam jemaah yang sama. Saya tidak nampak masalahnya asalkan semuanya berpegang pada prinsip yang sama. 

Percayalah, kita akan lebih bahagia apabila kita lebih sejahtera dalam meraikan perbezaan. Perbezaan yang ada sewajarnya melengkapkan, bukannya memporakperandakan. Perbezaan yang wujud sepatutnya merapatkan bukan merenggangkan. Dan perbezaan yang timbul seharusnya menguatkan bukan melemahkan. 

Kelapan, berlapang dada dan berbaik sangka.

Semakin lama saya berada di atas jalan ini, semakin saya dapat melihat rasionalnya Imam Hassan al-Banna meletakkan salamatus sadr (berlapang dada) sebagai asas dalam berukhuwwah. Bunyinya seperti mudah, namun betapa sukarnya mahu berlapang dada dan berbaik sangka itu!  

Cabarannya lebih besar di era Waksep, Telegram dan MukaBuku ini, apabila berita-berita terlalu cepat tersebar. Hanya kerana ia disebarkan oleh seseorang yang kita rasakan tsiqah dan berakhlak, tidak bermakna kita wajar mempercayai berita yang disebarkan bulat-bulat tanpa melakukan usul periksa. Apatah lagi apabila berita atau hebahan tersebut melibatkan seorang al-akh atau al-ukht yang sama-sama menelusuri jalan perjuangan ini.

"Akhi, ana dengar Akh XYZ tu nak keluar jemaah. Baik nta jaga-jaga sikit dengan dia tu!"

"Nampak hari tu Ukhti Maria Benado tu pergi makan-makan dengan akhawat dari jemaah X. Ish, macam ada apa-apa je ni!"

"Lama sangat dah Akhi Doremi tak datang bolatan gembira. Dia ni macam futur je ni."

Geleng kepala.  


"Mengapa orang-orang mu'min dan mu'minat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, ketika kamu mendengar berita bohong itu dan berkata, 'Ini adalah (suatu berita) bohong yang nyata.'"
[an-Nur, 24:12]

Amalan tabayyun (meneliti) sesuatu berita seperti yang dianjurkan dalam surah Hujuurat untuk orang-orang beriman seolah-olahnya tidak wujud atau dilupakan oleh kita. Kita lebih mudah dan suka untuk mempercayai berita-berita yang tersebar daripada terpaksa bersusah-payah dan berpeluh ketiak meneliti kesahihan sesuatu berita. Alahai.

Berbaik sangka itu tidak pula bermakna kita redha dan membiarkan sahaja apabila kemungkaran berlaku di hadapan mata. Berlapang dada itu tidaklah bermaksud kita melugu dan melihat dengan dungu sahaja al-akh atau al-ukt yang kita kenali jatuh ke dalam lubang yang sama berkali-kali. Sama sekali tidak. 

Berbaik sangka dan berlapang dada bukanlah pintu kepada eskapisme untuk kita tidak berlaku pro-aktif dengan kepincangan atau keboborokan yang berlaku. Sebaliknya, di samping berlapang dada dan berbaik sangka dengan apa yang berlaku, kita juga mestilah berusaha untuk menyiasat dan memastikan kesahihan berita tersebut. 

Contoh mudah, sekiranya kita ternampak suatu pasangan muda yang sedang beromen-romen di taman bunga, kita berlapang dada mungkin mereka ini pasangan suami isteri yang berkahwin awal (sebab zaman ni memang ramai orang yang kahwin awal). Pada masa yang sama, pergilah bertanya kepada mereka sama ada mereka benar-benar pasangan suami isteri yang sah. Jika tidak, maka tegur dan nasihati mereka. Jika ya, katakan kepada mereka, "Ini bukan bilik tidur rumah anda tahu?" Eheh. 

Hal ini sewajarnya dipraktikkan juga apabila ia melibatkan ikhwah dan akhawat. 

Maksud anda apabila ikhwah berdating dengan akhawat ke Inche gabbana?

Tersembur. Hoi! 

Kesembilan, selalu bertemu janji chenta dengan Allah.  

Sebagai orang yang memikul tugas dan beban dakwah, tiada bekalan yang lebih diperlukan melainkan bekalan ruh yang mengisi jiwa. Jiwa yang sering dipukul dan dibelasah oleh mehnah dan tribulasi di jalan dakwah ini, memerlukan suatu kekuatan yang luar biasa untuk terus kekal kuat dan tsabat.

Kita mungkin penat setelah seharian bekerja dan berdakwah. Kita mungkin tak larat kerana sering pulang lewat malam. Kita mungkin rasa mahu tidur sahaja lama-lama dek tenaga yang sudah habis disedut keluar.

Tetapi yakinlah, bangun malam untuk bertahajjud dan bermunajat kepadaNya itulah yang akan memberikan kita kerbau merah (Baca: Red bull) yang akan mengembalikan tenaga dan hamasah kita. Membaca quran dan berzikrullah di waktu-waktu yang hening, tatkala embun pagi baharu muncul dan ayam jantan masih enak bermimpi, itu lebih menguatkan hati.


"Wahai orang-orang yang berselimut! Bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sebahagian kecil, (iaitu) separuhnya atau kurang sedikit daripada itu. Atau lebi dari (seperdua) itu, dan bacalah al-Quran dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacca di waktu itu) lebih berkesan."
[al-Muzammil, 73:1-6]

Perbanyakkan juga berdoa kepadaNya. Muhasabah untuk saya sendiri, kadangkala itu terlalu gopoh mahu bangki usai solat, sehingga berdoa pon ala kadar sahaja. Aduhai. Sedangkan doa itu adalah penghulu segala ibadah dan senjata bagi orang mu'min.

Berdoalah agar hati kita ditetapkan di atas jalan dakwah ini. Berdoalah agar dilembuatkan hati-hati mad'u kita agar lebih mudah untuk mereka menerima dakwah ini. Berdoalah agar Allah kurniakan kita dengan kekuatan yang luar biasa untuk menempuhi segala macam ombak dan badai yang datang menyerang. 

Mengadulah kepadaNya. Bercurhatlah denganNya. Meskipon jalan penyelesaiannya tidak gedebap jatuh ke atas riba ketika itu juga, percayalah, anda akan berasa lebih ringan, lebih tenang, selepas anda meluahkan segala-galanya kepadaNya. Bukankah Dia yang memegang hati-hati kita? Senyum.  

Dan kesepuluh, istiqamah yang memutihkan rambut.

Sekiranya istiqamah itu mudah, sudah tentulah rambut Rasulullah SAW tidak beruban kerananya. Gulp.

Untuk istiqamah, ia memerlukan hampir semua nasihat di atas ini; terutamanya niat yang betul, mujahadah dan sabar. Ha, susah kan?

Namun, sekiranya kita berjaya untuk istiqamah di atas jalan yang sumpah panjang Kak Jah oii! Err. Sekiranya kita berjaya untuk istiqamah, nikmatnya tidak mungkin dibeli, mustahil ditukar ganti.

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, 'Tuhan kami adalah Allah' kemudian mereka beristiqamah, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), 'Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) sorga yang telah dijanjikan kepadamu.'"
[Fussilat, 41:30] 

Pergh malaikat sendiri turun nak sampaikan berita gembira tuuu!

Jalan ini memang payah. Jalan ini sememangnya susah. Jalan ini bukan sahaja dipenuhi oleh duri dan kaca, paku dan paku payung, wahahaha, tapi ia juga dipenuhi dengan pelbagai jenis raksasa, jembalang dan hantu yang sentiasa mencari jalan untuk mengganggu dan mengacau kita.

Jalan ini panjang, susah dan memeritkan. Tetapi ia juga jalan yang menghidupkan! Senyum. [Kredit]

Tidak hairanlah, ramai ikhwah dan akhawat yang gugur di tengah jalan, tidak sempat menghabiskan perjalanan ini. Ramai dalam kalangan kita yang kecundang, yang tidak sanggup lagi untuk mengembara dengan gerabak ini. Ramai yang datang dengan pelbagai alasan dan melontarkan pelbagai hujahan untuk menyedapkan hati dan menjustifikasikan diri agar tidak perlu lagi menelusuri jalan ini.

Kerana itulah, untuk istiqamah di jalan ini memerlukan azam dan tekad yang luar biasa sifatnya. Untuk terus konsisten dan tabah menapak dan menyonsong jalan perjuangan ini, ia bukan sahaja memerlukan tenaga dan semangat yang maha hebatnya, tetapi juga motivasi dan dorongan yang dahsyat dan luar daripada dunia ini.  


"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik."
[al-Ankabut, 29:69]


Teruskan perjalanan. Bangkit semula jika tersadung. Bangun semula andai terjatuh. Teruskan melangkah.

Kerana ketahuilah, Allah bersama-sama kita dalam perjalanan ini. Dan ketahuilah, yang menanti kita di hujung sana, adalah sorga. Ya, sorga.

Tarik nafas.

Cukuplah sepuluh nasihat atau perkongsian marhaen daripada saya. Terlebih cakap, menjadi amanah yang cukup besar pula untuk saya untuk melaksanakannya terlebih dahulu. Yang sepuluh ini pon sudah cukup memeluhkan. 

Moga menjadi peringatan yang berguna buat anda semua. Moga menjadi secangkir kopi manis yang panas lagi menyegarkan di saat-saat anda sudah mula layu dan lesu, kepenatan untuk meneruskan perjalanan. Dan moga menjadi tazkirah untuk kita semua, untuk terus kuat dan teguh, menjadi pejuang yang hanya ada dua pengkakhiran untuknya; mati syahid atau hidup mulia.

Moga anda semua menjadi saksi bahawa saya telah pon menyampaikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan