"Allah itu sayang kepada hamba-hambanya lebih dari sayang ibu kepada anaknya" al-Hadith.
Sejarah manusia pertama pun dah menunjukkan percanggahan itu. Adam dan Hawa membuat kesilapan memakan buah larangan, lalu dimurkai tuhan dan dihalau dari syurga. Seorang tercampak ke timur seorang lagi tercampak ke barat.
Kita ubah senario kepada hubungan ibu dan anak. Jika si ibu mempunyai 2 orang anak. Kemudian anak-anak ini mencuri makan ayam goreng dari bawah tudung saji sedangkan ibunya itu telah melarang mereka dari berbuat demikian. Bila ibunya dapat tahu, dia memarahi anak-anaknya itu.
Tetapi setakat marah sahaja. Adakah si ibu sanggup membuang anaknya ke luar rumah? atau menghantar seorang anaknya ke satu negara asing dan seorang lagi anaknya ke satu negara lain hanya atas kesilapan kecil? Tentu tidak!
Kasih sayang seorang ibu jauh lebih bernilai dari kasih sayang tuhan. Kasih sayang tuhan hanya dihiasi dengan ancaman seksaan yang tidak masuk akal. Tiada ibu yang sanggup membiarkan anaknya diseksa, dibakar, disepak terajang setiap hari untuk tempoh yang infiniti.
Yang pasti banyak statement dari agama bercanggah antara satu sama lain. Sifat tuhan tidak konsisten dan lebih kepada sifat diktaktor yang mempunyai masalah emosi. Bukankah dari situ kita boleh nampak bahawa tuhan itu tidak lebih dari produk ciptaan minda manusia. Fikir-fikirkanlah.
Sekadar Gambar Hiasan |
Hamka said:
Terima kasih kerana sudi baca blog keretamayat dan sudi bertanya soalan kepada aku yang bukan ustaz ini, so pengetahuan aku bab agama adalah sangat nipis, dan minta maaf sebab lambat jawab sebab perasan sibuk. Tapi aku pilih untuk ulas bab ini sebab aku sebenarnya sedang menulis novel tapi malas sangat nak menulis, kerana masalah novel ianya berbentuk fiksyen, sedangkan buku yang aku tulis sebelum ini base on true story or true event. Jadi untuk memudahkan aku menoles novel fiksyen, aku plan nak buat kisah atheist belajar silat nak mengorat anak guru silat lalu berdebat bab ketuhanan dengan mertua beliau,
Eh? Tak boleh cerita lebih lebih, nanti novel dah tak gempak, adohai.., so mudah mudahan dengan ulas bab ini, diharap idea untuk menulis novel akan kembali segar dan memberasangkan! Amin. (walau mungkin tak mampu memberi hidayat kepada penanya kerana aku bukanlah pandai sangat bab agama, namun mungkin ada dua tiga insan diluar sana yang memperoleh manfaat, mana tahu?, semoga Allah terima apa yang aku buat sebagai asbab kebaikan diri dan ummat, Amin sekali lagi)
Baik, balik kepada persoalan diatas, bab “benarkah Allah itu sayang kepada hamba-hambanya lebih dari sayang ibu kepada anaknya ini” pernah di tanya pada Nabi Muhammad SAW. Kisah seorang mak cik dan anaknya sedang menyalakan ungun api, apabila api itu menjadi besar, si makcik ini pun alih anaknya ke belakang badannya agar anaknya tidak terasa bahang panas api.., kemudian lalulah Nabi dan sahabat berhampiran makcik dan anaknya tadi, dan si makcik ini telah mengambil peluang untuk bertanya soalan lebih kurang maksud:
“Wahai pesuruh Allah, aku dengar Allah lebih sayangkan hambanya 70 kali lebih, dari sayangnya seorang ibu kepada anaknya, tapi mengapa Allah sanggup mencampakkan hambanya ke dalam neraka?, sedangkan aku, walau sejahat manapun anak aku, aku tidak tergamak untuk mencampakkan anak aku ke dalam api. Bukankah Allah menyayangi hambanya lebih dari aku menyayangi anakku?
Maka Nabi Muhammad s.a.w telah menangis.
Hingga turunlah wahyu memberi jawapan, panjang cerita aku pendekkan sebab aku sangka buruk, si penanya tentu bosan jika aku quote al quran dan hadis sebab mereka memang tak percaya, mereka mahu guna hujah logik. Jadi lebih baik aku tulis guna dalil yang logik dan tidak bertentangan dengan fizik sahaja. Mudah mudahan.
Baik!, Tuhan berjanji pada hambanya, siapa buat baik masuk syurga, dan siapa buat jahat masuk neraka, setiap perbuatan akan dinilai walaupun sebesar zarah, Allah dah janji, Allah juga janji siapa banyak dosa, tapi bertaubat, akan diampunkan sebab dia dah janji. So sebagai Tuhan yang Maha Adil, janji mesti ditepati.
Macam macai politik selalu cakap, Manifesto bukan janji, Tapi Janji ditepati!
Jadi bila hamba Tuhan memilih untuk buat salah dan tak kisah masuk neraka, atau bila orang kapir memilih sembah berhala, atau memilih untuk tidak bertuhan, di sinilah letak nya situasi dimana Allah telah berjanji akan mencampakkan hamba yang engkar ke dalam neraka, kerana Allah Maha ADIL, dan SANGAT MENEPATI JANJI!
Macam kerajaan Malaysia sekarang buat penjara bukan bertujuan untuk masukkan semua rakyat Malaysia dalam penjara, hanya untuk peringatan agar keselamatan dan hak orang lain dipenuhi, tapi bila dah korang langgar undang-undang Malaysia, korang dah rogol anak orang, korang dan mencuri, merompak dan sebagainya, maka kerajaan yang adil dan baik mesti laksanakan janji dan undang-undang. Walaupun yang buat salah tadi anak perdana Menteri, tak patut ayah sebagai PM tergamak melihatnya anaknya mati diseksa di kerusi elektrik kata korang yang tak faham undang-undang. Tapi jika benar ada PM yang macam korang bayangkan, tak tergamak nak siksa anak sendiri walaupun buat salah?, lalu lepaskan maka apa guna lagi undang undang? Apa guna lagi mengundi PM yang tidak menunaikan janji?
Balik kepada Tuhan, sama jugak, diseksa hanya kepada yang engkar. Jika korang hidup baik baik tak buat salah dengan tuhan kenapa nak takut masuk neraka? Ingat pepatah sekolah rendah dahulu:
“Berani kerana benar, Takut kerana salah”
So, walaupun PM itu sangat baik, tapi penjenayah yang salah tetap dihukum kerana PM yang baik adalah PM yang menunaikan janji berdasarkan undang undang menghukum pesalah dalam penjara atau tali gantung, tertakluk kepada kesalahan masing masing.
So, sama juga, walaupun Allah itu Maha baik, tapi hambaNYa yang salah tetap dihukum kerana Allah Yang MAHA BAIK adalah Tuhan yang menunaikan janji berdasarkan undang undang dalam Alquran menghukum pendosa dalam neraka tingkat demi tingkat, tertakluk kepada dosa masing masing.
Bab kasih sayang Tuhan lebih dari ibu pula, boleh dibuktikan:
Jika Mak korang panggil korang, Mamat, oh Mamat, mari sini jap mak nak ajar mengaji, dan korang buar bodoh aje, maka mak korang panggil lagi sampai sebelas kali, aku rasa kali yang ke dua belas tentu mak korang akan menjerit dan mungkin korang kena rotan. (aku dulu, kali ketiga dah kena rotan)
Tapi Tuhan, Panggil korang 5 kali sehari : Marilah solat! Marilah Berjaya! Dan Korang buat bodoh bukan setakat 12 kali, tapi dah sampai 60 tahun buat bodoh, pun masih Tuhan bagi makan, bagi udara, bagi minum, takde pulak korang tiba tiba kena panah petir. Ini bukti Tuhan lebih rasional dari mak kita.
Tak percaya cuba tengok Mak si Tanggang, panggil Tanggang hanya beberapa kali, tapi Tanggang buat bodoh sebab dah ada bini cantik, terus mak dia sumpah jadi batu, kita hari ni, buat bodoh dengan penggilan Tuhan, ada terus jadi batu? Kena batu karang pun sebab lain, bukan sebab tak jawab panggilan Tuhan.
So, terbukti Tuhan lebih sayangkan Hambanya lebih dari mak sayang pada anak.
Sama jugak macam Mak si Malin Kundang!, pun sama!, sumpah anak jadi batu walau anak dan bersujud merayu, tapi tuhan, jika dosa korang 100 kali ganda dosa Tanggang dan Malim Kundang, Allah akan tetap ampunkan bila korang sujud merayu kerana Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Bagi bukti lain, bukti tu tak sesuai kata korang sebab ambil dari kisah rakyat, so kita ambik sejarah Tuhan dan Raja Firaun.
Firaun semua tahu betapa jahatnya dia, mengaku tuhan dan memerintah dengan zalim.
Tapi sebab Allah masih sayangkan firaunlah, maka Alllah hantar Nabi Musa pergi Berdakwah dengan lemah lembut, walaupun Firaun dan bunuh beribu ribu bayi, dan seksa bani Israel dengan penghapusan etnik, tapi tetap Allah bagi peluang bertaubat sehinggal Firaun di uji dengan 7 bala, tapi masih degil jugak, so sebagai Tuhan Yang Menunaikan JANJI, maka kena azablah Firaun sebab JANJI DITEPATI!
“Tapi bang, Tuhan tidak adil, sebab ada orang kafir yang baik baik, tidak sejahat firaun, takkanlah kena duduk azab juga dalam neraka?”
Aku kata: kalau kau ada anak yang perangai baik nak mampus tapi tak mengaku kau Mak dia!, dia kata dia ni anak luar nikah, dia ni bukan anak kandung kau, dia ni konon anak orang lain yang lebih kaya, kau tak marah?! kau nak mengaku dia anak?, kau kan perempuan, tentu faham bila si tanggang yang bini dia puji dan pak mertua dia sanjung sebab begitu rajin , dan budak baik.., tapi bila tak ngaku yang kau tu mak dia akhirnya kena sumpah jadi batu! ha ha, padan muka!
So, budak baik, yang tak mengaku dia ni Hamba Allah atau dalam kes Tanggang, tak mengaku dia ni anak mak dia, maka Allah janji akan azab sebab JANJI DITEPATI!
Bab lain, Ada hadis memberitakan Tuhan lebih cemburu bab hamba memilih tuhan lain, lebih dari suami yang cemburu kepada bininya yang curang dengan cemburu yang lebih berkali-kali ganda. So cuba tengok kes bini curang apa suami buat? Atau dalam kes kau, jika bini kau berzina dengan lelaki lain apa kau buat?
Jika Isteri korang masak tak sedap, korang marah tapi tak lah sampai cerai..
Jika Isteri korang pinjam kereta, langgar garaj jiran, garaj tu runtuh, korang marah tapi taklah sampai cerai.
Jika isteri korang tak ingat tutup api ketika memasak, rumah terbakar, kebetulan korang duduk rumah flat dan satu flat telah terbakar, korang marah tapi taklah sampai nak pukul ke apa?
Jika isteri korang tertumpah minyak panas ketika memasak menyebabkan anak tunggal korang menjadi mayat..korang marah! Tapi tak lah sampai bercerai-berai..masih boleh di maafkan. So do Tuhan!
Tapi jika korang balik rumah, tengok anak semua elok dan bersih, makanan atas meja sedap, garaj tak runtuh, kereta tak kemik, rumah tak terbakar, tapi korang dapati isteri korang sedang berzina dengan jantan lain.! Memang habis!
Habis runtuh rumah tangga, bergegar arash, bercerai berai , ada kes siap kena siksa sebelum bunuh!
Begitulah perumpamaan-nya, bila isteri korang memperduakan engkau, curang, memang habis! kalau korang buat dosa lain selain syirik…, korang taubat, Allah ampun. Walaupun dosa korang tinggi mencecah awan, still diampuni, Tapi bila dosa syirik (curang) Memang Azab Allah tak masuk akal bagi kita yang bertaraf Hamba ini memikirkanya, adohai..
So hidup ini memang ujian dari Tuhan.
Kenapa Nabi orang arab? Itulah ujian.
Kenapa Mukjizat tak ada sampai sekarang? Senang sikit nak beriman? Itulah ujian.
Kenapa orang Tabligh yang ketuk pintu berdakwah rumah saya orang india? Itulah ujian.
Kenapa dulu dah ada agama nasrani, lepas tu kristian, sekarang nak kena ada islam pulak? Itulah ujian.
Kenapa saya tengok ramai orang islam yang jahat jahat? Itulah ujian.
Bro, Allah Maha Adil, sehingga orang islam pun ramai masuk neraka, sebab JANJI DITEPATI.
Last, kisah Adam dan Hawa membuat kesilapan memakan buah larangan, lalu dimurkai tuhan dan dihalau dari syurga. Seorang tercampak ke timur seorang lagi tercampak ke barat.
Kata kamu, jika Kita ubah senario kepada hubungan ibu dan anak. Jika si ibu mempunyai 2 orang anak. Kemudian anak-anak ini mencuri makan ayam goreng dari bawah tudung saji sedangkan ibunya itu telah melarang mereka dari berbuat demikian. Bila ibunya dapat tahu, dia memarahi anak-anaknya itu. Tetapi setakat marah sahaja. Adakah si ibu sanggup membuang anaknya ke luar rumah? atau menghantar seorang anaknya ke satu negara asing dan seorang lagi anaknya ke satu negara lain hanya atas kesilapan kecil? Tentu tidak!
Bro, inilah masalahnya bila kita anggap Tuhan tu lemah macam ibu kita...
Bila ibu kita membuang anaknya ke luar rumah, atau ke dalam hutan, ibu kita tak ada kuasa nak halang ular atau harimau makan kita, dah tentu kita akan merana dan mati dalam hutan, tapi bila Tuhan takdirkan Adam dan Hawa terpisah jauh di dunia yang penuh dengan binatang buas dan tak ada pula perkhidmatan kereta.
Tapi last last ada kita dengar Nabi Adam mati dimakan Dinasour?, atau Kaki Nabi Adam kudung sebelah sebab kena baham dengan T- Rex? Ada? Atau hawa jatuh dalam kawah gunung berapi?, ada dengar kisah Hawa mati kena Ebola? ada mereka berdua sesat tak jumpa jumpa? mereka elok jer berjumpa sebab mereka diuji dengan pantauan Allah, Allah pantau segala keselamatan mereka, segala keperluan mereka, segala makan minum mereka, sedang Allah nak tengok mereka menyesal dan bertaubat, lepas tu Allah ampunkan mereka dan masukkan mereka ke dalam syurga. Simple.
Begitulah kita didunia ni, diuji dengan pantauan Allah, Ada kajian mengatakan, saiz planet Mustari yang besar adalah untuk melindungi bumi dari meteor sesat kerana gravitinya yang kuat menyebabkan tahi bintang raksasa itu jatuh ke planet lain.
Namun, andai kata, jika tahi bintang itu terlepas planet Mustari, ada lagi Sembilan planet lain yang menjadi perisai bumi, dan andai kata ada komet yang terlepas, bulan juga ada gravity yang mengelilingi bumi setiap bulan untuk menhadang hentaman tahi bintang, tak percaya cuba teropong bulan, penuh dengan kawah hasil hentaman tahi bintang, dan bulan juga bertindak sebagai pasang surut air laut agar nelayan mudah buat kerja, dan andai komet besar masih berjaya lepas dari gravity bulan sebab arah paksi yang berbeza, tiba tiba tahi bintang itu akan terbakar dan jadi batu kecil bila berlanggar dengan atmpsohera, kenapa bumi masih selamat?, kenapa blue planet ini so-so SO protection? Jawapannya, sebab Allah pantau keperluan kita. Allah pantau kesalamatan bumi, Sama macam Allah pantau keselamatan Adam dan hawa sehingga mereka berjaya jumpa dan beranak pinak. Allah yang Jaga kita!
Bila tak ada air, Allah turunkan hujan, bila lapar nak makan, Allah tumbuhkan tanaman, nelayan dilaut tangkap ikan yang duduk secara berkumpulan, jadi senang masuk pukat,. Waktu tidur kita masih bernafas dengan otak luar kawalan sebab Allah pantau kita. Bila nak berak, tuhan datangkan tanda nak berak, perut sakit, dan bontot tak selesa, bayangkan jika kita berak tanpa ada tanda tanda, terus berak dalam kereta, kan susah? begitulah jugak alam ini, sebagai tanda kepada kewujudan Tuhan, sains namakan Ecosystem atau Artificial Intelligence sebagai keajaiban kosmos dalam evolusi manusia, tapi ketahulah Ecosystem atau Artificial Intelligence atau lain lain so call Scientific, itulah sebenarnya sistem Pantauan Allah. Andai kita mahu berfikir.
Akhir kata, dunia ini terlalu singkat untuk berada dalam kefahaman yang salah, gunakan akal dan mata hati dalam menilai fakta, kerana hidup selepas kematian itu bukan perjudian, tapi result berdasarkan fakta yang kita pilih. Pesan pada diri sendiri.
“Sesungguhnya ALLAH tidak menzalimi manusia sesuatu apa pun, tetapi manusia itu sendirilah yang menzalimi diri mereka sendiri.”. (Surah Yunus: 44).
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, yaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka. Ali Imran190-191
Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan