Rabu, 18 Januari 2017

How to fish

Didik Pelajar "How To Fish"
=====================

Kesilapan besar sebahagian daripada ahli masyarakat termasuk pendidik hari ini adalah terlalu ingin menonjolkan ramainya pelajar yang mendapat gred yang hebat daripada setiap peperiksaan tanpa mengira peringkat, walau pun pada hakikatnya kemudiannya pelajar itu gagal mengekalkan kehebatan itu apabila berada di peringkat lebih tinggi atau ketika berada di alam pekerjaan. Keadaan ini cuba dimanfaatkan oleh golongan tertentu untuk memenuhi cita-cita memaparkan angka-angka sasaran untuk menonjolkan kononnya kehebatan pengurusan atau pengajaran mereka masing-masing.  Dalam menjustifikasikan pelaksanaan kepincangan ini, kadang-kadang ramai juga yang suka menyalahkan orang lain seperti nyanyian lagu "bangau oh bangau ..." itu, dan terlalu sedikit yang ingin meneliti dan mengkaji punca permasalahan dan berusaha memperbaiki kepincangan itu.

Pada hari ini secara umumnya, "gred" adalah sesuatu yang mengukur kemampuan penguasaan pelajar terhadap kandungan pelajaran yang diajar, tetapi biasanya tidak mampu mengukur penguasaan dan amalan kemahiran belajar dan sikap pelajar mengikut aras umur mereka.  Mungkin ramai pelajar yang mendapat gred A dalam peperiksaan, hanya mendapat D dalam amalan kemahiran belajar (yang sememangnya tidak diukur). Jarang sekali pelajar akan mendapat A dalam peperiksaan dan mendapat A juga dalam kemahiran belajar dan sikap. Kemahiran dan pembinaan sikap yang baik hanya boleh dicapai jika proses dan pendekatan pendidikan itu tepat dengan keperluan untuk aras umur / peringkat pelajar yang berkenaan.

Kita perlu mendidik pelajar dengan pendekatan 'how to fish', bukan mendidik dengan 'give /feed them fish'. Jika kita guna pendekatan 'how to fish', InsyaAllah mereka mempunyai kemahiran dan mampu untuk  meneruskan hidup dan tidak akan mati kelaparan jika tidak ada yang memberi 'fish'. They still can use their skill to fish and get their own fish.

Dalam konteks 'How to fish', pemberian handout / nota perlu tindakan penelitian semula secara serius. Jika ia membawa kepada 'give them fish', maka perlulah ia diberhentikan. Tetapi jika pemberian handout boleh membantu dalam proses untuk memperkuatkan skill 'how to fish', maka adalah kemunasabahannya untuk diberikan 'handout'.

Pemerhatian menunjukkan ramai pelajar yang  mengusung (membawa) nota yang dibekalkan pensyarah / guru yang penuh dengan tandaan 'highlighter' dibawa ke sana dan ke mari, tanpa mereka berusaha membuat nota sendiri. Apakah sebenarnya kemahiran yang pelajar seperti ini miliki? Ia akan lebih tertumpu kepada membaca nota itu dengan menghafal membuta tuli dan tidak mengamalkan proses untuk menulis semula bahan yang dibaca dan merumuskan apa yang dipelajari. Ia akan memusnahkan amalan pembelajaran yang sangat penting untuk masa depan kejayaan berterusan pelajar.

Pelajar perlu buat nota sendiri (yang unggul mengamalkan lima (5) fasa membuat nota, iaitu nota sebelum kelas (menggunakan sinopsis kursus dan buku rujukan yang disenaraikan), nota semasa kelas (boleh memberikan lebih tumpuan kepada perkara yang disampaikan pensyarah, menyalin keyword atau poin penting sahaja secara ringkas), nota selepas kelas (berdasarkan ingatan, kefahaman dan rujukan kepada buku-buku rujukan yang disenaraikan), melengkap dan menambah nota (memperkayakan nota dengan merujuk kepada pelbagai sumber) serta memadatkan / memindahkan nota ke bentuk lain seperti kad-kad kecil, rakaman suara, membuat carta peta minda, membuat nota satu muka-surat dan sebagainya (merumus dan memadatkan nota)), mengatur penggunaan masa dengan pertimbangan yang tepat (membuat senarai keutamaan dalam pembelajaran dan tindakan) melalui pembinaan jadual waktu peribadi, mengamalkan proses pencernaan (memproses bahan yang diterima untuk menjadi ilmu sendiri, membuat nota dengan ayat sendiri, berusaha menerbitkan formula yang boleh diterbitkan untuk mengurangkan hafalan membuta-tuli, berlatih menjawab soalan sama ada untuk aras rendah atau aras tinggi mengikut hiraki pengkelasan taksonomi Bloom, mengkaji persamaan dan perbezaan, mengkaji hubungkait antara konsep2 yang dipelajari, dan lain-lain).

Jika anda bandingkan situasi di mana seseorang yang sampai ke satu tempat tertentu dengan memandu sendiri berbanding dengan memandu dengan bantuan orang lain di sebelahnya atau menggunakan alat GPS. Pada pendapat anda, keadaan manakah akan membolehkan pemandu itu lebih cepat sampai ke tempat yang sama sekali lagi tanpa bantuan seperti yang diterima pada kali pertama itu? Saya yakin pemandu yang memandu dengan situasi pertama akan sampai ke tempat itu lebih awal kerana banyak perkara telah dipelajari semasa perjalanan pertama itu walaupun beliau mungkin mengambil masa yang agak lebih panjang. Itulah perumpamaan untuk orang yang belajar. Seorang yang belajar lebih 'independent' berbanding dengan seorang yang belajar terlalu bergantung kepada guru dan orang lain akan menguasai bahan yang dipelajari dengan lebih baik.

Dalam standard yang digariskan oleh UNESCO untuk Students Learning Time (SLT), masa belajar sendiri oleh pelajar itu juga dikira untuk memastikan mereka menjadi manusia terpelajar yang mampu meneruskan pembelajaran sepanjang hayat yang akhirnya mampu membuat penyelidikan dan inovasi untuk kemajuan negara dan manusia sejagat. Dalam pelaksanaan konsep SLT, contihnya satu jam kuliah rasmi memerlukan dua jam pelajar belajar sendiri. Ini boleh dikaitkan dengan proses membuat nota. Dua jam masa pelajar belajar sendiri itu berkaitan dengan menyediakan nota sebelum kuliah (satu jam) dan menyediakan nota selepas kuliah (1 jam). Untuk satu jam tutoran rasmi, pelajar juga memerlukan dua jam untuk belajar sendiri. Jika digabungkan semua mod pengajaran dan pembelajaran itu, peruntukan masa dalam SLT untuk kuliah, tutoran dan amali itu maka ia mampu memberikan ruang secukupnya untuk pelajar membina kemahiran yang akhirnya mampu belajar sepanjang hayat.

Dalam konsepsualasi proses pembelajaran yang saya bangunkan, saya merumuskan pada tahap umur pelajar 18 tahun, seharusnya pelajar memiliki tahap berdikari lebih kurang 80 peratus, dan tahap pergantungan mereka kepada pensyarah atau guru dan orang lain adalah lebih kurang 20 peratus. Kedua-dua perkara ini akan berbeza dan berubah mengikut umur pelajar. Pelajar yang berumur lebih kurang 12 tahun seharusnya mempunyai tahap daya usaha sendiri dan kebergantungan kepada orang lain sebanyak 50 peratus. Model ini dibina berdasarkan sifat manusia itu sendiri di mana seorang bayi yang baru lahir bergantung sepenuhnya kepada ibubapa, manakala seorang graduan yang baru tamat ijazah pertama pada usia 23 - 24 tahun sepatutnya mempunyai tahap berdikari hampir 100 peratus, dan pergantungan kepada orang lain seharusnya hampir sifar (kerana inilah sifat yang diperlukan majikan daripada staf baru mereka). Berdasarkan model ini, di manakah kedudukan pelajar-pelajar yang dididik pada hari ini? Saya memang amat yakin, sebahagian besarnya telah tersasar jauh sebab itu kualiti lulusan hari ini banyak dipersoalkan oleh pelbagai pihak terutamanya majikan dan pengurusan kanan korporat.

Di sini saya tidak bincangkan secara terperinci berkenaan pengkelasan taksonomi Bloom kerana ia lebih kepada kemahiran kognitif yang berkaitan juga dengan penguasaan kandungan dan proses mental. Kalau kemahiran proses asas pembelajaran seperti dibincangkan di atas tidak dikuasai, kemahiran kognitif tidak akan membawa makna yang besar kepada lulusan yang dihasilkan. Pelajar mungkin mendapat ijazah dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.5, tetapi tidak mampu untuk membuat persediaan, menyediakan nota dan minit yang baik ketika bekerja kelak, kerana mungkin graduan itu lulus dengan baik kerana bantuan yang terlalu banyak daripada pensyarah atau sistem pendidikan itu sendiri.

Oleh kerana sifat itulah maka penekanan amalan 'How to fish' itu sangat perlu diutamakan untuk menjadikan pelajar itu mampu berdikari bersesuaian dengan peringkat umur dan keperluan hidup mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan