KECELARUAN SAINS BARAT: NEUTRAL YANG TIDAK NEUTRAL
Sains moden (sekular) mendakwa bahawa sains seharusnya neutral (bebas) dan tidak memihak kepada mana-mana pegangan. Ini bermaksud kita harus meragui kebenaran yang kita yakini sehingga terbukti benar menurut sains.
Hakikatnya neutral tersebut adalah tidak benar-benar bebas, ia hanya bebas daripada pegangan Agama tetapi tidak pada nilai-nilai songsang seperti sekularisme, materialisme dan liberalisme.
Tujuannya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk menjauhkan manusia daripada nilai ketuhanan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika kita lihat semakin manusia mendalami sains, semakin ia meragui nilai ketuhanan, semakin ia jauh dari pegangan agama meskipun ia tetap solat dan menjalani ritual agama seperti biasa. Tetapi pemikirannya telah rosak ditelan sains (sekular) yang kononnya neutral dari sebarang pegangan.
Kerosakan ini merupakan akibat daripada penyelewengan terhadap konsep ilmu yang dilakukan barat. Mereka telah membuang segala nilai-nilai agama terhadap ilmu pengetahuan.
Fahaman songsang seperti rasionalisme, empirisme, relativisme, positivisme, sekularisme dan sebagainya yang berasal daripada barat telah merosakkan hakikat nilai ilmu yang sebenar. Bagi mereka ilmu harus berdiri sendiri tanpa ada kaitan dengan kuasa ketuhanan.
Padahal sebenarnya sains sendiri menemui jalan buntu apabila berhadapan dengan perkara yang diluar batasan upaya manusia.
Sains tidak dapat merungkai bagaimana terjadinya atom. Teori Darwin yang kononnya manusia terhasil daripada evolusi tidak dapat dibuktikan dengan jelas. Mungkin Darwin sendiri pening dengan teori ciptaannya. Sains juga tidak dapat menjelaskan bagaimana kejadian alam berputar dengan teratur, jika ia terjadi dengan sendiri tanpa sang penguasa, pastinya ia akan menjadi serabut dan kucar kacir, tidak sekemas dan teratur seperti yang terjadi sekarang. Planet-planet mampu mengilingi matahari tanpa bertembung antara satu sama lain, siang dan malam yang berganti pada waktunya tanpa ada cacat sedikit pun, dan banyak lagi kejadian alam yang berlaku sehingga mustahil untuk kita yakini bahawa alam ini bergerak dengan sendirinya tanpa ada kuasa yang mengawalnya.
Oleh sebab itu, sains seharusnya dilengkapkan dengan nilai Islam supaya keyakinan terhadap penemuan sains dapat dikukuhkan lagi dengan hakikat ketuhanan. Segala yang berlaku pasti ada penguasanya. Tidak akan terjadi sesuatu melainkan dengan kuasa Allah.
Reza Amin
6 Mac 2020
Tiada ulasan:
Catat Ulasan