Bayi dicampak masuk longkang
SELAYANG – Bayi sendiri diperlakukan bagaikan sampah apabila seorang gadis berusia 19 tahun tergamak mencampak bayi yang baru dilahirkan ke dalam longkang dari tingkat dua Flat Taman Selayang Segar 2, Selayang Baru di sini semalam.
Mayat bayi perempuan malang itu ditemui oleh seorang lelaki pada pukul 7 pagi yang kebetulan melalui kawasan itu.
Ibu bayi itu yang mendakwa panik sebaik melahirkan anak di dalam tandas bertindak mencampak bayinya ke dalam longkang menerusi tingkap.
Ketika ditemui, bayi yang dalam keadaan bogel dan mempunyai kesan cedera di kepala itu berada dalam keadaan tertiarap di dalam longkang berkenaan.
Bayi yang cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan kerana masih mempunyai tali pusat.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan penemuan mayat bayi dalam keadaan menyayat hati itu, polis menahan seorang gadis berusia 19 tahun yang tinggal di flat tersebut.
Menurut beliau, gadis itu belum berkahwin dan polis mengesyaki dia mengandung angkara hubungan sulit dengan teman lelakinya.
“Suspek yang bekerja sebagai pelayan restoran itu mengaku melahirkan bayi berkenaan di dalam tandas rumahnya pada pukul 4 pagi ini (semalam).
“Suspek mendakwa ketika dilahirkan, bayi terbabit sudah tidak bernyawa menyebabkan dia membuang anaknya itu ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan