Ahad, 9 Oktober 2011

Sejarah yang menipu..

Kontroversi Tanah Melayu tidak pernah dijajah
Ismail Abu Bakar| abisma82@yahoo.com   
Tuan Pengarang ,
Ramai rakyat Malaysia prihatin termasuk saya terkejut, terpinga-pinga , tertanya-tanya  dan ternganga-nganga kehairan apabila mendengar kenyataan Prof Zainal bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah hanya di NAUNG, kecuali tiga Negeri-negeri Selat iaitu Singapura,Pulau Pinang dan Melaka. Prof Zainal juga telah menyatakan bahawa Tanah Melayu hanya dijajah semasa pemerintahan Jepun ,selepas  Jepun menyerah diri dan semasa Gagasan Malayan Union tahun 1946 sehingga awal tahun 1947.  Prof Zainal juga menambah bahawa dalam Perjanjian Pangkor 1874, tidak tercatat Tanah Melayu khususnya Perak akan dijajah penjarah Inggeris dan Perjanjian tersebut telah ditandatangan di Singapura!
Saya dan warga prihatin merasakan ianya suatu penipuan dan  igauan disiang hari yang terkeluar dari minda dan mulut seorang cendikiawan yang telah kekeringan ilmu dan idea yang terhakis oleh usia yang lanjut ( walau pun baru  67 tahun ) lantaran pukulan seorang yang bernama Mat Sabu. Seluruh Negara Malaysia terkejut beruk apabila mendengar kenyataan Prof itu walau pun ada dua ex yang bersetuju iaitu ex-PM Mahathir yang mudah lupa dan ex-KPN Hanif yang hendak kembali kezaman sebelum diNAUNG Inggeris ( dia boleh balik pakai tengkolok, keris dan berlaga ayam! ).
Oleh kerana  Zainal seorang Prof yang  dianggap  pakar dalam sejarah walau pun bukan bidang khusus beliau, ramai merasakan sukar untuk menyanggah kenyataan  itu, mungkin juga ramai yang buta sejarah terutama golongan remaja  lantas  menyetujuinya atau ada yang tidak kisah langsung. Rasanya tidak perlu pakar untuk mengetahui dan memahami  Sejarah Tanah air, yang penting ia mesti jujur dan telus. Namun saya sebagai orang kebanyakan dan rakyat prihatin ingin menarik perhatian dan penghayatan seluruh pembaca  kepada persoalan berikut:-
I ) Mengikut sejarah yang saya pelajari , buku-buku dan  artikel-artikel  yang saya baca;  pada tahun 1511 Kerajaan Islam Melaka telah kalah kepada Portugis yang dipimpin oleh Alfonso d’ Albuqurque, dan Melaka terus diperintah oleh Portugis sehingga ditawan Belanda. Adakah Melaka hanya dinaung Portugis bukan dijajah?
2 ) Dalam tahun 1641 Belanda telah menyerang dan  berperang dengan Portugis, akhirnya berjaya mengalahkan Portugis dan  mengambil alih pemerintahan Melaka . Adakah Belanda itu hanya menaung Melaka bukan menjajah?
3 ) Dalam tahun 1795 Melaka telah diserahkan kepada Inggeris oleh Belanda kerana bimbang kemungkinan serangan Peranchis. Pulau Pinang adalah sebahagian dari Kedah, Francis Light telah menipu dan merampasnya dari Sultan Kedah juga tahun 1795. Singapura pula adalah takluk Johor, tetapi Stamford Raffles merampasnya dengan memujuk  Sultan Husin yang dibuang daerah dan melantik semula sebagai Sultan Johor, kemudian membuat perjanjian secara terpaksa dengan Raffles pada 6 Februari 1819.
4 ) Prof Zainal  menyatakan hanya Negeri-negeri Selat sahaja yang dijajah, bukankah asalnya Pulau Pinang, Singapura dan Melaka itu sebahagian dari Tanah Melayu, yang memecahkan Tanah Melayu kepada tiga bahagian,Straits Settlements,Federated Malay States dan Unfederated Malay States itu Penjajah Inggeris. Ini pun menunjukkan satu petanda dan bukti bahawa Tanah Melayu dijajah Inggeris!
5) Pada 20 Januari 1874 Perjanjian Pangkor telah ditandatangani oleh Sir Andrew Clarke Gabenor Negeri Selat dengan Raja Muda Abdullah yang berkuasa di Hilir Perak diatas kapal HMS Pluto di Selat Dinding, kawasan perairan antara Lumut dengan Pulau Pangkor (Prof Zainal telah menyatakan bahawa perjanjian tersebut ditandatangani di Singapura,ini satu kesilapan fakta atau penipuan yang disengajakan !) Perjanjian ini dengan secara langsung membenarkan Inggeris  mencampuri  urusan pemerintahan Negeri Perak . Persetujuan dan kebenaran  ini  merupakan kesilapan besar  Sultan Abdullah yang membawa kepada campurtangan dan penjajahan British.Apakah tindakan ini tidak  tercatat dalam perjanjian itu dan mencampuri urusan itu bukan penjajahan namanya? Kalau tidak dijajah kenapa Datuk Maharaja Lela dan orang-orangnya  boleh menentang dan membunuh Residen Inggeris J.W.W. Birch?Apakah perjuangan Pahlawan-pahlwan Melayu yang menentang Inggeris seperti Mat Kilau dan lain-lain itu bukan kerana tidak akur dengan penjajahan Inggeris?
6 ) Bermula dengan tiga buah negeri Melayu yang dipanggil Negeri Selat oleh penjajah Inggeris berlaku pula peristiwa di Perak, Inggeris terus berusaha untuk mendapatkan ( menjajah ) negeri-negeri Melayu yang lain dengan memujuk dan menipu Raja-raja Melayu serta menjadi orang tengah dalam peperangan saudara dikalangan negeri-negeri itu.Sebagai contoh Negeri Pahang, apabila berlaku pertembungan antara Wan Mutahir dengan Wan Ahmad, akhirnya Wan Mutahir kalah lantas British mengiktiraf Wan Ahmad sebagai Sultan dan bersetuju menerima Residen Inggeris, dikuatkan  pula dengan pembunuhan seorang China rakyat naungan British. Residen  J.P.Rodger yang ditempatkan di Pahang telah mencampuri urusan percukaian dan hasil Pahang, lantas ditentang oleh Dato Bahaman dan orang-orangnya  yang akhirnya dituduh sebagai pendurhaka kepada British dan Sultan. Apakah tindakan Residen  bukan sebagai penjajah? Bukankah Dato Bahaman itu bangkit menentang penjajah Inggeris!
7 ) Di Kelantan, salah satu Negeri yang tidak bersekutu, British telah campur tangan  dalam urusan tanah negeri  tahun 1909, Tok Janggut atau Haji Hasan Munas tidak bersetuju dan telah menentang dengan cara berjihad. Pada 25 April 1915 Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya  menyerang bandar Pasir Puteh dan bertempur dengan Pasukan Malay State Guides ( askar berbangsa Melayu  upahan British). Akhirnya pada 24 Mei 1915 Tok Janggut telah mati syahid, mayatnya digantung kepala kebawah dan diarak seluruh bandar Kota Bharu .  Ini adalah kerja penjajah Inggeris yang  biadab,  zalim  dan mencampuri  urusan pemerintahan negeri.  Juga  berhasrat  terus menjajah seluruh Tanah Melayu!
8 ) Setelah seluruh Tanah Melayu dijajah,Raja- raja Melayu masih dikekalkan,kecuali Negeri-negeri Selat;  Penjajah British yang diwakili Residen  telah mengambil alih semua kuasa pentadbiran Negeri  kecuali urusan  Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu.  Bidang ini kekal dibawah kuasa Raja-raja Melayu hingga kini. Inilah kesan dan implikasi dari penjajahan yang dikatakan tidak pernah  menjajah tadi!
9) Seawal tahun 1937 pula, era penentangan terhadap penjajah Inggeris telah bermula iaitu apabila Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) yang dipimpin oleh  Allahyarham Ibrahim Haji Yaakob telah ditubuhkan di Kampung Baru Kuala Lumpur. Selain dari itu  banyak lagi pertubuhan orang-orang Melayu yang berjuang menentang Penjajah seperti PKMM,AWAS,API dan sebagainya. Akhirnya mereka ini dicap kumpulan kiri dan pro-komunis! Mereka ini bukan sahaja menjadi seteru Penjajah malah ditentang oleh UMNO yang pro-British pada ketika  itu.
10 ) Selepas Jepun menyerah tahun 1945, Parlimen British telah mencadang dan meluluskan  Gagasan Malayan Union tahun 1946. British menghantar Harold Mc Michael untuk memujuk Raja-raja Melayu supaya menerima cadangan itu untuk dilaksanakan  di Tanah Melayu. Mengetahui muslihat jahat PENJAJAH ini , orang-orang Melayu dibawah pimpinan Dato Onn Jaafar telah  bangun menentang dengan membuat demonstrasi awam secara besar-besaran. Bukankah ini tandanya British menjajah Tanah Melayu! ( Catatan:  Dato Onn yang menubuhkan Umno 1946, meninggalkannya tahun 1951!)
11) Setelah Malayan Union gagal dikuatkuasakan, dalam tahun 1948 Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan oleh British yang mengecualikan Singapura telah ditubuhkan , serentak dengan itu golongan pejuang kiri yang bukan dari Umno ditangkap,parti yang dianggap kiri diharamkan dan dharurat diisytiharkan di seluruh Tanah Melayu. Ada diantara pemimpin ini yang lari, ada yang dipenjara dan ada yang bersekongkol dengan Parti Komunis.  Penjajah mesgisytiharkan perang terhadap komunis dan orang-orang yang bersekongkol dengan nya seperti Rashid Mahidin, Abdullah C.D, Shamsiah Fakeh  dan lain-lain termasuk Mat Indera yang menjadi kontroversi sekarang.  Siapakah yang melakukan semuanya ini? pastinya Penjajah Inggeris!
12 ) Dalam tahun 1955 Pilihan Raya telah diadakan sebagai persediaan untuk kemerdekaan, kemudian Tunku dan kumpulan Perikatan telah pergi ke London untuk berunding menuntut kemerdekaan dengan Kerajaan British, tempat perundingan ialah di Pejabat Koloni British di London. Dalam tahun 1956 Tunku dan rombongan telah beberapa kali pergi ke London untuk berunding dan menetapkan tarikh KEMERDEKAAN.Kalau tidak dijajah kenapa berunding dengan Inggeris  dan  di Pejabat Koloni ?
13 ) Apabila hendak Merdeka, untuk menyelesaikan masalah penyatuan kaum di Tanah Melayu iaitu Melayu, China dan India, diadakan Kontrak Sosial dan dijadikan asas Perlembagaan Tanah Melayu khususnya artikel 153. Penjajah Inggerislah yang bertanggung jawab dalam isu ini!
14 ) Dalam tahun 1956 Perlembagaan Negara hendak disesdiakan, Penjajah British melantik Lord Reid sebagai Pengerusi Panitia Penggubal, ahli-ahlinya ialah  Ivor Jenning dari England ,Hakim Malik dan Hakim Hamid dari India dan Pakistan. Tiada seorang pun wakil dari Tanah Melayu. Ini bermakna British yang  menentukannya sebagai penjajah yang berkuasa keatas Tanah Melayu! Kenapa pula Britiish yang merangka Perlembagaan Tanah Melayu?
15 ) Persetujuan telah dicapai bersama Kerajaan British,tarikh kemerdekaan ditetapkan pada 31 Ogos 1957.  Pada tarikh tersebut satu sambutan besar-besaran telah diadakan dan Tunku Perdana Menteri Pertama telah melaungkan KEMERDEKAAN  sebanyak tujuh kali.  Kalau tidak dijajah mengapa ada kemerdekaan dan disambut tiap-tiap tahun mulai tarikh tersebut, cuma tahun 2011 sahaja digantikan dengan Hari Penubuhan Malaysia pada 16 hb September,  itu pun idea dan  saranan Pakatan Rakyat!
16 ) Orientalis mencatat sejarah kedatangan kuasa Barat ke Timur selepas Perang Salib tahun1097- 1292, bertujuan untuk membeli dan  berniaga rempah ratus, sebenarnya  tujuan hakikinya ialah untuk meluaskan tanah jajahan dan mengembang Ugama Kristian. Lantaran itu banyak negeri-negeri Timur yang dijajah dan  ramai anak negeri yang dikristiankan seperti di Indonesia, Filiphina, Tanah Melayu sendiri. Mereka mendirikan gereja,sekolah mubaligh dan sekolah-sekolah sekular mereka serta menerapkan korukulum mereka dalam sistem pembelajaran dengan mengenepikan pelajaran Agama Islam. Dasar Pelajaran  hanya dipinda sedikit dengan Penyata Razak tahun 1956 dan diubahsuai oleh Penyata Rahman Talib 1960. Di Melaka contohnya terdapat kumpulan Serani hasil kacukan Melayu/Portugis, kumpulan ini hampir semuanya beragama Kristian,inilah hasil penjajahan dan proses kristianisasi yang dijalankan Penjajah . Selepas itu British pula menjalankan usaha yang sama tetapi lebih bercorak penjajahan minda dan diplomasi. Kita boleh lihat sendiri berapa ramai orang Melayu/Islam yang dimurtadkan contoh Natrah awal 1950an,Hartina Kamarudin,Asiah Bohari  dan lain-lain tahun 90an-awal 20an dan bagaimana pula sistem pemerintahan Negara dan corak peradaban masyarakat dan minda rakyat khususnya  pemimpin sekarang? Apakah ini bukan kesan penjajahan?
17 ) Negeri-Negeri Tanah Melayu pada asalnya Islam dan menjalankan Hukum Islam dalam pemerintahan , tetapi apabila dijajah ia menjadi sekular dan Islam tidak dipraktik lagi hingga sekarang walau pun terlepas dari NAUNGN British.  Hukum dan Peraturan Islam sudah menjadi asing walau pun kepada orang-orang  Islam sendiri  dan Negara kita yang pada asalnya Islam.  Gara-gara siapakah perkara ini berlaku, pastilah Penjajah!
Kesimpulan dari rasional dan fakta yang saya kemukakan diatas ternyata kenyataan Prof Zainal yang Tanah Melayu tidak dijajah itu suatu ungkapan yang tidak boleh dipercayai dan tidak  masuk akal orang yang tahu serta rakyat Malaysia yang prihatin. Saya berpendapat Prof cuma melakukan pengalihan tumpuan rakyat dari isu yang lebih besar yang melanda Negara dan kepimpinannya sekarang. Oleh kerana isu Mat Indera yang dikaitkan dengan komunis,  dibangkitkan oleh Mat Sabu seorang ahli politik alternatif, tindakan ini dilakukan oleh mempamirkan kesalahan Mat Sabu  kepada masyarakat bahawa beliau salah.   Apa yang dituntut ialah agar ahli sejarah tidak memadamkan peranan yang dimainkan oleh golongan lain dalam menuntut kemerdekaan bukan YTM Tunku dan orang-orang Umno sahaja.
Jelaslah tindakan Prof Zainal yang terlalu pro-Umno, cuba membutakan mata masyarakat khususnya orang-orang Melayu dan cuba menafikan golongan lain yang dianggap kiri dan pro-komunis itu telah mula berjuang menuntut kemerdekaan sejak tahun 1937  lagi, berbanding Umno yang berbincang dan  menerima kemerdekaan seawal tahun 50an sahaja iaitu selepas Umno bertukar pemimpin dari Dato Onn kepada YTM Tunku Abdul Rahman.
Kenyataan Prof itu ternyata salah dan palsu, tambahan pula YAB Timbalan Perdana Menteri telah memperakui Tanah Melayu telah dijajah seperti kenyataan beliau dalam parlimen pada 4 Oktober yang lalu, YM Dato Prof Zainal ternyata cuba mengabui mata rakyat seluruhnya. Sebenarnya fakta sejarah tidak boleh diubah, yang boleh hanya memasukkan fakta-fakta yang sengajakan ditinggalkan tentang perjuangan menentang penjajah dan perjuangan menuntut Kemerdekaan  oleh golongan yang dianggap penderhaka dan golongan  kiri yang dianggap pro-komunis!
“YANG LOREK ITU KENDI, YANG MERAH ITU SAGA,
YANG CANTIK ITU BUDI, YANG INDAH ITU BAHASA.
Terima Kasih, Wassalam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan