Selasa, 6 November 2012

1 perlime jer?


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menumpukan usaha untuk meningkatkan jumlah pelajar mengambil aliran sains yang dilihat semakin merosot kebelakangan ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa khas terdiri daripada kumpulan pakar dan akademia telah diwujudkan untuk membantu kementerian merangka pelan tindakan yang sesuai dalam menangani isu itu. 
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata hanya kira-kira 20 peratus pelajar mengambil aliran sains daripada 472,541 yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Sedangkan kita ada dasar pengambilan iaitu 60 peratus Sains dan Teknikal, 40 peratus Sastera, tetapi nampak hari ini tak sampai 20 peratus. Jadi kita mahu tingkatkan kepada 60 peratus," katanya selepas meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang di sini hari ini.

Muhyiddin yang diiringi Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud dan Pengetua Jahani Kafi, meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau 483 pelajar sekolah berkenaan yang menduduki Kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2.

Muhyiddin berkata jawatankuasa itu semalam, berdasarkan kajian awal, mengemukakan 15 cadangan yang akan dikaji oleh kementerian bagi menambah bilangan pelajar aliran sains di sekolah.

Beliau berkata kemerosotan jumlah pelajar aliran sains dipandang serius oleh kementerian atas faktor kepentingan subjek itu, khususnya bagi negara sedang membangun seperti Malaysia.

"Di negara yang sedang membangun seperti juga negara-negara lain, Malaysia memerlukan pakar dalam bidang kejuruteraan, sains, kedoktoran dan sebagainya.

"Jadi kalau di peringkat sekolah, pelajar tidak cukup, kesannya bila masuk universiti mereka tidak akan ambil bidang ini," katanya.

Muhyiddin berkata antara faktor kemerosotan jumlah pelajar aliran sains adalah kurang dorongan, masalah tenaga pengajar dan kekurangan makmal di sekolah.

Beliau berkata segala usaha akan dilakukan dalam tempoh terdekat dan dijangka jumlah pelajar yang mengambil aliran sains dapat ditingkatkan sebanyak 10 peratus menjelang 2014.

Untuk tujuan itu, kementerian akan melaksanakan kempen-kempen tertentu bagi meningkatkan jumlah pelajar aliran sains, termasuk menimbang kemungkinan memberi insentif cukai kepada ibu bapa yang menggalakkan anak-anak mereka yang berbuat demikian.

"Untuk kempen ini kita (kementerian) minta kerjasama media terangkan kepada masyarakat pentingnya sains dan kita harap juga penglibatan semua peringkat masyarakat untuk dorong generasi masa depan menumpukan kepada bidang sains," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan