Selasa, 6 November 2012

Menteri KPM... tolon baca!

Guru Kecewa,

Keputusan pertukaran guru sesi  2013 baru sahaja diketahui. Namun seperti tahun-tahun  yang lepas, keputusannya masih lagi mengecewakan. Malah keputusan kali ini lebih teruk kerana amat sedikit guru yang dapat bertukar (mungkin hanya pemohon yang ada orang dalam sahaja yang bernasib baik).

Saya telah berkhidmat selama lima tahun (di pedalaman P3, Sarawak), dan mengikut pengetahuan saya berdasarkan garis panduan,  guru yang berkhidmat di pedalaman selama tiga tahun sudah layak untuk dipertimbangkan.

Tetapi keputusan ini amat menyedihkan. Saya terpaksa berjauhan dengan isteri dan dua orang anak. Mereka terpaksa membesar tanpa penjagaan dan kasih sayang saya. Hanya isteri tempat mereka bermanja. Masalah jarak dan masa membuatkan kami berjumpa hanya dua atau tiga kali dalam setahun (itupun hanya seminggu atau dua, kecuali cuti hujung tahun).

Saya sering bertanya apakah yang pihak Kementerian langsung tidak mempertimbangkan permohonan kami? Atau tidak pernah melihat pun permohonan online kami? Apakah kriteria kami tidak sekukuh yang di inginkan. Bukan itu sahaja, ada guru yang telah berkeluarga dan berkhidmat lebih daripada lima tahun  turut tidak dapat bertukar.

Tidakkah mereka terfikir betapa susahnya seseorang yang telah berkahwin tetapi hidup tanpa suami atau isteri di sisi. Isteri yang mengandung pun terpaksa menghadapi saat sukar seorang diri hinggalah saat membesarkan anak-anak. Sebagai seorang suami, saya amat terkilan dan rasa bersalah kerana  membiarkan isteri berkeseorangan menghadapi semua itu.

Namun kerana terpaksa berjauhan dan berkhidmat saya terpaksa akur. Kadangkala secara jujur, keikhlasan menabur bakti kepada anak bangsa hampir pudar kerana kehilangan semangat hidup bersama membina keluarga. Anak-anak sendiri terabai tanpa ayah atau bapa.     

Oleh itu, di sini saya ingin mengesyorkan beberapa langkah untuk Kementerian Pelajaran pertimbangkan bagi menyelesaikan masalah pertukaran guru yang tidak pernah selesai ini.
1.Membuat sistem giliran iaitu guru yang ditugaskan di pedalaman atau Sabah dan Sarawak dihadkan dalam tempoh tertentu. Contohnya selama tiga atau paling lama empat tahun. Apabila habis tempoh tersebut, maka secara automatik guru itu ditukarkan ke tempat yang dianggap memuaskan hati pemohon (kecuali guru yang tidak mahu berpindah). Tempat guru tersebut hendaklah diganti dengan guru yang baharu. Sistem giliran ini lebih adil untuk memberi pengalaman kepada setiap guru merasai susah senang berkhidmat di pedalaman atau negeri orang.

2.Permohonan hendaklah dipertimbangkan bagi mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai anak. Tidak hanya menunggu pemohon yang alasan berpenyakit kronik (yang hampir hendak mati atau cacat kekal) atau laporan keselamatan (hendak dibunuh atau sudah terbunuh baru dapat pindah). Dibimbangkan rezeki kita tidak diberkati Allah kerana kerja kita akan jadi tidak ikhlas, malas, tidak produktif, makan gaji buta, tertekan malah boleh jadi gila.

3.Keutamaan diberi kepada guru-guru yang berkhidmat di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak. Hal ini kerana jarak jauh dan kemudahan yang amat dhaif. Ada antara guru-guru tidak sempat melihat dan menatap wajah-wajah kesayangan mereka buat kali terakhir (kerana meninggal dunia) disebabkan masalah jarak dan kesusahan ini.

4.Layanan yang lebih berbudi bahasa dan profesional. Setiap kali saya tidak dapat bertukar saya akan membuat rayuan di Putrajaya. Namun teramat kecewa kerana layanan yang diberikan amat tidak profesional. Malah lebih menyedihkan alasan sama akan diberi iaitu ”Bos sedang mesyuarat”, atau kata-kata sinis seperti: “siapa suruh pilih jadi guru”, “Sila bawa emak/ bapak/ anak/ isteri/ suami/ awak yang sakit tu”, “Alah orang lain pun kahwin dan ada anak juga”, “Saya pun pernah jadi guru juga tapi ok je”.

Akhir sekali saya amat mengharapkan isu pertukaran guru ini diselesaikan secepat mungkin. Sekiranya pihak kerajaan sudah tidak mampu mengurus masalah sekecil ini atau memang malas untuk berkerja, kami tiada pilihan selain memberi peluang kepada kerajaan baharu yang lebih adil, prihatin, belas kasihan, bertanggungjawab dan telus. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan