JANGAN DIKEJAR DUIT ITU!
Perjalanan REZEKI itu sangat unik. Rasanya ramai yang sedia maklum REZEKI itu bukan hanya duit semata-mata. Duit hanyalah medium pertukaran barang sahaja.
Puas difikir bagaimana caranya untuk dapatkan duit. Kerja siang malam menjadi hamba untuk duit. Semuanya untuk duit, duit, duit. Sedarkah kita sebenarnya niat kita sudah terpesong?
Sebenarnya, kita tidak perlu mencari duit.
"Eh, mana boleh? Habis tu kita nak makan apa?"
Begitulah ayat-ayat yang biasa kita dengar.
Apa yang perlu kita buat sebenarnya, hanya jalankan amanah dan tanggungjawab kita sebaik-baiknya. Ingat, rezeki Allah tidak pernah salah alamat, tidak pernah lambat atau cepat. Ia akan datang pada waktunya.
Jika bukan rezeki kita, nasi di dalam mulut pun boleh keluar semula. Jika memang rezeki kita, jangan risau ia akan datang juga.
Jika ada ujian yang melanda, ada kesusahan yang menimpa, percayalah, Allah mahu kita belajar darinya. Ingat, Allah tidak akan menguji hambaNya dengan ujian yang hambaNya tak mampu hadapi. Setiap ujian pasti ada hikmahnya.
Jadi, bersyukurlah tidak kira ketika susah mahupun senang. Jangan kita lari dari masalah, hadapinya dengan jiwa yang besar. Yakinlah ada sesuatu yang Allah janjikan untuk kita.
Berusahalah menjalankan amanah Allah. Kenali Allah, kenali ciptaanNya. Duit hanyalah ciptaan manusia, apalah sangat jika dibandingkan dengan ciptaan Allah.
Duit dicipta oleh manusia. Jadi mengapa harus kita jadi hamba kepada duit? Sepertimana kita harus sujud kepada pencipta kita, begitu juga duit harus sujud kepada kita. Tetapi kenapa rata-rata manusia sekarang sujud kepada duit, dan berpaling dari Penciptanya? Sedarkah kita? Cuba kita teliti aturan alam yang telah Allah tetapkan.
Sekali lagi, dekati Allah dan fahami apa yang diciptaNya. Pasti harta dunia berlari-lari menuju ke arahmu.
#NotaKaki
Tiada ulasan:
Catat Ulasan