Penduduk bandar Madain berduyun-duyun keluar untuk menyambut kedatangan ketua negeri mereka yang baru diangkat serta dipilih oleh Amirul Mu'minin Umar r.a. Mereka pergi menyambutnya, kerana sudah lama hati mereka rindu untuk bertemu muka dengan shahabat Nabi yang mulia ini, yang telah banyak mereka dengar mengenai keshalihan dan ketaqwaannya, begitu juga tentang jasa-jasanya dalam membebaskan tanah Iraq.
Ketika mereka sedang menunggu rombongan yang hendak datang, tiba-tiba muncullah di hadapan mereka seorang laki-laki dengan wajah berseri-seri. Dia menunggang seekor keldai yang beralaskan kain usang, sedang kedua kakinya terjuntai ke bawah, kedua tangannya memegang roti serta garam sedang mulutnya sedang mengunyah.
Dia berada di tengah-tengah orang ramai dan mereka tahu bahawa orang itu tidak lain dari Hudzaifah Ibnu Al-Yaman r.a, maka mereka jadi bingung dan hampir-hampir tidak percaya. Tetapi apa yang perlu dihairankan? Corak kepemimpinan bagaimana yang mereka nantikan sebagai pilihan Umar? Hal itu dapat difahami, kerana baik di masa kerajaan Parsi yang terkenal itu atau sebelumnya, tak pernah diketahui adanya corak pemimpin semulia ini .
Hudzaifah meneruskan perjalanan sedang orang-ramai berkerumun dan mengelilinginya. Dan ketika dilihat bahawa mereka melihat dia seolah-olah menunggu amanat, diperhatikannya air muka mereka, lalu katanya, "Jauhilah oleh kalian tempat-tempat fitnah!" Ujar mereka, "Di manakah tempat-tempat fitnah itu wahai Abu Abdillah?" Ujarnya, "Pintu rumah para pembesar!" Seorang di antara kalian masuk menemui mereka dan mengiakan ucapan palsu serta memuji perbuatan baik yang tak pernah mereka lakukan!"
Demikianlah Hudzaifah r.a terus menerus mempelajari kejahatan dan orang-orang jahat, kemunafikan dan orang-orang munafiq. Dia berkata, "Orang-orang menanyakan kepada Rasulullah S.A.W tentang kebaikan, tetapi saya menanyakan kepadanya tentang kejahatan, kerana takut akan terlibat di dalamnya. Pernah aku bertanya, "Wahai Rasulullah, dulu kita berada dalam kejahiliyahan dan diliputi kejahatan, lalu Allah mendatangkan kepada kita kebaikan ini, apakah dibalik kebaikan ini ada kejahatan?" "Ada", ujarnya. "Kemudian apakah setelah kejahatan masih ada lagi kebaikan?" tanyaku pula. "Memang, tetapi kabur dan bahaya." "Apakah bahaya itu?" "Iaitu segolongan ummat mengikuti sunnah bukan sunnahku, dan mengikuti petunjuk bukan petunjukku. Kenalilah mereka olehmu dan laranglah."
"Kemudian setelah kebaikan tersebut masihkah ada lagi kejahatan?" tanyaku pula. "Masih," ujar Nabi, "Yakni para tukang seru di pintu neraka. Barangsiapa menyambut seruan mereka, akan mereka lemparkan ke dalam neraka!" Lalu kutanyakan kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, apa yang harus saya perbuat bila saya menghadapi hal demikian?" Ujar Rasulullah, "Senantiasa mengikuti jama’ah kaum muslimin dan pemimpin mereka!" "Bagaimana kalau mereka tidak punya jama’ah dan tidak pula pemimpin?" "Hendaklah kamu tinggalkan golongan itu semua, walau kamu akan tinggal dirumpun kayu sampai kamu menemui ajal dalam keadaan demikian!"
Dia juga berbicara tentang hati, dan mengenai kehidupannya yang beroleh petunjuk dan yang sesat, katanya, "Hati itu ada empat macam: Hati yang tertutup, itulah dia hati orang kafir. Hati yang dua muka, itulah dia hati orang munafiq. Hati yang suci bersih, di sana ada pelita yang menyala, itulah dia hati orang yang beriman. Dan hati yang berisi keimanan dan kemunafikan.Perumpamaan keimanan itu adalah laksana sebatang kayu yang dihidupi air yang bersih, sedang kemunafikan itu tak ubahnya bagai bisul yang diairi darah dan nanah. Maka mana di antara keduanya yang lebih kuat, itulah yang menang."
Rasulullah S.a.w memberitahu tentang Fitnah dan nama orang-orang Munafiq kepada Hudzaifah
Hudzaifah Al-Yaman r.a juga digelar sebagai صاحب السر / Shahibus Sirr (Penyimpan Rahsia) kepada Rasulullah S.a.w. Rasulullah S.a.w telah memberitahunya tentang fitnah dan juga nama-nama orang Munafiq. Beliau berkata, "Pada suatu ketika Rasulullah S.a.w telah memberitahuku segala fitnah yang melibatkan 300 orang atau lebih. Bahkan baginda S.a.w juga memberitahu keadaan fitnah itu, keadaan pemimpinnya, namanya, nama ibubapanya, nama kabilahnya, semua dinyatakan dengan jelas."
Hudzaifah r.a sangat cermat dan teguh memegang segala rahsia mengenai orang-orang munafik selama hidupnya, sampai kepada seorang khalifah sekalipun yang cuba mengorek rahsia tetap dia tidak mahu membocorkannya. [2]
Oleh kerana beliau telah diberitahu oleh Rasulullah S.a.w tentang orang-orang Munafiq, maka Sayyidina Umar r.a selalu bertanya kepada beliau, "Adakah sesiapa dari pegawai-pegawaiku yang munafiq?"
Pada suatu ketika beliau menjawab, "Ada seorang munafiq, tetapi saya tidak akan memberitahu namanya." Umar r.a telah memecat orang itu mungkin melalui firasatnya sendiri.
Sekiranya ada sesiapa meninggal dunia, Umar r.a menyiasat sama ada Hudzaifah r.a menyertai solat jenazahnya atau tidak. Jika Hudzaifah r.a ada bersama, maka Umar r.a juga akan menyembahyangkan jenazah itu. Sekiranya tidak, Umar r.a juga tidak akan menyembahyangkan jenazah tersebut. [3]
Menjelang kematiannya
Ketika Hudzaifah sakit keras menjelang ajalnya tiba, beberapa orang sahabat datang mengunjunginya pada tengah malam. Hudzaifah bertanya kepada mereka, "Pukul berapa sekarang?" Mereka menjawab, "Sudah dekat Subuh." Hudzaifah berkata, "Aku berlindung kepada Allah dari Subuh yang menyebabkan aku masuk neraka." Dia bertanya kembali, "Adakah tuan-tuan membawa kafan?" Mereka menjawab, "Ada."
Hudzaifah berkata, "Tidak perlu kafan yang mahal. Jika diriku baik dalam penilaian Allah, Dia akan menggantinya untukku dengan kafan yang lebih baik. Dan, jika aku tidak baik dalam pandangan Allah, Dia akan menanggalkan kafan itu dari tubuhku." Sesudah itu dia berdoa kepada Allah, "Wahai Allah! Sesungguhnya Engkau tahu, aku lebih suka fakir daripada kaya, aku lebih suka sederhana daripada mewah, aku lebih suka mati daripada hidup." Sesudah berdoa rohnya berangkat. Seorang kekasih Allah kembali kepada Allah dalam kerinduan. Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya. [4]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan