Kisah pelajar terbaik.
Ada seorang pelajar lelaki. Sekolah menengah. Berada di kelas agak corot di sekolahnya. Terkenal dengan kenakalannya.
Sebahagian guru kurang selesa dengan kehadiran pelajar ini. Tidak kurang kawan-kawan sekelas yang membencinya. Dia dipinggirkan kerana beberapa sebab. Pertama, dia tak pandai membaca. Ada masalah 3M, membaca-menulis-mengira. Boleh salin apa yang dituliskan oleh guru di white board sahaja. Kadang-kadang, nampak seperti sindrom disleksia.
Bila guru mengajar, dia tak faham. Guru-guru juga tidak memfokuskan pada dirinya kerana mereka tahu pelajar ini masih gagal membaca dengan baik. Sekali lagi dia tersisih. Sepatutnya pelajar ini tidak berada dalam kelas biasa bahkan ditempatkan di kelas pemulihan. Namun, kelas pemulihan tidak diwujudkan di sekolah tersebut kerana guru pemulihan biasanya hanya untuk sekolah rendah sahaja.
Kedua, sebab dia nakal. Penat guru suruh dia diam waktu PdP, namun tidak diendahkannya. Dia nak melaung, dia melaung. Dia nak menjerit, dia jerit. Dikacaunya rakan-rakan sekelas tak kira lelaki dan perempuan.
Suatu hari, sekolah mengadakan usrah mingguan. Aku jadi mentor beberapa pelajar lelaki termasuklah budak nakal ni.
Usrah bukan sesi berleter. Kenali ahli keluarga usrah kita. Kalau mentor kurang, mentee boleh tegur. Kalau mentee silap, mentor boleh tegur. Seperti biasa, aku tanyakan tentang solat masing-masing. Memang setiap ahli usrah tak ada seorang pun yang solatnya cukup lima waktu.
Lalu, aku ceritakan beberapa kisah pedoman tentang orang yang tidak solat. Orang yang suka tinggal solat dan tangguh solat. Dari orang itu hidup di dunia sehinggalah perjalanannya ke alam kubur hinggalah berakhir di akhirat. Tapi, takdelah best pun penceritaan aku sebab aku bukan cikgu yang pandai berceramah. Plain dan boring kot.
Selesai usrah, mentee-mentee pun bersurai. Akhir sekali, tinggal aku dengan budak nakal tersebut. Tiba-tiba dia pegang lengan aku.
"Cikgu, macam mana nak solat taubat? Ajar saya."
Aku tengok dia bersungguh-sungguh nak tahu. Sinar matanya pun fokus pada aku mahukan jawapan.
"Awak solat dua rakaat macam solat Subuh. Tak perlu qunut. Di setiap sujud, mintalah Allah ampunkan segala dosa. Tak pandai niat tak apalah. Allah tahu awak nak solat apa. Yang penting, ikhlas. Sungguh-sungguh."
Dia berfikir seketika sambil berkerut kening. Kemudian tersenyum. Dia ucap terima kasih dan menyalami tanganku.
Beberapa minggu kemudian, ada perubahan. Kenakalannya berkurang. Bila aku masuk mengajar, dia fokus. Dah jarang usik rakannya. Malah, yang lebih best, dia cuba untuk menjawab soalan-soalan dalam kelas. Dia cuba hafal apa yang aku tulis. Walaupun hanya 2 poin dari 10 poin penting. Itu dah memadai bagi aku untuk pelajar yang tak pandai membaca.
Bagi aku, pelajar ini adalah pelajar terbaik. Walaupun antara yang tercorot di seluruh tingkatannya dari sudut akademik, tetapi yang terbaik dari segi hubungannya dengan Allah.
Adakah benda yang lebih baik dari seseorang Muslim mengakui kesilapannya di depan Tuhannya? Seorang Muslim yang paling bijaksana adalah Muslim yang kembali kepada Allah dengan sepenuh hatinya.
Orang kata dia bodoh. Tak ada harapan lagi lulus.
Tapi bagiku, bodoh tidak bermakna hatinya tidak tulus.
Tapi bagiku, bodoh tidak bermakna hatinya tidak tulus.
Tak lulus di dunia, lulus di akhirat.
**
Sekadar coretan pengalaman kisah benar sepanjang jadi guru.
Sekadar coretan pengalaman kisah benar sepanjang jadi guru.
Murid dah bertaubat. Aku?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan