Namanya Egami Chikahiro. Egami Sensei ini mengajar kami matematik kejuruteraan dan kawalan.
Aku hairan amat dengannya. Setiap kali, kertas peperiksaan subjeknya, aku digagalkan atas punca yang pelik. Contohnya, jika aku tersilap menulis simbol, kertas ujianku keseluruhan terus digagalkan. Hanya aku saja dilayan begitu. Siapa yang tidak malu?
Kemudian, aku disuruh ulang subjek ini di semester baru. Tidak cukup dengan itu, aku diberi kelas khas, setiap petang berguru dengannya 1-1. Ada saja kerja rumahku setiap hari. Setiap kali musim cuti, ada saja tugasan yang dia sediakan khusus untukku. 100 soalan disuruh tulis dalam bentuk folio. Disuruh ulas di papan hitam dengan kapur putih.
Semester demi semester. Setiap kali kuliah istimewa ini, ada saja salahku yang dicari. Katanya, setiap latihan yang aku selesaikan wajib tepat 100%. Alasannya, aku berguru secara berdepan, harusnya lebih faham.
Satu hari, aku dipanggil ke biliknya selepas kuliah petang. "Irufan, adakah kau bosan menghadapku setiap minggu?"
Aku menggeleng, "Tidak, Sensei. Kenapa?"
"Sebenarnya, aku dah luluskan kau TIGA semester lepas."
"Haaaa???" Aku ternganga. Tidak tahu ingin geram, atau bersyukur. Sekadar diam.
"Sebabnya cuma satu. Aku cuma suka mengajar kau."
Pelajaran ini amat besar di dalam hidupku. Kadang-kala, kita tidak tahu bagaimana seorang guru boleh menyukai muridnya. Kita sangka, seorang guru boleh menyayangi muridnya, dengan memberi markah percuma. Menggagalkan muridnya juga adalah satu tanda kasih seorang guru, demi terus menurun ilmu.
Barangkali, kerna peluang bertemu kembali entah bila lagi, maka kita harus terus memberi, selagi masih punyai hari.
FB: Al Irfan Jani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan