Isnin, 4 Mei 2015

sangka baek

14 Rejab 1436H
03 Mei 2015M

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

Mengecilkan hati orang adalah berdosa, berkecil hati juga adalah berdosa, tetapi lebih besar dosanya jika kita berkecil hati.

Sedar atau tidak, kata-kata atau rungutan seringkali diungkapkan oleh insan yang hatinya tidak bahagia. Mungkin ada atau mungkin langsung tiada kebahagiaan dalam hatinya. Tiap hari dan tiap ketika, pasti ada sahaja yang tidak kena pada sudut pandangnya. Itu tanda hatinya tidak bahagia!

Hati itu begitu murah pada pandangan manusia yang lalai, di biarkan retak menanti pecah berderai oleh dosa yang hitam. Masihkah ada peluang bagi kita membersih hati yang dicipta Allah SWT untuk merasai sejuta nikmat. Nikmat iman dan Islam, nikmat kebahagiaan dan ketenangan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati”
(Hadith Riwayat Al-Bukhari)

Adaklanya kita yang hanya insan ni lebih cepat terasa. Sikit-sikit nak terasa, asbab dari perbuatan orang pada kita. Sedar tak sedar, mereka yang hadir itupun dengan izin Allah. Allah nak uji kita. Allah nak tegur dan beri peringatan pada kita. Jika nak ikutkan 'TERASA', mungkin Allah lagi banyak terasa dengan kita, asbab perilaku kita yang teruk tapi Allah masih nak beri peringatan pada kita supaya kita sedar dan masih beri kita peluang dan pelbagai nikmat.

Ketika manusia diciptakan, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Antara sifat positif yangu terdapat dalam diri manusia ialah pemaaf, iaitu lawan kepada sifat pemarah dan pendendam. Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim.

Allah berfirman bermaksud:
“Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan”
(Ali Imran: 134)

Siapakah yang kita cari jika hati terlalu sedih? Siapakah yang kita tuju jika mara bahaya telah mengepung dari segenap penjuru?

Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu maka tidak ada yang dapat menolak kurniaan-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
(Yunus: 107)

Hati yang sentiasa mengingati Allah SWT, di situlah akan bermula segala kebaikan tercipta. Hidup tenang diperoleh jika senantiasa bersama Allah, dan Allah hanya akan menyertai orang yang senantiasa membersihkan hatinya.

Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah, menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadah kerana beribadah itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.

Al-Fudail bin ‘Iyadh berkata:
“Sesiapa yang memperbaiki hatinya kerana Allah, nescaya Dia akan memperbaiki amal perbuatanmu. Sesiapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki hubungannya dengan orang lain”

Tiada yang lebih menyayangi kita selain Allah SWT dan diri kita sendiri. Jalannya telah ditunjukkan oleh Nabi SAW iaitu bersihkan hati dan berbuat adil pada tubuh badan ini.

Justeru, jangan mudah terasa hati. Kalau kita terasa hati, maknanya kita tak redha dengan takdir Allah. Nanti Allah pun tak redha dengan kita.

Dr Nurazmallail (UTM)
3/5/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan