Ahad, 17 Mei 2015

sentap

Tadi saya solat di Petronas Sri Gombak. Sebelum solat, dalam surau tu ada dua orang lelaki berbual. Seorangnya tua, seorang lagi muda. Selesai saya ambil wuduk, lelaki muda tu berlalu dan yang lelaki tua tu maseh duduk sambil memegang plastik yang penuh dengan pakaian.
Saya terdengar sedikit perbualan akhir mereka. Kata lelaki muda,
"Di Baitul Mal Sungai Buloh, ada kerja kosong. Pergilah."
Saya dalam hati, mungkin lelaki tua ni nak minta zakat agaknya. Kemudian mungkin lelaki muda tu suruh orang tua tu cari kerja.
Lepas solat, saya terdengar dia berbual dengan Arif. Orang tua tu tanya,
"Dik, tempat adik kerja, ada kosong tak?"
Arif jawab, "Saya belajar lagi, Pak Cik.. Maaf sangat ya."
"Oh yeke..." sedih kedengaran orang tua mendengar jawapan itu.
Selepas berdoa, saya terus paling ke belakang, dan bersalam dengan orang tua itu.
"Pak cik cari kerja ke?"
"Haah.. Pak cik dah lama cari kerja..."
Walaupun nadanya sedih, namun senyumannya begitu manis sekali. Saya tidak menyangka orang sebegitu pun, mempunyai masalah kerja.
"Dah berapa lama pak cik cari? "tanya saya.
" Dah 15 hari.. Di Gombak ini saja pak cik cari dekat 15 hari. "
Saya amat terkejut. Mustahil Gombak yang semaju ini, mempunyai banyak kedai, tidak punyai kerja kosong.
"Pak cik dah minta kerja pemandu lori, pembasuh pinggan kat kedai, jaga kedai, cleaner, semuanya tak dapat."
Saya lebih terkejut.
" Eh, kenapa tak dapat, pak cik? Takkan tak dapat? Kerja cleaner pun tak dapat?"
Dengan senyuman, tetapi matanya berair, dia menceritakan,
"Kebanyakan kedai dah tak mahu orang Melayu jadi pekerja. Mereka lebih sukakan pekerja Indonesia dan Bangladesh."
Saya berkerut. Hati saya tiba-tiba terasa bahang.
"Pak cik melutut untok bekerja di kedai makan, tapi mereka tak mahu pak cik. Mereka mahu pekerja yang ada agensi. Yang ada agensi pula, semuanya warga Indonesia, Nepal dan Bangladesh.
Pak cik dah tua, dik. Umur pak cik 52 tahun. Pak cik dah tak ada keluarga lagi. Pak cik dapat kerja jadi pengawal keselamatan pun, tak kisahlah. Tapi pak cik ada penyakit jantung. Bila pak cik ke agensi pengawal keselamatan, mereka tak mahu orang tua yang ada pengakit.
Pak cik minta kerja di McDonald's dan KFC. Mereka tak mahu pekerja umur atas 35 tahun. Mereka nak yang muda. Pekerja cleaner pun, diorang nak yang Indonesia atau Nepal sahaja.
Pak cik cuba minta di McDonald's bawah tu. Supervisor dia tanya, pak cik ni orang Malaysia ke, orang Indonesia. Pak cik kata pak cik orang Malaysia. Lepas tu dia terus menolak. Katanya, dia mahukan pekerja Indonésia.
Pak cik ke kedai runcit. Mereka tak mahu pekerja yang berpenyakit dan tua. Pak cik nak kerja basuh pinggan saja. Tapi hampir semua sudah dipenuhi dengan pekerja Indonesia dan Bangladesh. "
Saya amat berang sekali. Tergamak bangsa kita membiarkan saudaranya terkapai-kapai,sedangkan bangsa lain pula yang mendapat kesenangan! Celaka!
" Pak cik tak nak kerja di stesen minyak kah? Boleh minta di Petronas sini." Tanya saya.
"Inilah peluang terakhir pak cik. Kalau tak dapat juga, pak cik akan ke Sungai Buloh esok pagi naik bas."
Saya menggeleng.
"Pak cik tidur di mana? Sudah makan kah?"
"Pak cik tidur di masjid sahaja. Pak cik tak ada rumah. Pak cik ada RM2.00 sahaja. Pak cik tak makan lagi. Pagi tadi nasib baik ada orang belanja roti canai. "
Dia keluarkan satu note RM1.00 dan beberapa duit syiling.
Nak menangis saya melihat keadaan itu. Patutlah di tangannya ada plastik berisi pakaian. Terpaksa merempat di masjid-masjid untok berteduh. Saya terus keluarkan beberapa wang di dalam dompet saya lalu saya berikan pada dia.
Saya katakan, "Ini duit makan. Dan yang ini duit nak ke Sungai Buloh. Saya minta maaf sangat kerana tak dapat membantu."
Matanya berair. Dia kata pada saya, "Nama adik apa?"
"Farid. Farid Wajdi." jawab saya sambil tersenyum. Mata saya sudah mula berair melihat senyuman tabahnya itu.
"Terima kaseh Farid. Boleh pak cik nak nombor telefon? Kalau pak cik dah dapat kerja, pak cik nak belanja Farid."
Ya Allah. Mulianya hati pak cik ini. Dalam keadaan susah, maseh mengenang jasa orang lain. Dalam kesusahan, maseh lagi difkirkan untok membuat kebaikan.
Saya pun berikan nombor telefon saya.
Akhirnya saya pun meminta diri kerana saya sudah hampir terlambat untok ke kelas.
Di dalam kereta, saya tertanya-tanya, apakah malangnya menjadi orang tua Malaysia. Nasib mereka lebih buruk daripada pendatang asing. Inilah dikatakan kera dihutan disusukan, anak di rumah kelaparan.
Saya doakan pak cik dapat kerja dan petempatan yang terbaik. Saya doakan. Kata saya sebelum kami berpisah.
Ayuh, kawan. Ayuh doakan! - By Muhammad Farid Wajdi Bin Hanif

Tiada ulasan:

Catat Ulasan