Isnin, 4 Mei 2015

tempat koje

PERNAHKAH kita bertemu dengan seorang rakan sepejabat yang tak sudah-sudah mengkritik syarikat tempatnya bekerja? Ada sahaja perkara yang tak kena pada pandangannya. Kalau syarikatnya membuat peraturan baharu agar setiap kakitangan mengisi buku kedatangan apabila hendak ke luar pejabat untuk urusan peribadi, dia akan mengata yang syarikatnya mengongkong pekerja kerana mengadakan peraturan yang ketat.

Jika bosnya lewat mengadakan mesyuarat kerana ada hal yang tak dapat dielakkan, dia akan mengutuk bos sebagai orang yang suka menangguhkan kerja. Jika bosnya mempercepatkan mesyuarat, dia akan kata pula yang bosnya gila mesyuarat. Apabila gajinya tidak naik kerana prestasi kerjanya yang buruk, dia kata yang syarikat telah memeras tenaganya. Pendek kata, ada sahaja yang tak kena dengan syarikat dan majikannya.

Sebenarnya, tiada sesiapa pun yang memaksa dia bekerja di syarikat tempatnya bertugas. Malah, dia sendiri yang memilih untuk menghadiri temuduga syarikat dan datang apabila diminta melapor diri. Dia juga yang menandatangani surat perlantikannya sebagai pekerja di syarikat itu. Malah, tiada sesiapa pun yang memaksanya untuk terus bekerja walaupun dia tidak setuju dengan segala yang ditentukan oleh syarikatnya.

Pekerja begini sebenarnya rugi. Dia rugi kerana berasakan bahawa bosnya menguasai segala-galanya daripada segi peraturan, kelengkapan tempat kerja serta tangga gajinya. Dia punyai konsep bahawa dia makan gaji. Gajinya diberi oleh majikan. Apabila gajinya tidak naik, dia mencerca syarikat. Sesungguhnya dia telah terlupa bahawa segala-galanya sudah ditentukan oleh Ar-Razzak, Yang Menganugerahkan Rezeki.

Sebenarnya apabila tiada sesiapa pun yang memaksa dia menghadiri temuduga, datang melapor diri, menandatangani surat tawaran sebagai pekerja dan mula bertugas di syarikat itu, siapa lagi jika tidak ALLAH SWT yang telah menempatkannya di situ. Dialah yang telah tentukan bahawa rezeki pekerja itu datang melalui pendapatan syarikat tempatnya bekerja.

Justeru itu, dia seharusnya berdoa agar bosnya berjaya mengendalikan syarikat hingga mendapat keuntungan. Kejayaan syarikat tempatnya bekerja itu bermakna, bosnya juga yang mendapat keuntungan dan keuntungan itu mengalir dalam bentuk gaji, bonus dan segala kemudahan baharu yang akhirnya dia juga akan yang perolehi.

Soalnya, dia tidak percaya yang apabila syarikat untung, bosnya sahaja yang mendapat labanya dan dia hanya dapat sedikit. Bos dapat isi, dia dapat tulang. Sebenarnya, dia bukan tidak percaya kepada bosnya. Sebaliknya, dia terlupa bahawa ALLAH SWT yang memberinya rezeki. Kerana itulah, walaupun dia sembahyang lima waktu sehari, bersolat sunat qabliyah dan ba’diyah, siap dengan tahajjuddnya pada setiap malam, berdoa untuk diri, keluarga serta seluruh muslimin dan muslimat samada yang hidup atau yang telah mati, dia tidak pernah mendoakan walau satu ayat pun untuk syarikat tempatnya bekerja.

Dia tidak pernah mendoakan agar segala urusan syarikat tempat kerjanya dipermudahkan, diperluaskan rezeki serta dijauhkan daripada segala masalah dan musibah. Malah, dia tidak juga mendoakan agar bosnya itu dikurniakan kesihatan dan keafiatan supaya bosnya itu diberikan tenaga dan idea yang mencurah-curah agar rezeki syarikat melimpah-ruah sehingga dia turut mendapat bahagiannya.

Sebaliknya, apabila dia berterus-terusan mencerca syarikat, memperli dalam perbualan dengan rakan sepejabat, mengumpat apabila berpeluang bercerita dengan kawan-kawan, mengeluh dan mencerita yang buruk-buruk dengan ahli keluarga, mengutuk pula melalui laman-laman sosial hingga satu dunia tahu cacat cela syarikat tempatnya bekerja, sesungguhnya dia telah mencurah pasir ke dalam periuknya sendiri!

Sepatutnya jika dia berasa yang syarikatnya tidak berguna walau satu sen pun, pada waktu yang terdekat, dia seharusnya menghantar surat perletakan jawatan. Habis cerita. Jika syarikat tempat kerjanya itu teruk sangat, apabila dia mengundur diri, syarikat itu pasti runtuh akibat ketiadaannya! Jika itulah yang diharap-harapkannya.

Tetapi, tidak patut pula mendoakan agar syarikatnya itu lingkup. Kasihan dengan kawan-kawan yang tinggal mencari sesuap nasi dengan terus bekerja di syarikat itu. Kasihankan juga diri sendiri kerana tidak fasal-fasal telah mencatat dosa akibat mendoakan kemusnahan terhadap orang lain.

Sedarilah. Apabila dia memohon kerja di sesebuah tempat, biasanya syarikat itu sudah wujud. Ini bererti, sebelum dia ada, syarikat itu sudah beroperasi. Apakah besar kebarangkalian sekiranya apabila dia tiada kelak, syarikat itu akan turut tiada? Sedarilah, Yang Menghidup dan Yang Mematikan makhluk itu adalah ALLAH SWT. Bukannya kita yang boleh menghapuskan sesuatu apabila kita tidak sukakannya.

Justeru itu, seandainya ‘dia’ di dalam tulisan ini adalah anda, maka renung-renungkanlah…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan