Terima kasih, Dr Radzi Judin. Jasa YB tetap dikenang ...
'Semalam merupakan hari terakhir saya berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia, KPM. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana telah memberi kepercayaan kepada saya mengemudi sebuah kementerian yang memainkan peranan amat besar dalam membangunkan generasi pewaris negara. Thank you very much, Sir!
Dari hari pertama menjejakkan di kementerian, saya telah menyatakan kepada warga KPM bahawa saya adalah seorang pekerja sepertimana mereka. “Yang membezakan kita cuma nama kerja saya iaitu, Menteri”. Saya mengabdikan diri sepenuhnya kepada urusan kementerian sepanjang 18 bulan yang lalu. Bagi saya, setiap detik itu adalah amanah yang perlu digunakan sebaiknya untuk melakukan penambahbaikan kepada ekosistem pendidikan negara. Saya berada di Kementerian bukan untuk menjadi popular. Tetapi untuk saya melakukan perkara yang betul mengambilkira data dan maklumat yang ada serta analisis yang dibuat.
Sejujurnya, menguruskan Kementerian dalam waktu pandemik COVID-19 bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak ada sesiapa pun di antara kami di Kementerian atau di luar sana pernah melaluinya. Sebab itu kami amat teliti dalam membuat sebarang perancangan. Setiap keputusan dibuat berdasarkan perbincangan yang amat mendalam selepas mengambilkira pandangan pelbagai pihak.
Secara peribadi saya merasakan bahawa setiap detik saya di Kementerian dalam tempoh 18 bulan yang lalu telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik demi generasi pewaris negara. Banyak perkara tunjang di Kementerian yang berlarutan bertahun-tahun lamanya telah dapat diselesaikan. Sebahagiannya sedang diselesaikan. Prinsip saya mudah. Jika niat kita ikhlas dan kita ikhtiarkan sebaiknya untuk menyelesaikan sesuatu perkara, InsyaAllah sesukar mana sekalipun penyelesaiannya, Allah akan membuka jalan untuk kita. Ada yang dicapai dalam masa yang singkat dan ada yang mungkin memerlukan masa yang lebih panjang. Sekiranya apa yang telah diikhtiar dengan terbaiknya itu tidak berjaya seperti yang dihasratkan, tentu ada hikmah disebaliknya. Apa pun, saya selalu berpesan kepada warga Kementerian, Nothing beats hard work!
Selain menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan, banyak juga penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan. InsyaAllah, sekiranya segala perancangan dan usaha yang ditinggalkan dapat diteruskan sebaiknya, kita boleh melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap yang jauh lebih tinggi.
Kepada dua pendokong utama saya di Kementerian, Ketua Setiausaha Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datin Sri Nor Zamani, terima kasih atas jasa baik dan usaha gigih kalian. Terima kasih juga saya ucapkan kepada seluruh kakitangan Kementerian, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah yang bertungkus lumus untuk memastikan segala perancangan dapat berjalan dengan baik. Sebagai Panglima Perang di waktu krisis, mungkin ada yang tersinggung dengan tindakan atau ketegasan saya. Maafkanlah saya.
Untuk guru-guru, terima kasih atas bakti dan keringat yang dicurahkan dalam tempoh sukar ini. Semua dalam kalangan kita tidak pernah melalui situasi sebegini, jadi kita sentiasa sama-sama berikhtiar untuk dapatkan penyelesaian terbaik. Masing-masing telah berusaha sehabis baik untuk memastikan anak-anak murid dapat terus belajar dalam keadaan selamat. Tidak kira sama ada secara bersemuka atau PdPR. Apa yang penting, murid terus mendapat akses kepada pendidikan.
Akhir kalam, saya menginsafi bahawa saya cuma dipinjamkan oleh Allah SWT untuk mengemudi KPM dalam tempoh yang amat sukar dan tidak pernah dilalui oleh mana-mana Menteri Pendidikan sebelum ini. Saya anak kampung yang merantau ke luar negara hampir 20 tahun dan kembali ke tanah air dengan niat semata-mata untuk menabur bakti kepada ibu pertiwi. Amanah mengemudi KPM telah saya pikul dengan seikhlas hati tanpa sekelumit niat lain selain daripada melihat kualiti Pendidikan negara dapat dilonjakkan ke pringkat yang jauh lebih tinggi.
Kini, dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat, negara hampir keluar dari kemelut pandemik COVID-19. Tempoh persinggahan yang dizinkan Allah di KPM akhirnya tamat semalam.
Kepada ibu bapa, sesungguhnya saya telah ikhtiarkan yang terbaik untuk anak-anak kalian dalam tempoh yang penuh cabaran ini. Kepada guru, saya tidak pandai beretorik. Tapi yakinlah dan tanyalah rakan-rakan di Kementerian, saya telah usahakan yang terbaik untuk kalian dalam tempoh yang amat sukar ini. Kepada anak-anak, pak cik doakan yang terbaik buat semua. Jangan lupa doakan pak cik!'
dari laman fb dr radzi jidin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan