“OPERATION CAT DROP”, BARIO, SARAWAK 1960
mungkin ramai yang berfikiran sinis apabila melihat kepada teaser yang menjadi penghias artikel daripada Borneo Oracle kali ini. Sudah semestinya ramai yang mengatakan bahawa ini hanya cerita kartun semata-mata kerana mana mungkin seekor binatang seperti kucing menjadi penerjun professional. Teaser itu hanya penghias artikel namun untuk kesekian kalinya Borneo Oracle akan memaparkan satu sejarah yang tidak pernah dilakukan pada mana-mana tempat di dunia ini melainkan sejarah pelik tapi benar ini berlaku di bumi Sarawak iaitu di Bario, Miri, Sarawak. Sejarah ini berkait secara langsung dengan anggota pasukan beruniform di Sarawak sekitar tahun 1960 yang mana ketika itu Sarawak masih lagi menjadi jajahan Koloni British Borneo.
Sejarah “Operation Cat Drop” ini merupakan satu sejarah yang sudah semestinya tidak diketahui oleh ramai rakyat Sarawak sekarang kerana ianya adalah satu sejarah yang pelik kerana ianya belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemerintah di dunia sehingga sekarang. Ianya dikenali sebagai “Operation Cat Drop” kerana melibatkan sekumpulan kucing-kucing yang dijatuhkan di bumi Bario, Sarawak dengan hanya menggunakan payung terjun dari sebuah pesawat tentera. Operasi pelik tapi benar ini berlaku sekitar tahun 1960 dan ianya dikaitkan secara langsung dengan Angkatan Tentera Udara British dan juga pihak Bomba Kuching.
Umum mengetahui bahawa Bario merupakan satu-satunya daerah di Sarawak yang terletak di kawasan tanah tinggi iaitu kira-kira 1,150 meter dari aras laut di kawasan timur laut Sarawak. Dengan dikelilingi oleh hutan tebal serta faktor muka bumi yang bergunung-ganang seperti Gunung Murud yang merupakan puncak tertinggi di Sarawak menyebabkan Bario beriklim sejuk sederhana dengan suhunya sekitar 16 hingga 25 darjah Celcius. Kerana lokasinya yang terletak di tanah tinggi maka satu-satunya penghubung ke daerah Bario yang paling cepat adalah dengan menggunakan khidmat pesawat Twin Otter yang boleh diambil dari Miri atau Marudi. Tempoh penerbangan adalah kira-kira 50 minit dari Miri atau 40 minit dari Marudi. Walau bagaimanapun Bario juga boleh dihubungi dengan jalan darat namun begitu jarak perjalanan darat ini adalah jauh dan mengambil masa yang agak lama.
Sekitar tahun 1959, Bario telah dilanda dengan wabak malaria yang teruk sekali sehingga menyebabkan kematian penduduk-penduduk di Bario. Wabak malaria sudah tentunya satu wabak yang amat digeruni sehingga sekarang kerana amatlah susah untuk menyembuhkannya lebih-lebih lagi pada masa dahulu yang mana Sarawak masih lagi kekurangan di dalam semua aspek. Pihak pemerintah British Borneo yang menjadi pemerintah Sarawak pada masa itu begitu khuatir dengan wabak malaria yang melanda Bario sehingga meminta pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk berganding bahu menyelesai epidermik ini dari terus berlaku.
Melalui hubungan yang akrab antara Kerajaan Mahkota British dan WHO pada masa itu sekitar Jun 1959 maka pihak WHO telahpun dihantar ke bumi Bario untuk membasmi malaria daripada terus menular. Pada ketika itu, pihak WHO telah menggunakan kaedah semburan racun serangga DDT ke atas semua ceruk rumah panjang masyarakat Kelabit juga bangsal-bangsal tempat menyimpan hasil padi mereka. Semburan racun serangga DDT ini adalah semburan yang paling berkesan di dalam membunuh nyamuk pembawa malaria yang mempunyai parasit Plasmodium Malaria. Hasil daripada tindakan yang segera ini akhirnya epedemik malaria di Bario berjaya dihentikan.
Namun begitu tanpa diketahui oleh pihak WHO bahawa apabila semburan DDT ini dilakukan maka akan terjadi satu lagi fenomena iaitu selepas semburan itu yang mana ianya hanya kelihatan 6 bulan selepas semburan iaitu partikel-partikel halus semburan itu akan tepu dan mengering di segenap pelusuk tempat-tempat yang disembur. Ini boleh terjadi kerana faktor iklim di Bario yang bercuaca sejuk tidak “mesra alam” dengan penggunaan semburan DDT. Natijahnya setiap serangga dan juga binatang yang tersentuh kepada semburan yang mengering ini akan mati. Diceritakan ketika itu hampir 99% kucing-kucing peliharaan mahupun gelandangan yang berada di Bario menjadi korban kerana semburan yang mengering tersentuh kepada bulu mereka dan sudah menjadi sifat kepada kucing untuk menjilat bulu-bulu mereka. Aktiviti rutin kucing-kucing di Bario ini menjadi satu faktor kepada kepupusan mereka kerana kucing-kucing ini akan sakit beberapa hari dan akhirnya menemui ajal.
Kematian kucing-kucing di Bario yang di dalam skala besar telah menggusarkan penduduk-penduduk di Bario kerana keberadaan kucing di Bario amat diperlukan memandangkan penduduk-penduduk di Bario bergantung kepada hasil penanaman padi Bario iaitu sejenis padi yang bermutu tinggi dan hanya ada di Bario dari dahulu sehingga sekarang. Dengan adanya kucing-kucing sudah tentu tikus-tikus dan juga makhluk perosak yang lain tidak berani hampir dengan bangsal-bangsal menyimpan padi dan juga rumah-rumah penduduk di Bario. Maka timbullah pula satu lagi masalah di Bario apabila tikus sudah naik junjung dan keberadaan mereka terlalu banyak sehingga menyebabkan laku musnah yang amat merugikan kepada penduduk-penduduk di Bario. Terdapat satu cerita yang dicatitkan di dalam sebuah buku berjudul “Fairland of Sarawak” karangan Alastair Morrison iaitu ada satu ketika seorang penjawat awam pentadbiran Koloni British Borneo yang bertugas di Bario iaitu Malcolm MacSporran yang ketika itu sedang nyenyak tidur di rumahnya tiba-tiba menjerit ketakutan sehingga seluruh bumi Bario bangun dibuatnya. Rupa-rupanya Malcom MacSporran yang sedang lena dibuai mimpi siaga disebabkan tikus-tikus telah menjadikan bantal tidurnya sebagai sarang untuk pembiakan.
Bertitiktolak daripada ini, Malcom MacSporran sendiri yang memanjangkan peristiwa tikus-tikus bermaharajalela ini kepada pemerintah Koloni British Borneo di ibukota Kuching, Sarawak. Bertindak daripada laporan ini, pihak pemerintah Koloni British Borneo di Kuching telah mengarahkan pihak Bomba Kuching pada ketika itu untuk mengumpulkan sejumlah kucing-kucing untuk dihantar ke bumi Bario. Inilah sahaja cara penyelesaiannya daripada membiarkan penduduk Bario dan hasil tanaman mereka hancur musnah. Setelah kerja-kerja pengumpulan kucing-kucing dilakukan oleh pihak Bomba Kuching maka kucing-kucing ini diserahkan kepada unit Tentera Udara British yang dijadualkan untuk menerbangkan kucing-kucing tersebut ke bumi Bario.
Setelah segalanya menurut prosedur akhirnya pada tanggal 17hb Mac 1960 satu operasi ketenteraan yang dikenali sebagai Operation Cat Drop telah dijalankan di bumi Bario. Menurut jadual asalnya seharusnya 25 ekor kucing yang diletakkan di dalam bakul rotan yang besar ini dihantar ke Bario dengan menggunakan pengangkutan udara tentera namun begitu ketika penerbangan itu cuaca amat buruk sekali sehingga tiada cara bagi pesawat untuk mendarat di bumi Bario. Akhirnya penerbangan itu beralih ke Jesselton, North Borneo untuk mengisi minyak kerana cuaca amat buruk sekali. Dijadikan cerita di sepanjang perjalanan itu, anggota tentera udara yang bertugas di dalam pesawat ada yang calar-balar dicakar oleh kucing-kucing yang ketakutan dan itulah antara penyebab mereka harus ke Jesselton untuk mendapatkan rawatan.
Sekali lagi pada keesokan harinya, pesawat tentera udara British telah cuba untuk mendarat ke bumi Bario namun sekali lagi cuaca juga menjadi rintangan bagi mereka. Akhirnya pihak pentadbiran British Borneo memberi arahan kepada pesawat tentera ini untuk mengikat bakul berisi 25 ekor kucing pada payung terjun dan kemudian dijatuhkan di bumi Bario pada hari itu. Patuh pada arahan akhirnya Operation Cat Drop berjaya dilakukan maka jadilah 25 ekor kucing ini antara penerjun payung terjun professional di bumi Sarawak. Tidaklah diketahui berapa banyak kucing yang hidup di dalam operasi itu namun begitu keberadaan kucing-kucing “hadiah” daripada rakyat Kuching, Sarawak ini adalah antara penyelamat daripada tanaman padi di bumi Bario daripada hancur musnah. Dan dikatakan bahawa kucing-kucing yang berada di Bario sekarang adalah baka-baka daripada 25 ekor kucing yang dijatuhkan di bumi Bario suatu waktu dahulu.
Inilah sekelumit cerita sejarah pelik tapi benar yang pernah berlaku di bumi Sarawak iaitu di Bario suatu waktu dahulu. Peristiwanya seakan-akan lucu tetapi di dalam kelucuan ianya adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa dan ekonomi bangsa Sarawak pada waktu itu. Operation Cat Drop, Bario 1960 kekal sebagai satu sejarah yang unik kerana sehingga sekarang tiada lagi operasi bersejarah yang sebegitu rupa pernah di lakukan di dunia ini. Ianya hanya terjadi di Sarawak Bumi Kenyalang suatu waktu dahulu.
sumber: Borneo Oracle
Tiada ulasan:
Catat Ulasan