“Pukul berapa enta bangun pagi ini?” Tanya seorang teman. “Alhamdulillah ana bangun awal. Sekitar 4.30 pagi. Itukan pesan ayah kita selalu. Kalau bangun awal, kita mampu untuk menggapai sejadah memohon munajat kepada sang Pencipta”.
Doalah agar kehidupan kita pada hari ini adalah kehidupan yang penuh dengan barakah dan lindungan dariNya. Kata sang Hukama, “apa yang anda lakukan pada awal pagi itu menentukan kehidupan anda untuk seharian yang mendatang”.
Tak salah untuk bersedia dari seawal mungkin. Kerana disitu terletaknya seribu keberkatan hidup. Rezeki itu kan datang pada awal waktu!
Jadikanlah hari ini hari yang terbaik dari hidup kita.. Sesungguhnya hari semalam adalah hari yang telah berlalu, dan ianya akan pergi buat selama lamanya. Sama ada kita sebagai manusia yang merancang kehidupan kita, telah berpuas hati dengan perancangan dan perlaksanaan itu, ataupun ianya meninggalkan seribu kepahitan dalam sanubari kita, ianya sudah pergi bersama sama perginya hari semalam. Dan tanpa perlu dirawati, ia tidak akan muncul kembali pada hari esok.
Seumpama kata Dr Aidh Abdullah Al-Qarni dalam bukunya La Tahzan : ”hidup sambil mengungkit ngungkit masa lalu bermakna menyia-nyiakan masa sekarang, mengoyak-ngoyakkan perjuangan, dan memporak-porandakan masa kini. Allah sudah menceritakan tentang umat-umat yang lampau dan apa yang sudah mereka lakukan “Yang demikian adalah umat yang sudah berlalu” segalanya sesuatu sudah selesai bagi mereka”.
Yang tinggal kepada kita sebagai seorang manusia adalah hari ini yang masih menyimpan seribu kata soal dengan isi tersirat yang hanya diketahui oleh sang Pencipta. Andai hari semalam itu amat pahit dalam jiwa kita, penuh dengan tangisan yang langsung tidak indah, bangkitlah pada hari ini.
Azamkanlah dalam dada bahawasanya hari ini adalah hariku. hari ini adalah kebangkitanku sebagai seorang muslim. Akan aku daki gunung yang tinggi. Akan aku redah lautan yang luas. Akan aku kejar walaupun tempang. Kerana sesungguhnya Dia menciptakan dunia ini untuk aku. Tiada yang terabai daripada penglihatannya.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud : “Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya pada hari ini sama dengan yang semalam, dia adalah orang yang rugi. Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah S.W.T”.
Ayuh! Bangkitlah wahai hati hati yang sedang lena dibuai alam mimpi yang menyeronokkan. Ayuh sematkan dalam dada kita. Kita adalah satu umat yang cemerlang. Kita adalah satu umat pejuang. Kita tidak sesekali rela bangsa ini dicemuh dan dihina. Kita menderita tatkala saudara kita di Palestin ditindas dihina dan diaibkan. Bangkitlah untuk terus menyelongkar kehidupan dan mencari rezeki rezeki yang telah Dia sediakan untuik kita. Ini adalah bumi Tuhan, ia diciptakan melainkan untuk sang perindu yang merindui kehidupan yang hakiki tatkala bertemu Rabb nanti.
kredit: http://www.fikrahislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan