Rabu, 10 Ogos 2011

Ramadhan di perantauan, suatu catatan


http://www.drazmanibrahim.com
 
Bagi Negara yang mempunyai empat musim, setiap Ramadhan ditempuh dalam suasana berbeza. Dalam konteks Negara teluk seperti Iraq, bulan Julai dan Ogos yang sedang kita lalui sekarang ini adalah kemuncak musim panas dengan suhu mampu mencecah antara 47° - 49°C, suatu keadaan yang tentunya agak asing untuk kita tempuhi. Siang hari akan menjadi lebih panjang dari malam dengan azan subuh akan berkumandang sekitar 4.40 pagi dan maghrib sekitar 8.20 malam. Kesabaran dan keimanan yang tinggi amat dituntut untuk berpuasa dalam keadaan cuaca sebegini.

Sepanjang 6 tahun di perantauan, Alhamdulillah, Ramadhan tiba pada musim sejuk yang tidak begitu mencabar untuk ditempuhi. Musim sejuk di Iraq yang menjelang sekitar Oktober akan berakhir pada penghujung Mac dengan kemuncaknya sekitar Januari dan Februari. Di Baghdad kemuncak musim sejuk dengan suhu sekitar 3°-4°C, tidak ada salji yang turun berbeza dengan bahagian utara Iraq seperti Wilayah Sulaimaniya yang didiami komuniti Kurdi akan dilitupi salji. Wilayah dengan bentuk geografi bergunung-ganang  ini begitu indah dilitupi keputihan salji. Sayangnya, situasi politik dan keselamatan di wilayah autonomi Kurdi ini, tidak mengizinkan untuk kita menjelajah jauh menikmati keindahannya.

Berbanding suasana musim panas, siang hari akan menjadi pendek di musim sejuk dengan azan subuh berkumandang sekitar jam 6.30 pagi dan kami akan mengadap hidangan berbuka puasa sekitar jam 5.30 petang. Saudara mara di Malaysia baru siap sembahyang asar, kami sudah berbuka.
Tinggal di perantauan ditambah lagi berseorangan di University Of Baghdad, Ramadhan selalunya dimeriahkan dengan jiran-jiran dan kawan-kawan masyarakat setempat yang menerima saya seadanya sebagai sebahagian dari komuniti mereka. Walaupun diperingkat awal mereka selalu bertanya adakah saya berpuasa dan apa makna puasa bagi saya. Semuanya ini adalah kerana lemahnya pengetahuan mereka tentang Malaysia. Mereka tidak begitu memaklumi tentang adanya sebuah Negara umat Islam bernama Malaysia di sebelah selatan Thailand yang selalu dikunjungi oleh masyarakat Arab untuk bercuti ketika musim panas. Ramai yang saya temui menyatakan mereka pernah ke Bangkok tetapi tidak tahu di mana lokasi Malaysia. Astaghfirullah…

Alhamdulillah, lokasi tempat tinggal saya di Adhamiya sebuah Bandar kecil kira-kira 20 km dari pusat Bandar Baghdad, di pinggiran Sungai Dajlah dengan masyarakat di persekitaran Jamek Imam Al Adham (Masjid Imam Abu Hanifah) adalah masyarakat yang agak kuat berpegang dengan agama dan masih mengekalkan nilai hidup tradisi masyarakat Arab. Budaya mengajak kawan-kawan berbuka puasa di rumah walaupun dengan hidangan yang sangat sederhana masih menjadi amalan. Beberapa rumah kawan-kawan yang agak dhaif yang sempat saya kunjungi untuk memenuhi undangan, tuan rumah kelihatan teragak-agak untuk makan bersama bimbang kita tetamu tidak dapat menikmati makanan dengan sempurna. Hanya lebihan tetamu akan dijamah mereka.

Kawan-kawan yang bermazhab syiah tidak akan berbuka bersama kita kerana bagi mereka masuknya waktu maghrib, belum lagi dibolehkan berbuka sehinggalah hilang mega merah di kaki langit saat menghampiri waktu isyak barulah mereka menjamah makanan. Permulaan puasa pula bagi mereka pula ialah apabila terbit matahari bukannya menjelang masuk waktu fajar sebagaimana kita Ahlu Sunnah Wal jamaah. Jangan merasa pelik kalau melihat ada orang yang sedang mengadap hidangan selepas solat subuh kerana mereka adalah penganut mazhab syiah yang sedang bersahur!  Walaupun begitu mereka meraikan apa yang menjadi amalan kita. Dalam bab-bab sebegini, kawan-kawan yang bermazhab syiah biasanya boleh bertolak ansur Cuma pantang teramat pantang! Sekiranya kita mengagungkan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w seperti Abu Bakar dan Umar r.a. di hadapan mereka. Jangan sekali-kali membuatkan wajah mereka menjadi merah padam dan mata bersinar kemarahan dengan mengiringi ucapan radiallahuanhu bila menyebut nama Muawiyyah bin Abu Sufian. Musuh nombor satu penganut syiah. Kita akan putus sahabat dengan mereka dunia dan akhirat! Awas! Saya pernah mengalaminya.

Ketika di perantauan menjadi kegemaran untuk kita mengunjungi masjid-masjid yang berbeza pada malam-malam Ramadhan, mungkin untuk memperkayakan lagi maklumat dan pengalaman. Tidak ada tempat yang indah dan mendamaikan di bulan yang mulia di Iraq pada pendapat saya lebih dari Ramadhan di Fallujah yang terletak kira-kira 200 km dari Baghdad. Mungkin Kelantan adalah bandingan kalau di Negara kita. Bandar dengan penduduknya begitu komited dengan Islam dan tidak menghairankan sama sekali apabila penentangan jihad paling hebat terhadap pencerobohan dan penjajahan US berlaku di sini dan di bandar inilah berlakunya kemusnahan paling dahsyat angkara tentera-tentera kuffar US.
Berkesempatan berkunjung ke sana bersama teman-teman sekuliah yang bermastautin di bandar ini, menikmati malam-malam Ramadhan yang sangat indah sebagaimana yang diistilahkan dalam syair-syair Arab, ‘Ramadhan ibarat musim bunga bagi manusia yang beriman’. Solat tarawih 20 rakaat dengan imam hafiz yang begitu indah lantunan ayat-ayat suci Al Quran, disambung dengan tadarrus sehingga menjelang tengah malam. Jiran-jiran sekampung berebut-rebut mengajak untuk bertamu ke rumah mereka, kalau tak sempat untuk iftar, bersahur pun tak apa. Begitulah mereka sangat memuliakan seorang anak rantau yang tak punya apa-apa, sekadar menghargai segala kebaikan saudara seagama. Menghidupkan malam dengan qiyamullail, linangan air mata mengiringi dan menghayati keindahan ayat-ayat suci yang memecah keheningan dinihari, sungguh suatu suasana yang sangat mengujakan. Seminggu menjadi tetamu di sana terasakan begitu singkat dan cepatnya ia berlalu. Saya selalu memasang impian, sekiranya berkesempatan kembali semula ke Iraq bersama isteri dan anak-anak, Fallujah adalah tempat wajib saya ingin mereka kunjungi. Sayangnya, Bandar yang sebegini indah telah hancur dek keganasan US.

Suatu yang menjadi tradisi tahunan, menarik dalam pengamatan saya, masyarakat Iraq selalunya berkampung di masjid-masjid menjelang hari 26 Ramadhan untuk beribadat semaksimun mungkin menjelang malam 27 Ramadhan yang kebanyakkannya meyakini itulah malam Lailatul Qadar. Habis dibawanya anak isteri, tikar bantal, periuk belanga untuk berkhemah dalam kawasan masjid. Berbagai ragam manusia terutamanya mereka yang datang sembahyang cuma semalam dalam setahun dengan harapan mendapat fadhilat beribadat seribu bulan.

Di Masjid Abu Hanifah, ada seorang penjual daging yang saban tahun saya perhatikan dengan jubah putihnya yang kotor dengan kesan darah dan pelbagai lagi kotoran menunaikan solat sambung-menyambung dengan penuh ‘kesungguhan’ sedangkan hari-hari yang lain bayangnya tak pernah kelihatan di masjid. Saya amat mengenalinya kerana pasar tempat beliau berniaga hanya kira-kira 200 meter dari rumah sewa. Apabila saya bertanya sambil bergurau kenapa sampai begitu bersungguh sekali beliau ‘beribadat’ semalam, jawabnya… “kamu tak tahukah semalam lailatul Qadar? Beribadat di dalamnya mendapat ganjaran seribu bulan…” Dengan penuh simpati atas kejahilannya, saya sekadar memberikan pandangan… “Ammu, (Pak Cik) kita wajib menunaikan perintah Allah sepanjang tahun, bukannya hanya semalam dalam setahun, insyaAllah, Allah akan menganugerahkan kita dengan lailatul Qadar.”

Sayangnya di sana, peraturan tidak membenarkan untuk para imam mengadakan ceramah atau tazkirah secara terbuka. Ramai di kalangan mereka yang berilmu dan boleh merubah masyarakat, tapi peranan dikecilkan dengan sistem yang ada walau tidak dinafikan sebagaimana di Negara kita ada imam yang dipilih di atas dasar fahaman politik parti Baath yang memerintah dengan mengenepikan orang lain yang lebih berilmu, berakhlak dan lebih baik ilmu Al Qurannya.

Di sana tidak ada bazaar Ramadhan. Restoran dan kedai-kedai makan dibuka seperti biasa Cuma dilingkungi dengan kain putih dan ditulis ‘Tidak dibenarkan muslim masuk’. Melihatnya, saya agak musykil, kalau tidak dibenarkan muslim masuk untuk tujuan apa ianya dibuka dan siapa lagi yang nak masuk, sedangkan Iraq adalah Negara lebih 90 % penduduknya muslim. Tentu sekali dalam sebuah Negara sosialis seperti Iraq, tiada penguatkuasaan undang-undang syar’ie. Di jalanan biasa kita jumpa kelompok manusia yang meremehkan perintah Allah dengan pelbagai alasan. Kesihatan selalunya dijadikan modal utama untuk tak berpuasa. Itu baru Ramadhan di musim sejuk, Ramadhan musim panas seperti sekarang, bagaimana?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan