Khamis, 4 Ogos 2011

“STOP LYNAS, SAVE MALAYSIA

Oleh
Azhar, Balok Kuantan   
Pengeluaran produk dari  ‘rare earth’ yang bakal dijalankan oleh LAMP ( Lynas Advance Material Plant) di Gebeng akan menjana  lagi pendapatan Negara khususnya bagi Negeri Pahang Darul Makmur. Malah ianya mampu menyediakan peluang pekerjaan yang baik untuk rakyat dengan pendapatan yang tinggi serta menyediakan peluang projek kepada kontraktor-kontraktor  tempatan. Maka bolehlah dikatakan bahawa ianya akan menyemarakkan lagi pembangunan dan kemakmuran di sekitar  Kuantan khususnya Gebeng, Balok, Beserah dan Sungai Ular.
Walaupun pelbagai isu dibangkitkan mengenai ‘Proses dan Pengeluaran ‘ serta pembinaan kilang produk ini termasuk protes-protes yang terus menerus dilakukan oleh pelbagi pihak terutamanya penduduk temptan namun demi menjamin kemakmuran ekonomi negeri dan negara serta menjana rakyat berpendapatan tinggi, maka isu serta protes yang terbangkit ini diketepikan malah mudah dikesampingkan.
Di masa hadapan , Lynas akan terus menjadi salah sebuah syarikat yang mampu menjanjikan pendapatan tinggi kepada kakitangannya dan Kuantan terus menjadi lombong emas kepada kontraktor serta peniaga-peniaga untuk memperolehi keuntungan.
BAYANGKAN …tiba-tiba tedapat  kes kelahiran cacat oleh penduduk sekitar dan beberapa kes terpilih yang disahkan hasil kesan radiasi atau bahan tercemar radiasi.
Akibat daripada itu maka ramai yang terkesan dan rasa terancam terutamanya penduduk Gebeng, Balok , Beserah , Sungai Ular, malah di sekitar Kuantan sendiri.
Maka barulah kesedaran terhadap ancaman radiasi meninggi di kalangan penduduk  yang kemuncaknya ramailah di kalangan mereka terutamanya yang mampu dan berasal dari luar Kuantan mula mencari arah baru sebagai tempat pelindungan mereka. Penghijrahan itu akan terus berlaku dan akan menyebabkan kesan yang teruk kepada perniagaan dan pastinya penurunan ketara harga hartanah.
Akhirnya, impak daripada penghijrahan yang berterusan ini barangkali mampu melumpuhkan ekonomi dan aktiviti dikawasan berdekatan tersebut malah Bandar Kuantan sendiri. Hanya mereka yang asalnya sudah bermastautin di situ untuk selamanya, juga barangkali mereka yang merasa dirinya kebal.
Lihatlah seperti apa yang berlaku di Sungai Lembing, Kuantan,  di mana dahulunya kaya dengan bijih timah sehingga ia merupakan lombong bijih timah yang paling dalam dengan menggunakan tenaga perkerja yang sangat ramai. Pada ketika itu Sungai Lembing adalah merupakan tempat tumpuan pelbagi bangsa untuk mencari rezeki, malah sangat padat dengan penduduk. Namun setelah semuanya berakhir, kini dahulunya sebuah bandar yang meriah dengan pelbagai aktiviti ekonomi dan pembangunan telah bertukar menjadi sepi. Banyak kediaman telah ditinggalkan begitu sahaja, bandarnya pula seperti hidup segan mati tak mahu.
Maka mahukah dan haruskah orang Kuantan melihat sejarah yang sama berlaku sekali lagi di tempat yang kita telahpun pilih untuk bermastautin ini yang mungkin menjadi sepi sesepi  Sungai Lembing di mana kita sendiri barangkali akhirnya terpaksa menjadi salah seorang yang terpaksa berhijrah meninggalkan segala kepentingan dan kenangan manis di sini. Oleh itu marilah kita sama-sama memastikan Lynas berhijrah terlebih dahulu dari bumi Kuantan dan Malaysia yang kita cintai ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan