TAN SRI ABDULLAH AHMAD
Ibu bapa dan pelajar mana yang tidak riang lulus peperiksaan apa pun peringkat dan pangkatnya? Siapa tidak sedih kalau kandas dalam apa usaha pun apa lagilah bercinta! Yang sukses jangan keterlaluan seronok, cabaran dan ekspektasi tinggi menanti di depan; mereka yang gagal jangan terlalu sedu.
Saya tumpang senang hati keputusan peperiksaan SPM terbaik tempoh lima tahun. Tahniah kepada yang sukses, tingkatkan lagi pencapaian dalam peperiksaan yang mendatang. Kepada yang failed jangan kecewa – belajar terus belajar atau ceburi medan baru yang bukan akademik.
Sejarah lama dan baru banyak membariskan bilangan yang sukses akademik tetapi tidak dalam kehidupan; ramai juga yang hampa dalam peperiksaan jadi kaya-raya dan pemimpin. Sejumlah politikus, usahawan, penulis, wartawan dan penyumbang kepada negara, bangsa dan agama begitu.
Satu contoh, peribumi terkaya mengikut majalah Forbes, Syed Mokhtar Al Bukhary, tidak ada pun SPM. Sekarang dia membina Universiti Al Bukhary, di Alor Setar tempat kelahirannya.
Bukan semua pelajar yang lulus SPM dan STPM bagus, tidak seluruh yang tumpas bebal! Sijil SPM / STPM hanya sehelai kertas untuk mendapat kerja rendah atau bagi menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Pada akhirnya native intelligence, networking, kebolehan berkomunikasi, menulis dan berinteraksi dan bakat semula jadi yang all round menentukan matlamat tercapai atau tidak. Terpenting lagi walaupun ada bakat, wujud peluang dan nasib baik.
Saya baru sahaja membaca review buku: Eisenhower – In War and Peace, oleh Jean Edward Smith – Random House, 950 muka surat berharga RM120. Dwight “Ike” Eisenhower adalah Presiden Amerika Syarikat yang ke-34 dan sebelum itu jenderal lima bintang, panglima NATO pertama. Ike berjaya kerana orang atas suka padanya.
Mereka tahu dia berbakat. Sepanjang hidup dan kerjaya dia dinaungi oleh ketua-ketua dan jeneral yang suka padanya dan nasibnya amat baik pula. Dia naik pangkat demi pangkat. Dijadikan panglima tentera Amerika Syarikat di Afrika Timur semasa perang dunia kedua walaupun ada 228 pegawai yang lebih kanan daripadanya dan pandai pula.
Apa sebab pun dia dipilih dan diyakini oleh orang atas. Bak kata Napoleon, kebolehan tidak penting bagi jenderal dan mereka dalam angkatan bersenjata. Saya suka menambahnya juga tidak penting dalam politik, media, dunia bisnes dan korporat dan perkhidmatan awam. Yang penting ialah mereka disukai oleh orang atasan.
Apa guna kebolehan atau bijak kalau orang di atas tidak mempercayai atau meyakini seseorang itu? Ramai yang cerdik, berbakat tetapi sayangnya mereka tidak bernasib baik, tidak ada peluang, tidak ada godfather; tidak ada mentor. Saya telah lama makan garam dan telah melihat mereka yang cerdik ditinggalkan dan dipinggirkan sebaliknya yang tidak cerdik sangat ditonjolkan kerana penerimaan orang atasan terhadapnya.
Saya sendiri naik ke tahap sekarang selain daripada kebolehan barangkali kerana patronage iaitu naungan Tun Razak, Tengku Razaleigh Hamzah kerana Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Razak – mereka memberi peluang kepada saya dan Tengku Razaleigh ketika kami berusia awal 20-an.
Hanif Omar kerana Tun Razak, Musa Hitam kerana Sardon Jubir, dan Tun Razak dan Dr Mahathir; Anwar Ibrahim dan Daim Zainuddin kerana Dr Mahathir. Dr Mahathir sendiri kerana Tun Razak. Tun Razak pula sebab Tunku. Semua mereka disebut ini seperti bak kata Niccolo Machiavelli terhutang budi kepada apa yang dalam bahasa Itali dipanggil “fortuna” iaitu nasib dapat naungan daripada orang yang berkuasa dan apa lagi dikasihi/disukai pula. Nasib dan kesempatan, saya kira, lebih utama daripada bakat.
Ada kehandalan, kepakaran dan ilmu tertentu membantu. Ike naik pangkat cepat selain daripada nasibnya dia juga ada bakat dan juga dalam situasi tertentu kerana politik antarabangsa.
Saya tahu di Malaysia, banyak orang tidak ke mana-mana kerana politik rebutan kuasa (kalau menang naiklah, kalau kalah tanggunglah), diISAkan atau kerana desakan kuasa asing supaya seseorang itu diketepikan seperti berlaku kepada saya sendiri antara 1976 - 1981 dan pada November 2003.
Contoh yang jelas dan didokumentasikan ialah tentang Ike. Presiden Roosevelt memilih Ike bukan Jeneral George Marshall yang lebih senior juga efisien dan bervisi sebagai Panglima Tentera Bersekutu melancarkan D-Day (merampas kembali Eropah dari Hitler yang mengakhiri Perang Dunia Kedua) kerana Churchill, sekutu Roosevelt, tidak suka pada Marshall. Di Malaysia, situasi sebegini pun berlaku zaman Tunku, zaman Tun Razak, zaman Hussein Onn, zaman Dr Mahathir, zaman Badawi dan kini pun.
Satu masa ke muka saya akan tulis satu kolum khusus tentang orang yang disukai naik pangkat yang tidak disukai dipinggirkan. Saya akan sebut nama satu persatu kerana ada yang masih hidup lagi dan kalau saya bercakap bohong, sila menafikan.
Pada muda-mudi saya anjur cari kerjaya yang kamu suka dari kecil lagi, turut hati dengan perhitungan yang logika; ambil risiko kerana tanpa risiko tiada sukses! Ijazah tidak menjamin sukses dalam kehidupan. Kamu sudah ada pendidikan asas, sudah mencukupi.
Berfikir dan bertindaklah di luar lingkaran atau kata orang sekarang di luar kotak. Kelayakan akademik tidak ada kolerasi dalam real life!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan