Isnin, 5 Mac 2012

LYNAS

Dalam beberapa hari yang lepas kita mendengar pihak berkuasa memberikan isyarat yang bertentangan berhubung pembuangan sisa radioaktif dari Lynas.


Menurut Menteri Kesihatan, Lynas diberitahu supaya memindahkan sisa radioaktif ke luar dari Kuantan atau mengangkutnya kembali ke Australia. Ini adalah perjanjian yang dicapai oleh beliau dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Empat hari kemudian iaitu pada 26 Februari, Perdana Menteri berkata sisa radioaktif itu akan dibuang jauh daripada kawasan kediaman penduduk.

Dua hari kemudian iaitu pada 28  Februari, orang ramai diberitahu bahawa empat kementerian telah memutuskan untuk menyimpan sisa radioaktif di Malaysia dan tapaknya telah ditemui.

Pada hari berikutnya, Menteri Air, Tenaga dan Teknologi Hijau berkata Kabinet belum memuktamadkan untuk mengembalikan semula sisa radioaktif ke Australia sebagai pilihan.

Pada hakikatnya gambaran yang diberikan ialah Malaysia sedang memikirkan pilihan sama ada untuk menghantar semula sisa radioaktif dari Lynas ke Australia.

Dalam kes ini, kami hairan kenapa kerajaan Malaysia tidak terfikir untuk mengarahkan Mitsubishi, syarikat yang menghasilkan sisa radioaktif dalam kilang Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Perak lebih 30 tahun lalu untuk menghantar kembali sisa itu ke Jepun. Masih belum terlambat memandangkan sisa radioaktif mungkin akan terus mencemarkan alam sekitar kita dan mengancam rakyat Malaysia untuk beberapa generasi, terima kasih kepada sikap endah tak endah kerajaan dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB). Jika kerajaan fikir bahawa ia boleh mengangkut sisa radioaktif kembali ke Australia, kami pasti perkara yang sama telah dilakukan untuk sisa ARE.

Jika kerajaan melakukan perkara ini lebih awal, kita tidak akan dibebankan dengan terpaksa menangani sisa radioaktif ini yang mempunyai separuh hayat 13.9 bilion tahun. Dalam perkataan lain, kita kini dibiarkan dengan terpaksa menguruskan sisa radioaktif ini yang akan kekal radioaktif selamanya.

Ini merupakan subsidi yang amat besar bagi Mitsubishi (dan Jepun). Sisa radioaktif yang ditinggalkan itu menjadi sumber pencemaran tanah, hutan, air dan udara kita. (Thorium, apabila reput, menghasilkan gas radon radioaktif yang boleh dibawa dalam jarak yang jauh meliputi udara yang disedut oleh rakyat Malaysia).

Ini adalah liabiliti yang amat besar bagi Malaysia, begitu juga dengan ekosistem, kesihatan dan keselamatan kita. Kerosakan kepada tanah, hutan, air dan udara serta kosnya kepada kesihatan rakyat Malaysia tidak dapat dikira. Kos masa depan ini tidak pernah diambilkira apabila Mitsubishi dibenarkan beroperasi.

Dengan ketiadaan pengetahuan mengenai risiko dan kos di masa depan, kerajaan (AELB) memutuskan ia merupakan peluang keemasan pelaburan. Mitsubishi membawa pulang keuntungan dan meninggalkan legasi toksik ini yang akan berakhir selama berbilion tahun atau selamanya.

Walaupun pada hakikatnya kerja-kerja telah dimulakan untuk membina sistem simpanan bawah tanah (dengan kos RM300 juta), tiada jaminan simpanan bawah tanah bagi kira-kira 80,000 tong 200 liter sisa radioaktif dari kilang ARE akan kekal stabil dari segi geologinya untuk 100 tahun akan datang, apatah lagi 1,000 tahun.

Perlu diingat bahawa Malaysia sebahagiannya terdiri daripada batu kapur yang amat poros, tidak stabil dan terdedah kepada hakisan, menjadikannya amat tidak sesuai untuk simpanan sisa radioaktif dalam jangka panjang. Perubahan iklim, tsunami, gempa bumi, kejadian banjir yang tidak dijangka dan bencana alam perlu menjadi amaran yang jelas. Sekiranya sebarang bencana berlaku, pembayar cukai Malaysia yang akan mengeluarkan belanja.

Kilang ARE di Bukit Merah ditaja jamin dengan subsidi awam yang amat besar di mana semua risiko dan kos ditanggung oleh rakyat Malaysia dan generasi dan masa depan.

Membenarkan Lynas membuang sisa radioaktif di tanah Malaysia menjadi satu subsidi. Selain itu berbilion dolar akan diperolehi daripada bebas cukai sebagai keuntungan. Perlu diingat bahawa pengeluaran nadir bumi Lynas akan menjadi 10 kali ganda lebih banyak daripada yang dihasilkan di kilang ARE, oleh itu paras sisanya amat besar. Jika kerosakan dan dan kos ini tidak ditangani oleh pihak berkuasa, ia akan membebankan generasi masa depan Malaysia dengan sisa radioaktif yang tidak dihasilkan oleh mereka.

Bayaran $10 juta setahun yang akan dibuat oleh Lynas kepada Malaysia selama lima tahun adalah tidak memadai sama sekali. Ia sesuatu yang melucukan apabila ekonomi, sosial, alam sekitar dan kos kesihatan kepada pekerja, komuniti, tanah, hutan, air dan laut serta generasi masa depan berjumlah hanya $50 juta. Membenarkan Lynas membuang sisa radioaktif di Malaysia tidak dapat dimaafkan selamanya.

S. M. Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan