Khamis, 15 Mac 2012

Maleng

Sekadar renungan

Di zaman Nabi Musa AS ada seorang hamba Allah yang kerjanya hanya amencuri. Sudah 40 tahun dia mencuri.

Pada suatu hari, dia terlihat Nabi Musa AS sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama Nabi Musa. Katanya, "Kalau aku dapat berjalan bersama Nabi Musa, mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku".

Tetapi setelah difikirkannya semula, dia tidak jadi melaksanakan niatnya itu. Dia berkata, "Aku ni pencuri. Manalah aku layak pencuri seperti aku ini berjalan bersama dengan seorang nabi". Sejurus kemudian, dia terlihat pula seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa AS dari belakang. Lelaki itu adalah si abid yang telah beribadat secara istiqamah selamah 40 tahun dan dikenali oleh semua orang. Si pencuri berkata di dalam hatinya, "Baik aku berjalan bersama si abid ini, mudah-mudahan ada baiknya juga untuk aku".

Lantas si pencuri menghampiri si abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya. Apabila ternampak sahaja si pencuri, si abid terkejut dan terus merasa takut. Dia berkata di dalam hatinya, "Celaka aku kalau si pencuri berjalan bersamaku, takut nanti rosak segala amalan dan kebaikanku selama ini".

Si abid terus berjalan laju supaya si pencuri tadi tidak dapat mengikutnya. Namun si pencuri tadi terus mengikut si abid kerana mahu tetap bersamanya. Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa AS. Nabi Musa AS terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, "Aku baru sahaja dapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan kamu telah dimansuhkan oleh Allah." Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi.

Berbahagialah si pencuri kerana segala dosa mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah Taala. Tetapi malang dan berita duka bagi si abid kerana segala amalan dan ibadahnya selama 40 tahun ditolak dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Rupa-rupanya si pencuri itu walau pun kerjanya mencuri, tetapi dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia mencuri kerana ditimpa kemiskinan dan memikul tanggungan yang banyak. Namun masyarakat ketika itu sungguh angkuh dan sombong. Manakala si kaya pula enggan membantu orang fakir dan miskin.

Oleh itu dia mencuri kerana terpaksa. Setiap kali dia mencuri, dia amat rasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itulah juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40 tahun itu jugalah hatinya merintih sedih, meminta belas kasihan, memohon keampunan Allah dan mengharapkan kasih sayangNya.

Sebaliknya si abid pula, dia teramat yakin bahawa ibadahnya mampum menyelamatkannya. Dia malahan yakin ibadahnya akan dapat membeli syurga. Setiap kali dia beribadah, dia merasa dirinya bertambah baik, dan setiap kali dia beribadah dia merasakan dirinya bertambah mulia.

Selama 40 tahun di abid ini mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia hinggakan dia merasakan dirinya tidak layak bergaul dengan orang yang tidak sepertinya, yang dirasakan hina dan banyak dosa. Dia merasakan dia hanya layak berjalan bersama para Nabi.

Maha Suci Allah SWT yang mengetahui segala isi hati manusia, yang tidak melihat amalan zahir semat-mata tetapi apa yang terkandung di dalam hati manusia. Sesungguhnya Allah meilai hambaNya berdasarkan amalan yang benar-benar ikhlas, bukan amalan yang dilakukan sekadar untuk menunjuk-nunjuk dan untuk mendapat perhatian dan pujian manusia. Kepunyaan Allah lah tiap segala sesuatu. Syurga dan neraka itu, Allah jua yang Maha Menentukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan