Ahad, 4 Mac 2012

Witir


"Seorang Sheikh telah mendapat jemputan ceramah agama dari sebuah perkampungan yang letaknya sejauh 400km.Untuk tidak menghampakan penganjur dan penduduk setempat, maka Sheikh tersebut pun bersetuju untuk datang ke perkampungan itu.  Sampai sahaja di perkampungan tersebut, beliau telah disambut oleh seorang lelaki yang merupakan penganjur kepada program ceramah yang diadakan.  Si Sheikh agak terkejut dengan penampilan lelaki itu.  Bukan sahaja pakaiannya tidak sesuai dengan majlis ilmu, malah tangannya pula asyik memegang puntung rokok yang berasap.

Si Sheikh dapat mengagak latar belakang penduduk perkampungan itu dengan melihat kepada peribadi lelaki penganjur itu.  Jika si penganjur majlis agama pun sudah macam itu, tentu agaknya penduduk lain lebih kurang macam itu atau lebih teruk lagi.

Betullah anggapan si Sheikh itu.  Tidak sampai 15 minit ceramah disampaikan, penduduk yang hadir dalam majlis ilmu tersebut mula bercakap sesama sendiri.  Ada yang tidur.  Ada yang keluar dan masuk.  Dan malah ada yang mula menghisap rokok.  Situasi ini amat tidak menyenangkan si Sheikh itu.  Sudahlah datang dengan memandu sejauh 400km untuk memberi ceramah, begini pula layanan para penduduk kepada beliau.  

Selesai ceramah, si Sheikh pun pulang dengan sedikit hampa.  Dalam hatinya berkata, “selepas ini memang aku tak datang dah ke sini…”

Setahun berlalu.

Tiba-tiba si Sheikh itu menerima panggilan dari seorang lelaki untuk menjemput beliau untuk memberi ceramah.  Suara dan gaya percakapan lelaki tersebut dapat dicam oleh si Sheikh itu.  Lelaki yang sama yang menjemput beliau ke perkampungan yang terletak 400km itu.  Sheikh tersebut masih ingat.

Walaupun Sheikh itu telah mengatakan bahawa beliau tidak akan lagi ke kampung itu kerana terlalu jauh, namun jauh di sudut hatinya mengharapkan ada perubahan selepas setahun berlalu.  Si Sheikh itu pun bersetuju untuk hadir memenuhi jemputan ceramah agama tersebut.

Sampai sahaja di kampung itu selepas pemanduan sejauh 400km, lalu Sheikh itu disambut oleh lelaki yang menelefon beliau dengan mesra.  Rupa-rupanya lelaki tersebut masih tidak berubah.  Masih dengan penampilan seperti setahun yang lalu dan juga dengan rokok di tangannya.  Si Sheikh menguatkan semangat beliau untuk memberikan ceramah.

Selepas 20 minit ceramah, perkara yang sama berlaku.  Iaitu ada bercakap sana-sini.  Ada yang tidur.  Ada yang mundar-mandir di dalam majlis ilmu dan ada juga yang menghisap rokok.  Tidak berubah dari tahun yang lalu.  Si Sheikh berasa sedikit kecewa namun ceramah tetap diteruskan demi untuk menyampaikan dakwah.

Seperti biasa, selepas ceramah lalu diadakan sesi soal-jawab.  Hanya 3 soalan diajukan.  Ini menggambarkan betapa tidak berminatnya penduduk tersebut dengan majlis ilmu yang beliau telah sampaikan.  Mengikut kebiasaan, biasanya di mana-mana pun beliau berceramah, banyak soalan diajukan dan ia menandakan betapa seronoknya pendengar dengan majlis ilmu.  Tetapi di sini hanya 3 sahaja.

Walaupun agak kecewa dengan layanan penduduk terhadap beliau yang datang dari jauh, namun setelah membaca salah satu surat dari pendengar yang mengajukan soalan, kekecewaan beliau terubat.  Beliau kembali semakin bersemangat dan tersenyum.  Kandungan surat itu berbunyi:

“Sheikh, demi ALLAH, saya tidak pernah meninggalkan walau satu hari pun solat sunnat Witir sejak setahun lepas selepas saya mendengar Sheikh menceritakan tentang solat Witir dalam ceramah yang tuan Sheikh sampaikan tahun lalu.”

ALLAHU AKBAR!

Rupa-rupanya ada juga insan yang mengambil manfaat atas apa yang beliau telah sampaikan.  Walaupun persoalan solat sunnat Witir itu cuma salah satu daripada banyak perkara yang beliau telah sentuh dalam ceramah, tetapi apabila mendapat tahu bahawa ada orang mengamalkannya asbab dari ceramah tersebut, malah orang itu istiqamah pula, ia cukup menggembirakan Sheikh tersebut.

Selepas peristiwa itu, si Sheikh cuba untuk membuangkan perasaan kecewa atau hampa akibat dari layanan para pendengarnya.  Mengingati peristiwa tersebut membuatkan beliau sentiasa bersemangat untuk menyampaikan dakwah walau sejauh mana pun tempat itu dan bagaimana pun layanan masyarakat setempat.

Ternyata, dalam ramai-ramai orang kampung itu, walaupun majoriti tidak memberikan perhatian, namun di sana tentu ada orang yang menyambut seruan dakwah.  Kalau tidak ramai, seorang pun sudah cukup.  Memang suatu yang menggembirakan buat pendakwah jika mengetahui apa yang disampaikannya diamalkan oleh para pendengar yang hadir.

Tuan/puan sekalian yang dirahmati ALLAH sekalian,

Kisah di atas cuma secuit contoh dari masyarakat yang boleh diambil iktibar dan pengajaran.  Sudah tentulah kisah-kisah besar dari para Nabi, Rasul dan para pejuang yang memperjuangkan agama ALLAH sentiasa menjadi pedoman ampuh buat kita semua dalam terus bersemangat mencari redha ALLAH melalui usaha dakwah.

Dan hadith dari Abu Mas`ud `Uqbah bin `Amr al-Ansori al-Badri radhiAllahu `anhu ini sentiasa menjadi motivasi dan inspirasi besar buat para pendakwah untuk terus menyampaikan dakwah, iaitu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda:

“Barangsiapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya” 

(HR Muslim)

Dan jika tiada langsung yang menyahut seruan dakwahmu wahai pendakwah, jangan bersedih dan layu semangat, kerana ALLAH sentiasa melihat usahamu dan pasti akan membalasinya.

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ

Maksudnya:  ”Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.”  

(Surah al-Zalzalah, ayat ke-7.)

Kebaikan dari sisi ALLAH buat penyeru kebaikan dan pendakwah pasti ada walau zahirnya nampak seperti gagal atau tidak berhasil.

Peranan pendakwah adalah terus menyampaikan seruan-seruan kebaikan.  Adapun tentang perubahan yang bakal terjadi kepada orang yang didakwah itu serahkan sahaja pada ALLAH.  Terpulang kepada ALLAH.  DIA lah memberikan hidayah dan taufiq kepada hamba-hambaNYA.

Sebagaimana kisah di atas telah memberi inspirasi buat saya, saya berharap kisah ini bermanfaat juga buat tuan/puan yang membacanya, khususnya buat para pendakwah.  Dan kena ingat, kita semua adalah pendakwah.

Sekadar menyampaikan,

Shahmuzir Nordzahir
2 Mac 2012.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan