Sabtu, 30 Oktober 2021

GPS

 Pasti ramai pernah tersangkut dalam ‘traffic jam’ kan?


Kita memiliki ‘smartphone’ tetapi kerana kita merasakan kita dah masak sangat dengan jalan di suatu tempat, maka kita tidak menggunakan GPS. 


Akhirnya kita tersangkut dalam ‘jam’. Geram & bengang tetapi terlambat. Apakan daya, sudah sangkut di dalamnya. 


Menyesal tak sudah tidak mahu menggunakan GPS dari awal. Bila tersangkut barulah tertanya;


“Kalaulah aku guna GPS dari tadi kan bagus”


Well, tiada kalau-kalau. Sudah terlambat.


Bagaimana pula nasib kita di Padang Mahsyar nanti apabila kita tersangkut dalam 'jam' lautan manusia yang menanti untuk dihisab oleh Allah SWT? 


Kita mahu cepat sampai ke destinasi kita iaitu Jannah namun apabila terbayang segala dosa-dosa yang kita pernah lakukan, basah badan kerana peluh, risau gelisah akan nasib diri ini.


Namun apakan daya, segalanya sudah terlambat. Segala ruang dan peluang, peringatan demi peringatan telah diberikan tetapi kita cuai dan lalai. 


GPS Islam iaitu al-Quran & Sunnah kita jadikan sebutan dibibir tetapi bukan amalan seharian. 


وَلَقَدْ جِئْنٰهُمْ بِكِتٰبٍ فَصَّلْنٰهُ عَلٰى عِلْمٍ هُدًى وَّرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُّؤْمِنُوْنَ  


“Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan sebuah Kitab (Al-Qur`ân) kepada mereka yang Kami telah menjelaskannya atas dasar pengetahuan Kami; menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

[al-A’râf 7:52]. 


وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتٰبَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ وَّهُدًى وَّرَحْمَةً وَّبُشْرٰى لِلْمُسْلِمِيْنَ  


“Dan Kami turunkan kepadamu al-Kitab (Al-Qur`ân) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang berserah diri.”

[an-Nahl 16:89].


Kita abaikan amaran dari GPS Islam kerana merasa diri lebih pandai dan akal kita hebat. GPS Islam dari Yang Maha Mengetahui tetapi kita sombong dan ego mahu memandu GPS berdasarkan hawa dan nafsu kita dan bukannya membiarkan GPS Islam memandu kita.


Gunakanlah Islam sebagai GPS - ‘Guna Pasti Selamat’ dan bukannya hawa nafsu manusia sebagai GPS kerana GPS itu ‘Guna Pun Sesat’.


Apa yang dinukilkan di atas bukannya khayalan tetapi suatu peristiwa yang pasti akan berlaku. Jikalau kita tidak mahu menjadi individu yang mengalaminya, maka belum terlambat dengan sisa hidup yang masih ada ini. Allah At-Tawab (Yang Maha Menerima Taubat). Kembalilah kepada-Nya sebelum kita dikembalikan kepada-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan