Khamis, 7 Oktober 2021

motivasi Bahagia

 KISAH SEEKOR GAGAK


Pada suatu hari ada seekor gagak yang tidak puas tentang kehidupannya. Dia terbang bebas ke sana ke mari mengenangkan kehidupannya.


Suatu hari dia melihat seekor angsa di sebuah tasik. Dia kagum melihat bulu angsa yang putih bersih berbanding dirinya yang sangat hitam.


Dia berfikir angsa itu pasti burung terindah di dunia, lalu dia menghampiri angsa itu sambil berkata,


"Kamu pasti burung yang paling bahagia di dunia. Kamu sangat putih dan cantik, semua orang pasti menyukaimu."


Angsa menjawab "sebenarnya saya merasa bahawa saya adalah burung yang terindah, sampai saya melihat burung kakak tua yang memiliki 2 warna dan saya berfikir burung kakaktua adalah burung yang paling bahagia di dunia ini."


Lalu gagak mendekati burung kakaktua dan menceritakan apa yang dikatakan oleh angsa.


Kakaktua berkata" Ya, hidup saya sangat bahagia sampai saya melihat seekor burung merak. Bulunya sangat indah dan berwarna warni."


Lalu burung gagak pergi mengunjungi burung merak di kebun binatang dan melihat ramai orang berkumpul untuk melihatnya.


Setelah orangramai pergi, gagak mendekati burung merak dan berkata "Merak, kamu sangat cantik. Setiap hari ratusan manusia datang mengunjungimu. Tetapi tatkala mereka melihat aku, mereka hanya ingin aku beredar. Saya fikir kamu pasti burung yang paling indah di dunia ini."


Merak berkata dengan sedih "Saya selalu fikir saya adalah burung yang paling indah dan bahagia di planet ini tetapi kerana keindahan ini, saya terjebak dalam sangkar dari waktu ke waktu. Saya berfikir saya akan senang hati jika dapat berkelana ke mana-mana dengan bebas. Oleh itu, saya sebenarnya sangat iri kepadamu wahai gagak, kamu boleh bebas terbang kemana-mana yang kamu suka."


Inilah masalah dasar manusia. Seringkali kita membuat perbandingan dengan orang lain dan merasa sedih.


Seharusnya kita tidak melakukan perbandingan yang tidak perlu dengan sesiapa pun dan segera keluar dari lingkaran ketidakbahagiaan ini.


Anda yang memiliki RM 100 ribu, merasa miskin melihat orang yang memiliki RM 1 juta sedangkan orang yang memiliki RM 100 ribu tadi akan merasa kaya melihat orang yang hanya memiliki RM 10 ribu.


Sesungguhnya itu semua hanya wujud di kepala kita. Rahsia kebahagiaan adalah menghargai dan mensyukuri apa yang Tuhan telah berikan kepada kita dan berhenti melakukan perbandingan yang akan menyebabkan ketidakbahagiaan.


Berbahagialah mereka yang berhenti membandingkan diri mereka dengan orang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan