Rabu, 8 Februari 2012

IPG

SAYA ingin mendedahkan beberapa masalah pensyarah dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) berkenaan kerenah birokrasi. Teguran ini terpaksa dibuat secara terbuka kerana teguran dalaman tidak berkesan.

Saya salah seorang pensyarah IPG yang telah 15 tahun berkhidmat. Saya dapati terlalu banyak kerenah diamalkan. Amalan kerja tidak berperancangan, tidak mengikut prosedur atau peraturan, tergesa-gesa, dan sebagainya yang diamalkan semasa IPG di bawah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) masih menjadi amalan oleh pegawai Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK).

Walaupun IPGK dinaikkan ke taraf universiti, amalan mementingkan populariti, urusan remeh-temeh, kerenah birokrasi terus menjadi tonggak pentadbiran.

Setiap aktiviti perlu dihadiri oleh semua pelajar dan pensyarah, sedangkan aktiviti itu tiada kaitan. Ini menyebabkan berlaku pembaziran masa dan tenaga. Pelajar yang tidak hadir akan dileteri dan pensyarah pula diminta beri surat tunjuk sebab.

IPGK juga kerap menganjurkan perhimpunan dan setiap perhimpunan itu wajib dihadiri oleh pelajar dan pensyarah. Kerap kali terjadi perhimpunan diadakan sehingga dua atau tiga kali sehari. Akibatnya, sesi pengajaran dan pembelajaran terpaksa dibatalkan.

Sepanjang pemerhatian saya, pihak pentadbir IPGK tidak mengutamakan akademik baik aktiviti pelajar mahupun pensyarah, dan kepakaran bidang. Jika anda membuat kajian, anda akan temui pensyarah yang pakar dalam Jabatan A ditempatkan atau disuruh mengajar di Jabatan B. Akibatnya, pelajar akan menjadi mangsa kerana pensyarah berkenaan tidak dapat menyampaikan ilmu dengan baik.

Di samping itu, pensyarah IPGK juga dibebankan dengan urusan birokrasi daripada IPGM. Misalnya, bebanan tugas pengurusan pihak pentadbir atau mengisi maklumat sama dalam pelbagai borang.

Satu hal yang malang ialah sikap pentadbir IPGK dan IPGM yang tidak mempedulikan kebajikan pensyarah. Misalnya, semua pensyarah dilonggokkan dalam satu bilik dengan meja kerja yang kecil dan kemudahan yang terhad.

Di situlah tempat pensyarah bekerja dan menyimpan tugasan pelajar. Kalau anda mengunjungi bilik kerja pensyarah, suasananya tidak ubah seperti stor tempat menyimpan barangan terpakai.

Semoga teguran ini diterima dan mendapat maklum balas sesuai dengan cita-cita IPG mahu bertaraf dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan