Sikap Kita Terhadap Hal Ini
Sebenarnya ini perbahasan yang agak panjang hinggakan umat Islam saling berantakan kerana kejahilan. Bukan jahil kerana mengatakan ianya boleh dilakukan atau tidak boleh dilakukan, tetapi jahil kerana saling mencaci maki sesama umat Islam lain kerana hal tahlil; Sedangkan salah satu kesempurnaan iman adalah selamat saudaranya itu dari gangguan perkataan dan perbuatannya.
Hadith : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Kamu tidak (akan) dapat masuk syurga, sebelum kamu beriman, dan kamu belum dapat dikatakan mukmin sebelum kamu kasih mengasihi satu sama lain......” (0042) Sahih Muslim
Ini tidak lain hanya kerana terpedaya dengan bisikan syaitan;
Terjemahan : QS : 17 : 53 : ..... Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.
Syaitan yang membisikkan kepada kita dengan mempermainkan keegoan dan emosi sehingga keluar tuduhan dan caci maki sesama umat Islam hingga mengkafirkan sesama mereka. Perlu diingat bahawa apabila sesama Muslim itu berselisih mengenai sesuatu maka hendaklah kita mendamaikan dan kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.
Terjemahan : QS : 4 : 59 : Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian JIKA KAMU BERLAINAN PENDAPAT MENGENAI SESUATU, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Al-Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.
Pemahaman Yang Sebenar
Sebenarnya apa sahaja isu mengenai hal-hal ibadah perlu dikembalikan kepada Al-Quran dan Hadith. Ringkasnya, untuk memahami hal ini dengan cara yang benar dan mudah adalah kembali kepada dasar perselisihan itu dengan berpandukan Al-Quran dan hadith yang sahih mengikut kefahaman ‘Generasi Terbaik’ (iaitu para sahabat, tabi’in dan tabi’ al tabi’in). Mengapa perlu mengikut kefahaman generasi tersebut?
Terjemahan : QS : 9 : 100 : Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari golongan ‘Muhajirin’ dan ‘Ansar’ dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia..... .
Hadith : Dari 'Imran bin Husain r.a : Rasulullah saw bersabda, "Sebaik-baik umatku adalah yang orang-orang hidup pada zamanku (para sahabat) kemudian orang-orang yang datang setelah mereka (tabi’in) kemudian orang-orang yang datang setelah mereka (tabi’ut tabi’in)... [3377] Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa’i, Ahmad dan lainnya.
Maka jelas dalil di atas dari Al-Quran dan hadith bahawa, ‘Apa sahaja yang tidak mencontohi zaman generasi terbaik tersebut TIDAK AKAN jadi yang terbaik sampai kiamat pun’ kerana Allah telah menjanjikan keredhaan kepada kaum Muhajirin dan Ansar (iaitu para sahabat) serta orang-orang yang menurut jejak langkah mereka.
Sikap Mereka Yang Menolak ‘Generasi Terbaik’
Apabila telah diberi penjelasan dan dalil dari Al-Quran dan sunnah, tetapi mereka tetap berdegil dan mahu membelakangi Al-Quran dan sunnah maka jangan saling caci mencaci sesama umat Islam, sebaliknya doa kepada mereka supaya diberi hidayah. Sekiranya kita dicaci, maka jangan sesekali membalasnya kerana ia akan mengobarkan lagi api egois dan kedengkian yang dibisiki oleh syaitan.
Bersangka baiklah dengan menganggap sebenarnya penolakannya bukan bermaksud menolak wahyu, tetapi hanya berbeza cara pemahaman sahaja kerana mendengar dan belajar dari guru yang berbeza. Orang yang paling tepat adalah orang yang bangun dan mengkaji dan belajar dengan berpaksikan Al-Quran dan sunnah. Orang yang tidak benar adalah si pemalas lagi bertaklid buta dan mencipta ibadah yang tidak berasas dari Allah dan Rasul-Nya.
Perbincangan
Soalan 1 : Apakah hukum bacaan tahlil?
1.a). Apakah tahlil? - Tahlil adalah bacaan kalimah ‘لا إله إلا الله’ yang dibaca berulang-ulang untuk memuji Allah. Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk memuji hanya kepada Allah. Bukan hanya sekadar tahlil sahaja malah ikutlah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah saw. Antaranya;
Dari Abu Dzar r.a : Nabi saw bersabda, (diringkaskan)..... "Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara kepada kalian untuk bersedekah? Setiap kalimat tasbih adalah sedekah, setiap kalimat takbir adalah sedekah, setiap kalimat tahmid adalah sedekah, setiap kalimat tahlil adalah sedekah.... [1674] Riwayat Muslim
1.b). Apakah kenduri tahlil? – Kenduri tahlil adalah suatu majlis yang diadakan bagi mengingati kematian seseorang lalu keluarganya membuat majlis bacaan Al-Quran, zikir-zikir tertentu (termasuk tahlil) dan berdoa kepada si mayit di alam kubur dengan suara yang kuat secara beramai-ramai. Di beberapa tempat mereka menggunakan ‘microphone’ berserta dengan ‘amplifier’nya sekali dan dibaca dengan kuat.
Pengakhiran majlis itu diadakan dengan jamuan makan. Setiap tempat berbeza caranya, baik di Indonesia mahupun Malaysia. Malah berbeza juga negeri-negeri dan tempat-tempat sekitarnya. Pernah di Kuala Lumpur ini majlisnya diperlukan seseorang yang ingin bertahlil perlu bersedekah minima RM50.00. Sebenarnya apabila meletakkan bayaran, ini bukan sedekah sebaliknya caj perkhidmatan (urusniaga).
Ada pula yang mengkhususkan kenduri tahlil 3 hari 3 malam, kenduri 40 hari, kenduri 100 hari dan sebagainya. Ada pula yang melakukannya sebelum kenduri kahwin dan kemudian diikuti pula dengan sesi karaoke selepas itu. Maka kesemua ini secara jelas tiada asasnya dalam Islam.
Apa yang menurut sunnah adalah, apabila mendatangi atau menziarahi kematian, maka hendaklah kita menggembirakan keluarga si mati dengan membawa makanan atau sedekah wang ringgit dan bukannya makan dan minum di rumah si mati. Malah pernah juga terdapat kes dimana ahli keluarga menggunakan wang si mati sebelum melunaskan hutang-hutang si mati untuk membuat kenduri tahlil. Ini juga jelas haram.
Disebalik perbezaan-perbezaan itu maka terpancar satu soalan, iaitu bagaimana Rasulullah saw dan para sahabatnya (Allah meredhai mereka) membuat kenduri tahlil untuk kita mengikutinya?
Jawapannya sangat mudah : Perbezaan berlaku kerana tiada satu dalil pun dari Rasulullah saw dan para sahabat pernah melakukannya. Oleh kerana itulah perbezaan begitu ketara kerana tiada dasar rujukannya. Oleh itu IA HANYA SEBAGAI ADAT dan boleh jadi haram atau harus.
Haram apabila;
a). Mengatakan ia sunnah. Ini sama seperti mencipta hadith palsu kerana tiada satu dalil dari hadith yang sahih.
b). Mengenakan caj bayaran kepada keluarga si mati ataupun meminta upah dan membebankan lagi tuan rumah secara tidak langsung.
c). Menggunakan wang si mati secara bathil.
d). Mengkhususkan hari-hari tertentu untuk untuk membuat kenduri tahlil seperti malam Jumaat dibaca surah Yasin, kenduri 40 hari, 3 hari dan sebagainya.
Dari Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda, "Janganlah kalian mengkhususkan malam Jumaat dengan solat malam di antara malam-malam yang lain dan jangan pula dengan puasa, kecuali memang bertepatan dengan hari puasanya." [1930] Riwayat Muslim
e). Tidak bertaubat dan berharap apabila ia mati maka orang lain akan membuat kenduri tahlil untuknya. Beginilah kebanyakan orang sekarang, sejak dari hidup sampai mati mengharapkan belas ihsan orang lain sehingga bab ibadah, dosa dan pahala. Sangat menyedihkan.
Harus apabila;
Dilakukan oleh anak-anak si mati untuk bersedekah atasnya. Sedekah paling utama adalah air.
Soalan 2 : Benarkah dalam mazhab Syafi’e pahala bacaan tidak sampai kepadanya?
2.a). Pahala bacaan Al-Quran
2.b). Pahala bacaan tahlil
Tidak mungkin sama sekali seseorang boleh menghadiahkan pahalanya kepada orang lain. Saya tidak boleh menghadiahkan pahala kepada anda dan anda juga tidak boleh menghadiahkan pahala kepada sesiapa juga. Ini jelas. Contoh yang mudah;
‘A mempunyai 100 pahala. B mempunyai 50 pahala. Lalu A menyedekahkan pahala sebanyak 25 pahala kepada B dan menjadikan pahala mereka samarata.’
Masuk akalkah perkara ini? Tentu tidak kerana A dan B masing-masing tidak tahu banyak mana pahala mereka dan PALING UTAMA, tiada satu makhluk pun yang mampu memberi pahala kepada orang lain. Hanya Allah yang mampu memberi pahala kepada makhluknya. Ini adalah bab akidah. Tidak ada satu dalil pun mengatakan bahawa pahala kita boleh disedekahkan kepada orang lain.
Walaubagaimanapun, setiap sedekah dan doa itu sampai kepada Allah dan hanya Allah yang Maha Memakbulkan Segala Doa. Berkata Imam Nawawi dalam syarah Muslim bahawa ijma’ ulama mengatakan sedemikian (iaitu sampainya pahala doa dan sedekah kepada si mati).
Penghuni di langit mendoakan penghuni di bumi. Keluarga mendoakan kepada si mati. Anak soleh berdoa kepada kedua ibu bapanya. Semua doa itu sampai, tetapi tidak ada satu makhluk pun mampu memberi pahala kepada makhluk yang lain. Ini boleh membawa kepada syirik kerana wajib kita imani bahawa hanya Allah yang memberi ganjaran pahala dengan kehendak-Nya.
Syarah di dalam Nailul Authar mengatakan ‘yang masyhur dalam mazhab Syafi’i adalah pahala membaca Al-Quran tidak sampai kepada si mati. Tetapi, Imam Ahmad dan sebahagian dari mereka yang bermazhab Hanbali dan segelintir dari Syafi’i mengatakan ia sampai berdasarkan qiyas bahawa jika sedekah air, puasa dan lainnya sampai kepada si mati, mengapa tidak bacaan Al-Quran?’ (Jilid 3 hlm 1129).
Kesimpulan
Oleh itu bagi mereka (mazhab Hanbali) yang ingin membuat kenduri tahlil (bukan pada malam si mati itu dikebumikan, iaitu pada bila-bila masa yang tidak khusus) maka itu hanya sebagai adat kebiasaan sahaja dan bukannya sunnah. Ia boleh dilakukan selagi tidak melanggar dan bertentangan dengan syariat. Bersedekah dan berdoalah kepada si mati.
Mengenai bacaan Al-Quran pula masing-masing berbeza pendapat. Bagi yang berpendapat sampai pahala bacaan Al-Quran itu kepada si mati maka lakukanlah tanpa melanggar syariat. Malah antara syarat Imam Ahmad adalah tidak boleh memberi apa-apa upah kepada mereka yang membaca Al-Quran kepada si mati. Sebaiknya adalah anak atau ahli keluarga dan bukannya mengupah orang lain (Nailul Authar).
Namun perlu diingat sepakat imam mazhab yang empat berkata hidangan yang disediakan oleh keluarga si mati kepada orang ramai yang berhimpun adalah bidaah (Rujuk : al-Majmu’ Syarah, Syarah Fathul Qadir, al-Mughni dan Hasyiyah as-Dasuuqi).
Imam Nawawi yang menukil dari kitab al-Umm pula mengatakan Imam Syafi’i membenci acara ma’tam (berkumpul di tempat orang mati) kerana keadaan itu akan membuatkan keluarga si mati menjadi lebih sedih.
Bagi mereka yang mengatakan tidak sampai pahalanya, maka mereka juga benar kerana tiada satu dalil dari para ‘Generasi Terbaik’ melakukannya sedangkan setiap ibadah yang tidak ada asasnya dari mereka adalah tertolak. Malah pendapat ini lebih kuat;
Dari Aisyah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Barangsiapa yang melakukan suatu amalan yang tidak ada dasar dari kami maka amalan itu tertolak." [24298] Sahih Riwayat Ahmad. Juga diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban
Oleh itu cukuplah sekadar berdoa kepada Allah SWT agar mengampunkan dosa-dosa orang yang telah pergi sebelum kita dan janganlah kedekut untuk berdoa kepada umat Islam yang lain di seluruh dunia. Bukankah ia lebih mudah dan boleh dilakukan oleh semua orang samada yang kaya ataupun miskin? Islam itu agama ilmu dan menjadi mudah bagi mereka yang menuntut ilmu.
Wallahu’alam
Adakah ini bermksud, bacaan alquran atau sedekah utk si mati pahala nya tidak akn sampai kpd si mati?
BalasPadam