KAMI para pendidik cukup kecewa apabila tuntutan tugas luar dipotong hinggakan dibayar kurang daripada perbelanjaan sebenar.
Alasannya kilometer tidak sama, tidak layak menerima elaun makan dan sebagainya.
Hal ini cukup mengecewakan kami di kalangan guru-guru. Saya pasti dan amat pasti semua kakitangan kerajaan dan guru-guru khususnya guru sukan bersependapat dengan saya.
Apabila kami menerima surat dari Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengarahkan kami menjalankan tugasan luar yang melibatkan penjayaan sesuatu program sukan, mesyuarat dan sebagainya, seseorang guru perlu menghadirinya.
Namun adakah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), JPN atau PPD sedar apabila kami berkursus, bertugas sebagai pegawai kejohanan sukan dan sebagainya kami terpaksa keluar dalam satu jangka masa yang tidak menentu dan kadang-kadang hingga sebulan.
Apatah lagi yang melibatkan murid. Tanggungjawab guru apabila bertugas di luar cukup besar. Kamilah menjadi ibu bapa buat mereka, doktor, pemandu ambulans, tukang masak dan sebagainya.
Namun adakah layak buat kami apabila membuat tuntutan tugasan rasmi jumlahnya dipotong ikut sesuka hati mereka yang berada di JPN dan PPD?
Pernahkah pihak-pihak yang terlibat dengan pembayaran tuntutan ini fikir semua itu?
Sudah lama perkara ini menjadi buah mulut semua guru-guru.
Ke mana sahaja saya pergi untuk bertugas di luar soalan dan perbualan yang sama dari rakan-rakan negeri yang lain iaitu tuntutan yang tidak dibayar mengikut pekeliling sedia ada dan jumlah tuntutan tidak setimpal dengan apa yang dibelanjakan. Perkara ini sudah hampir empat tahun dari tahun 2009 hinggalah sekarang masih lagi tidak dapat diatasi.
Kami harap Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri dapat membaiki keadaan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan