Sabtu, 16 November 2013

Insan gembira

DALAMramai-ramai kawan, kita pasti ada seorang kenalan yang sungguh baik hatinya. Dia suka menolong dan murah dengan senyuman. Jika kita perhatikan, dia bukan jenis orang yang suka marah-marah.
Kerana itu, dia sering jadi bahan gurauan samada secara bahasa mahupun secara fizikal. Jika digusti atau digeletek pun dia akan tertawa hingga kita pun turut berair mata. Bila diperhalusi perangainya, dia seorang yang jujur, malah ada kalanya lurus bendul. Betapa pun, kita senangi dia kerana akhlaknya baik serta boleh dipercayai. 
Kadangkala perangai dan sikapnya ini menjadikan kita iri hati. Maklumlah, sikapnya yang sederhana dan selamba itu berbeza dengan kita yang punyai mood yang pelbagai. Kita mudah tersenyum tetapi mudah juga mencebir. 
Kita ada kalanya menggunakan bahasa tinggi dalam pertuturan tetapi selalu juga menggunakan bahasa kesat dan celupar. Ada waktu kita memberi laluan pada orang yang hendak berselisih troli dengan kita di pasaraya. Tetapi ada masanya kita tak pandang pun rakan yang bersalaman dengan kita selepas solat berjemaah. Begitulah bezanya perangai kita dengan kawan kita itu. 
Tetapi apakah yang membuatkan teman kita itu sentiasa manis dengan senyuman?  Orang begini dikenali sebagai happy people atau insan gembira. Dr. Linda Mintle, seorang pakar psikologi perhubungan dari Virginia, Amerika menggariskan beberapa ciri insan gembira. 

Ciri yang paling utama ialah mereka ini tidak gemar untuk membandingkan dirinya dengan orang lain. Sebab itulah, dia berbeza dari kebanyakkan daripada kita yang mudah teruja untuk mendapat apa yang orang lain ada. Kalau tak dapat apa yang orang lain peroleh, kita mudah berasa malu kerana tidak mampu seperti orang lain.

Sikap ingin berebut untuk mengempunya material bukannya matlamat insan gembira. Apa yang diperoleh itu lebih banyak datang kepada mereka daripada yang mereka dikejar. Oleh kerana itu kepuasan memperoleh harta minda dan harta spiritual sudah amat mencukupi buat mereka. Kerana itu mereka tidak berkeluh kesah walaupun dalam keadaan yang sukar. Bandingkan dengan kita yang suka berebut-rebut mahukan sesuatu meskipun adakalanya ia bukannya hak kita. Akibat ghairah inginkan sesuatu itu dengan cepat, kita gunakan cara yang haram untuk mendapatkannya.

Insan gembira ini tidak sibuk atau kalut dalam melaksanakan kerja. Tatkala orang lain kelam-kabut menyiapkan kerja, dia tenang sahaja menyudahkan tugas kerana dia tidak pernah bertangguh dalam menyiapkan apa yang ditugaskan. Bandingkan dengan kita yang buat apa yang tidak disuruh lebih dahulu. Bila sudah suntuk masa, mulalah kita buat-buat menyibuk kononnya tugas yang diberi itu sukar dilaksanakan.

Dia juga orang yang mudah memberi maaf. Malah, sikapnya yang sentiasa tersenyum bila dikutuk atau dipermainkan itu bukannya kerana dia tidak tahu marah. Sebaliknya, sikap pemaafnya yang cepat itulah yang segera memadamkan api kemarahannya. Berbeza pula dengan kita yang cepat naik darah apabila diapa-apakan. Mungkin esok, mungkin lusa atau berminggu-minggu baharulah kita mahu memaafkan seseorang yang bersalah dengan kita.

Satu lagi ciri insan gembira ini ialah nilai kesyukurannya yang tinggi. Oleh kerana itu dia anuti sikap qanaah, iaitu berpada dengan apa yang ada. Dia tawaduk, iaitu merendah diri, patuh dan tekun dalam menjalankan kerjanya. Dia juga bukan alim, tetapi secara konsisten sahaja melaksanakan ibadah. Berbeza dengan kebanyakan daripada kita yang punyai pola iman yang bergelombang tinggi-rendahnya.

Akhirnya, insan gembira ini mempunyai sikap yang payah juga kita ikuti. Mereka mudah sahaja mentertawakan kesilapan diri. Kita yang naik angin hingga terjojol biji mata pun boleh hilang rasa marah padanya bila insan gembira ini hanya senyum seraya mengakui kesilapannya. Melihatkan wajahnya pun, kita akan memaafkannya sebelum dia memohonnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan