Saturday, 12 April 2014

rezeki

Satu hari si penoreh getah mengikut si nelayan ke laut untuk menangkap ikan. Si penoreh duduk di belakang kapal manakala nelayan di depan.

Laut yang agak bergelora menyebabkan si penoreh agak terumbang-ambing. Melihat si nelayan asyik berjaya mengail ikan tapi tidak dia, si penoreh meminta untuk menukar posisi memancing dengan si nelayan.

Si nelayan pun menukar posisi, namun situasinya sama, si penoreh masih tidak dapat mengail seekor ikan. Ikan-ikan semua seolah-olah lari mengikut si nelayan.

Mungkin ini adalah masalah joran. Maka si penoreh pun meminta menukar joran dengan si nelayan. Situasi tetap sama – hanya si nelayan mendapat ikan. Laut makin bergelora, si penoreh mengalami mabuk laut dan muntah-muntah.

Sesudah tiba di darat, si penoreh berkata: “Susah nak cari makan di laut. Elok buat kerja aku, lagi mudah.”

Pada satu hari, si nelayan mengikuti si penoreh ke ladangnya dan mencuba menoreh getah.

Ada 1,000 pokok yang perlu ditoreh bermula sebelum subuh. Si nelayan mengeluh susah. Masa menoreh, si nelayan cuai, tangan terkena sabit. Ketika ingin berehat, si nelayan terlanggar bekas menadah getah dan semua tertuang di atas kepalanya.

Si penoreh menoreh pokok getah dengan cukup senang tanpa sebarang gangguan.

“Susah betul kerja toreh getah. Tangkap ikan lagi mudah,” kata si nelayan.

Wahai anakku,
Rezeki kamu sudah ditentukan. Asalkan kamu berusaha, kamu akan mendapatnya. Jangan dengki dengan rezeki orang lain. Bersyukur pada rezeki yang Allah kurniakan pada kamu. Usah iri hati pada rezeki orang lain. Ada orang yang memang rezekinya di darat menoreh getah, dan ada yang di laut menangkap ikan.

Setiap bidang ada cabarannya sendiri, namun asalkan hati kamu sentiasa dekat dengan Allah, kamu akan melihat segalanya dalam bentuk kesyukuran dan medan latihan untuk mempertingkatkan diri sebelum misi seterusnya.

Senyum

No comments:

Post a Comment