Tuesday, 8 April 2014

Status

Tadi terbaca satu status Facebook yang menceritakan luahan kecewa seorang lelaki yang telah menjadi duda kerana bekas Isterinya lari dengan lelaki suami orang yang dikenali melalui Facebook. Menurut status malang itu Isterinya lari meninggalkan terus 3 anak-anaknya. Dari maklumat diberi, si isteri lebih berpangkat dan bergaji lebih besar. Sedang si suami kakitangan sokongan. Isterinya juga baru saja mendapat kenaikan pangkat ke jawatan lebih kanan. Si Suami mula tertekan dengan keadaan ini termasuk penjagaan anak dan pengurusan pembayaran bil-bil dan ansuran-ansuran termasuk rumah yang selama ini sebahagiannya diserah kepada sang isteri.
Banyak komen mencurah-curah masuk dengan pelbagai ulasan. Banyak menyalahkan isteri dan ada juga yang meyalahkan si suami. Ada yang menulis menyalahkan kewujudan Facebook dan media-media sosial banyak menghancurkan masyarakat. Ada juga menulis Kalau hati sudah rosak. Facebook atau tidak memang akan jadi juga kerana niat sudah ada. Ada juga memberi komen salah suami tak memilih isteri yang sesuai. Ada lagi mengatakan si isteri sangat kejam sanggup tinggalkan anak dan semudah itu curang dengan kenalan Facebook yang belum dikenal hati budinya dengan mendalam. Saya tak ada komen kerana tak memahami faktor sebenar yang mendorong. Cuma pada saya jika dia isteri beriman dan tidak suka lagi kepada suaminya. Minta lepaskan saja dengan baik dan biasanya naluri keibuan akan mendorong ibu manapun membawa anaknya bersamanya. Dalam hal ini Si isteri tadi tidak pula memikirkan anak-anaknya. Mudahnya orang terpengaruh melalui hubungan di Facebook sahaja. Bila nanti si Lelaki digilainya yang serba serbi nampak penyayang tiba-tiba berubah dengan sepak terajang dan makan semua duit gajinya barulah menyesal. Tak tahulah saya pun buat andaian sahaja kerana saya ada ramai kawan yang pelbagai sikap yang berbeza-beza mengikut situasi dia berada. Bukan semua perkara tentang diri isteri atau suami yang diketahui semuanya oleh setiap pasangan atau ibubapa atau kawan-kawan rapat.
Kalau usia masih muda mungkin boleh dianggap kurang berakal lagi. Bila dah masuk 40 keatas sepatutnya suami atau isteri fikirkan masa depan anak-anak sahajalah kepada yang punya anak. Kepada yang tiada anak fikirkan kerjaya agaknya atau lebih baik menambah amal ibadah. Bila usia sudah dalam angka 50 tidak wajar lagi terikut-ikut hati dengan nafsu yang berlebih-lebih apalagi apabila kedudukan sendiri sudah teguh dan keluarga sudah lebih stabil. Tapi hakikatnya kebobrokan sikap tak kenal pangkat dan usia. Contohnya kisah seorang Ketua Pengarah berusia lebih 55 tahun di sebuah Perkhidmatan Awam dulu ditangkap bersama pekerjanya perempuan yang juga isteri orang berusia 29 tahun di sebuah hotel di Putrajaya dulu. Lain lagi ejensi yang sangkakan menjadi ‘pengawal’ Ketua Pengarahnya disabitkan kesalahan rasuah pula walhal dia sudah berada di tahap gred perjawatan yang tinggi. Alangkah malangnya apabila sudah berada dalam kedudukan begitu tinggi sekurang-kurangnya Jusa A atau mungkin Turus. Sanggup kehilangan semuanya, bukan setakat gaji dan emolumen, serta kerjaya ditampuk tapi juga kasih sayang keluarga yang sebelumnya teguh pasti mengundang kecewa orang-orang tersayangnya. Jika amalan salah dari dulu tidak dihentikan akhirnya membawa binasa di kemudian hari. Jika cepat berubah setidak-tidaknya masih mampu hidup bebas dan merancang masa depan lebih baik. Kalau tidak bersyukur dan ibadah dianggap sebagai rutin yang tiada dijiwai hanya untuk dijadikan pameran. Kesusahan yang mendatang. Bersyukurlah mereka yang terus diberi peluang oleh Tuhan. Moga kisah orang lain mampu memberi kita pengajaran
Saya teringat satu kisah di Syria yang disiarkan melalui Al Jazeera berkaitan kanak-kanak adikberadik berusia 10 dan 8 tahun yang mengutip sisa roti di jalanraya berdebu. Anak pintar itu menjawab seperti orang dewasa betapa dia sangat lapar setiap masa memikirkan makanan. Pada waktu malam bapanya akan memasak air panas yang ditaburi lada atau rempah untuk mendapat perisa bagi mengisi perut. Ditanya wartawan di mana ibunya berada. Si kakak yang lebih tua menjawab, Ibunya lari meninggalkan mereka kerana tidak tahan dengan kesusahan hidup yang melampau. Si ibu membawa bersama dokumen pribadi anak-anak dan suami menyebabkan mereka sekeluarga dinafikan menerima bantuan makanan seperti roti dan gandum menurut si anak tadi.
Saya tertarik dengan status Professor Muhaya hari ini yang mengatakan dakwah itu sebenarnya bermula dengan diri sendiri dan bukan hanya untuk menyeru orang lain berubah tapi diri belum memulakannya. Sedikit sebanyak terasa juga dengan status itu tapi saya bukan berniat untuk menasihat orang lain pun tapi diri mengingatkan sendiri supaya sentiasa terdorong untuk memikirkannya. Soal berdakwah ini saya teringat juga beberapa orang yang rajin mengirim nasihat ke inbox saya dan sering negatif dengan apa saja saya post di facebook. Akhirnya saya dapat simpulkan setelah melihat status mereka dan cara mereka komen di mana-mana. Mereka tidak ada langsung pendekatan yang menepati nilai seperti yang saya nyatakan dalam ulasan buku ‘How To Win Friends and Influence People’ Karya Dale Carnegie yang menjadi status saya kelmarin. Ringkasnya untuk berdakwah mesti kena ada ilmu juga dan mesti diri belajar cara komunikasi yang betul. Bila orang jahil rasa berilmu dan cuba pula berdakwah jadilah seperti pengganas yang dia fikir dia betul tapi hanya membawa onar. Senang-senang saja nak meletakkan orang di neraka atau berdosa atau dilaknat. Cara sendiri pun tak betul lagi.
Saya sebenarnya merancang menulis status ni ringkas saja sebab tu saya tak mengulas berkaitan perkara lain hanya berkaitan Status Facebook tapi nampaknya terheret sedikit panjang juga. Tadi saya menerima mesej yang meminta saya mengarang cerpen pula. Saya sebenarnya tidak ada sedikit pun latihan menulis. Semua hasil pengalaman di Facebook sahaja. Saya masih ingat kali pertama menulis. Seseorang komen dengan nada marah tulisan saya memeningkan kepalanya kerana dibuat tanpa perenggan. Saya seronok menulis kerana suka berkongsi perasaan dan pandangan. Bukan kerana saya berpengetahuan. Saya cuma ingin mendidik diri sendiri supaya dapat berubah menjadi lebih baik. Namun demikian untuk menulis cerpen perlukan imaginasi yang baik dan gaya penulisan yang berbakat. Boleh juga saya mulakan dengan mengulas mengenai cerpen-cerpen yang saya pernah baca. Ada beberapa yang menarikk diulas dalam Bahasa Melayu dan juga cerpen-cerpen dari luar negara. Di status akan datang saya kongsikan. Sudah biasa dengan olahan penceritaan, cara membina watak, tema dan lain-lain barulah saya cuba menulis cerpen flashfiction atau yang sangat pendek sebelum beralih lebih panjang. Saya rasa bangga sebenarnya sebab ada permintaan hahaha walaupun baru dua kali saya mendapat cadangan ini. Ia satu yang menarik untuk difikirkan. Kalau tak menjadi anggap saja aktiviti suka-suka di Facebook.
Dalam facebook ini ada pelbagai watak orang. Janganlah mudah menilai. Ada ketkanya orang tidak dapat pedulikan kita bukan kerana dia benci atau berubah hati. Janganlah cepat menilai. Ada juga yang mudah me’Remove’ dan dia tuduh pihak lain melakukannya. Memang susah melayan orang dalam facebook sama macam melayan ibubapa pelajar di sekolah. Jumpa yang baik dan memahami kerja orang lain bertuah guru berkenaan. Kalau jumpa yang hanya tahu komplen tapi tiada pernah memberi sumbangan baik dari segi material apalagi buah fikiran positif melainkan kata-kata untuk menyakitkan saja memang malanglah nasib. Ada pernah ibubapa berkata apabila meletakkan markah 100% untuk tujuan headcount anaknya di tingkatan 5 dalam semua subjek. Wah si bapa ini tidak rasional langsung meletakkan sasaran terlalu sempurna itu. Tak cukup dengan itu mengomel panjang lebar membuang masa guru sahaja, bila berkaitan subjek Agama Islam dia boleh berkata. ‘Anak saya mesti dapat 100%. Kalau orang Islam agama tidak 100% baik tukar agama’ Apalah punya bahasa si bapa ini berkata begitu. Inilah namanya tiada common sense.
Facebook ini sebenarnya boleh bawa banyak kebaikan jika niat untuk mencari kebaikan. Kepada yang sudah bersuami atau beristeri kenalah berpada-pada membina hubungan. Tidak apalah jika bersahabat karib sekalipun tapi bukan berlainan jantina itupun untuk tujuan-tujuan lebih baik. Mungkin dengan hubungan itu boleh membantu di masa depan. Tapi kalau isteri orang dan suami orang berhubungan dan sanggup mengaku single. Itu tandanya sudah parah dan bakal dilaknat. Jika menikmati keseronokkan dengan cara salah, sedapnya tak lama. Seksanya ke akhir hayat.
Saya suka banyak sahabat-sahabat saya di Facebook ini walaupun sebahagian besar lagi tak pernah berkomunikasi sekalipun. Rasa nak Remove pun ada bila tak pernah peduli tapi ya lah beginilah kehidupan. Setiap orang ada pelbagai sikap. Sebab itu seorang yang dahagakan LIKE meRemove saya sebab saya tak pernah memberinya LIKE. Saya tak bagi sebab dia pun tak pernah bagi hahaha. LIKE sekarang satu penandaaras orang kata terhadap tahap status seseorang. Saya tak percayalah penandaaras kepada kualiti tapi populariti mungkinlah. Sebab tu ada yang tulis Selamat Malam dan salin kata-kata hikmah ciptaan orang lain boleh beratus-ratus LIKE. Moga saya popular kemudian hari bila sudah berniat serius untuk menerbitkan hasil karya Sementara ini bersabar saja dengan orang lain walaupun tidak menerima LIKE. Sebahagian daripada anda di sini sangat penting dalam dunia maya saya sebab sentiasa ada, yakni sentiasa kelihatan posting status atau gambar-gambar. Saya sangat terharu dan teruja sentiasa membaca posting status anda dan turut juga memberi LIKE atau saling berbalas. Pemimpin-pemimpin juga banyak yang melaporkan aktiviti mereka melalui Facebook. Saya kagum mereka yang berjawatan besar dan pemimpin hebat kadang-kadang ada masa membalas mesej yang dikirimkan.
Tak kiralah walaupun mungkin anda sangat anti kerajaan atau anti pembangkang. Sahabat yang baik wajar terus dihargai. Pada saya jika sukar berkomunikasi mungkin mereka tidak berminat untuk kenal rapat tapi berminat untuk mengikuti rapat kerana posting status. Setiap orang ada banyak sebab berbeza bila dia melayan kawan berbeza. Ada kawan yang dia teruja tunggu mesej atau komen di status atau LIKE. Ada juga yang dianggap seperti melukut di tepi gantang menambah tidak mengurang jauh sekali. Bila meRemove diri berbulan-bulan baru sedar dah tiada. Sudah merajuk membawa diri.
Sudah lebih 1500 perkataan. Baik saya berhenti… Sedikit saja orang suka membaca status panjang-panjang. Kebanyakannya menyampah

No comments:

Post a Comment