Rabu, 3 November 2021

Lisbon

 Hari ini 266 tahun yang lalu, gempa bumi dahsyat memusnahkan kota Lisbon. 


Pagi Sabtu 1 November 1755 itu, sebahagian besar penduduk ibu kota Empayar Portugal itu ke gereja meraikan “All Saints’ Day”, hari suci umat Kristian. Namun pada kira-kira jam 9.40 pagi, berlaku gegaran pertama daripada 3 fasa gempa yang berlangsung selama 10 minit. 


Gempa yang dianggarkan bermagnitud 8.0-9.0 itu meruntuhkan bangunan di Lisbon termasuk gereja-gereja besar yang sarat dengan para penganut & membunuh mereka di dalamnya. 3 gegaran itu turut menyebabkan rekahan selebar 5 meter di pusat bandar. 


Lilin-lilin yang dinyalakan sempena hari suci tumbang & api dapur bertaburan dek gempa mencetuskan kebakaran dahsyat yang merebak & marak membakar seluruh kota selama 5 hari. Warga kota lari pelabuhan & jeti untuk menyelamatkan diri dengan kapal & bot. 


Namun 40 minit selepas gempa, kota yang telah musnah itu dibadai pula dengan tsunami setinggi 6 meter. Ketika gegarannya dirasai seluruh Eropah, tsunaminya turut menghentam kota-kota pesisir di sekitarnya malah hingga ke Kepulauan Caribbean & Greenland. 


Ia disifatkan sebagai antara gempa terdahsyat dalam sejarah, membunuh 1/3 populasi Lisbon. Keseluruhannya, bencana berganda itu meragut kira-kira 70,000 nyawa di Portugal serta Sepanyol (tsunami 20 meter) & Maghribi yang turut parah menerima tempiasnya. 


85 peratus binaan di Lisbon musnah, termasuk istana, perpustakaan & muzium yang masyhur serta banyak bangunan yang menampilkan seni bina unik Manueline dari kurun ke-16 bersama segala khazanah ilmu & kesenian berharga yang terkandung di dalamnya. 


Malapetaka dahsyat itu telah menyerlahkan ketegangan politik Empayar Portugal & menghentikan cita-cita mereka untuk terus meluaskan kuasanya. Golongan agamawan melihat bencana itu diturunkan tuhan sebagai hukuman kepada kerakusan mereka. 


Ia juga gempa pertama yang dikaji secara saintifik, mencetuskan pengajian seismologi moden & kejuruteraan gempa. 


Sumber: History, Britannica, SMS Tsunami Warning


#PeristiwaHariIni


Tiada ulasan:

Catat Ulasan