Rabu, 24 November 2021

Madu

 [[ Perniagaan madu adalah antara penipuan yang paling lama di negara ini]] 

====================


Saya seorang guru agama atau dipanggil Ustaz.

Saya bukan Saintis atau pakar lebah.


Namun ini pengalaman saya. 


1. Saya mempunyai pengalaman dengan madu lebih daripada 15 tahun. Saya pernah melihat proses madu, jenis lebah, sarang, propolis, sehinggalah kepada penghasilan produk madu. Saya juga pernah berkawan dengan orang yang mencari madu, menghasilkan madu, menjual madu dan menjadi saudagar madu.


Tetapi saya tidak pernah sekalipun menjual madu.


2. Madu organik yang boleh dikatakan asli ada dua jenis, pertama ialah yang 100% asli iaitu madu yang dihasilkan oleh lebah hutan tanpa campur tangan manusia.


- Masalahnya lebah hutan, semakin pupus.

- Koloni atau komuniti lebah asli semakin sukar ditemui kerana pokok-pokok kegemaran mereka seperti Sidir (bidara), jati, tualang, jelutong, celah-celah batu atau gua-gua sering diganggu manusia.


Adalah juga mungkin sesekali lebah mahu bersarang di kawasan-kawasan tinggal, cuma potensi hendak jumpa agak susah.


Tetapi peliknya, ramai orang mendakwa mereka menjual madu lebah asli, lebah hutan, lebah bukit dan lain-lain.


~~~~~~~~~~~~~

[[Berpuluh ribu produk madu lebah di pasaran, mereka ambil sumber madu daripada mana?]]

~~~~~~~~~~~~~~


Guna akal anda. Hutan dan kawasan mana lagi yang manusia belum teroka? 


Memang ada madu asli hutan/bukit/gua tetapi banyak mana sangat?


Berapa liter sangat ? Satu-satu daerah hutan seperti di Raub, Beruas, Gerik, Pengkalan hulu agak-agak berapa liter madu lebah boleh dapat kutip?


Mana ada sarang madu lebah hutan di KL? Walaupun banyak produk madu datangnya daripada kilang OEM di KL dan Selangor.


العاقل يكفى بالإشارة والجاهل لا يكفي ولو بالف عبارة


"...Orang yang berakal, bagi dia satu isyarat pun sudah cukup (untuk faham) tetapi orang yang bodoh tidak cukup walaupun beri dia seribu penerangan..."


Madu lebah jenis kedua ialah madu daripada lebah yang dibela atau lebah ternak. Ianya dihasilkan secara komersil oleh ramai pihak dan memang lebah ternak menghasilkan madu dari sumber pokok atau nektar yang berhampiran.


🐝 Masalahnya tidak ramai yang jujur beritahu ini madu lebah ternak. Selain itu penghasilan madu banyak bergantung pada sumber makanan, cuaca dan banyak faktor. Justeru untuk menjimatkan kos maka ramai penternak terpaksa beri lebah makan/minum air gula untuk menambah produktiviti dan menjaga survival lebah.


Kalau musim hujan atau cuaca tidak bagus lebah nak cari nektar macam mana? Orang meniaga semua ada kira untung rugi.


Itu belum ambil kira bab parasit, bakteria penyakit dan lain-lain. Penghasilan madu lebah kurang, tidak cukup liter, ditambah air gula dan bermacam lagi helah seperti madu sintetik dan lain-lain. 


3. Madu lebah tidak mudah untuk diperolehi. Proses mencarinya memakan masa baik memburu yang asli atau menternak. Kedua-duanya kos tinggi, berisiko dan tidak balik modal kecuali dengan cara menipu atau benar-benar bernasib baik.


Anda rasa selalunya kategori mana?

____________________________________


4. Madu-madu daripada tanah arab adalah yang paling kuat menipu. Lagi "ustaz" dan lagi "lebai" maka lagi kuat dia menipu.


Sama ada dia menipu atau dia memang bodoh ditipu Arab.


Kalau madu di bumi hutan Khatulistiwa pun tidak banyak lalu bagaimana di bumi hutan padang pasir seperti Yaman, Arab Saudi dan sebagainya boleh dapat banyak sampai dapat dieksport bertan-tan?


Untuk kegunaan domestik (dalam negara mereka) pun tidak cukup. Inikan pula dapat dieksport ke negara luar.


🐝 Anda hanya perlu melihat laporan dagangan serta manifest atau dokumen import daripada negara tersebut untuk mengetahui bahawa kebanyakan madu-madu di tanah Arab datang daripada China.


Made in China 🇨🇳


Tetapi repackaging (dipek semula) untuk menampakkan ianya datang daripada negara-negara Arab tersebut.


Lalu dibubuh nama Arab, al xxxx, asalkan bukan nama Al-Babi... Maka ramailah yang akan beli.


وَلاَ يَغُرَّنَّكَ مَنْ تَبْدُوْ بَشَــاشَتُهُ مِنْهُ إِلَيْــكَ فَإِنَّ السُمَّ فيِ الدَسَمِ


Anda akan terkejut jika tahu bahawa ada negara Arab yang tidak pernah ada ladang lebah komersil namun namanya sering dijadikan "sebagai transit" madu daripada China untuk ke negara-negara Islam seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei.


5. Membezakan madu asli dan tiruan adalah sukar dan memerlukan ujian makmal untuk menilai asid, kandungan gula dan bahan kimia di dalamnya. Di Malaysia kita mempunyai Institut Genome atau Malaysia Genome Institute (MGI) yang katanya boleh menyemak keaslian madu selain di makmal-makmal universiti.


Justeru bagi saya, berhati-hatilah memakan madu kecuali daripada sumber yang benar-benar dipercayai dan tidak memudharatkan kesihatan anda.


Adapun saya, sangat jarang membeli madu kecuali madu import daripada barat (negara-negara Kafir) yang ketat kelulusan eksportnya dan terkenal dengan kualiti atau madu yang dikeluarkan oleh pihak autoriti seperti FAMA dan MARDI.


من لم يهده قليل الإشارة لم ينفعه كثير العبارة


 "... Sesiapa yang tidak mendapat petunjuk daripada isyarat yang sedikit, maka maklumat yang banyak pun tidak akan bermanfaat kepadanya.." 


CATATAN PERKONGSIAN PENGALAMAN PERIBADI SEMATA-MATA. 

--------------------------------------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan