SIRI PARA JIN: DUA JIN NABI SULAIMAN DI CAMPAK OLEH MALAIKAT
Dikisahkan bahawa pada zaman pemerintahan Nabi Sulaiman, terdapat seorang lelaki berketurunan Nabi Yehuda bin Nabi Yaaqub yang mempunyai sebatang pohon yang besar di tepi rumahnya. Pohonnya yang rendang telah membuatkan sepasang burung merpati membina sarang di atas pohon tersebut dan mengeluarkan beberapa biji telur untuk ditetaskan.
Pada suatu hari, keluarga lelaki itu kekurangan makanan lalu sang isteri menyuruh suaminya mengambil kesemua telur burung merpati untuk dijadikan makanan untuk anak-anaknya. Tanpa berlengah, lelaki itu pun memanjat pohon tersebut lalu mengambil kesemua telur merpati yang ada di situ lalu membawanya masuk ke dalam rumah. Ketika sang ibu merpati pulang ke sarang dari mencari makanan, ia merasa terperanjat kerana kesemua telur yang dieramkannya telah tiada. Maka hal itu telah diajukan oleh pasangan merpati tersebut kepada Nabi Sulaiman lalu ia menceritakan peristiwa yang terjadi.
Untuk menyelesaikan masalah ini, Nabi Sulaiman pun memanggil lelaki tersebut supaya datang mengadap. Setelah lelaki itu mengadap Nabi Sulaiman, Nabi Sulaiman pun memberitahu kepada lelaki tersebut tujuan beliau memanggilnya lalu Nabi Sulaiman pun menasihati lelaki itu supaya tidak mengulanginya lagi. Lelaki itu pun bersetuju dengan syarat yang dikenakan. Beberapa hari kemudian, sang isteri lelaki tersebut menyuruh suaminya agar mengambil telur merpati untuk dimasak. Lelaki itu oun berkata kepada isterinya: "Wahai isteriku, sesungguhnya aku tidak akan mengambilnya kerana aku sudah berjanji kepada Nabi Allah Sulaiman untuk tidak mengulanginya lagi".
Isteri lelaki tersebut pun berkata dengan nada yang hampir keras: "Wahai suamiku, apakah engkau menyangka bahawa Nabi Allah Sulaiman akan memperdulikan dirimu atau merpati itu? Sedangkan baginda sedang sibuk dengan urusan kerajaannya". Mendengar apa yang disampaikan oleh isterinya, lelaki itu pun mendiamkan dirinya. Sang isteri tidak berhenti-henti memujuk suaminya agar mengambil telur merpati itu. Akhirnya lelaki tersebut termakan dengan pujuk rayu isterinya. Dia segera memanjat pohon itu lalu mengambil kesemua telur merpati.
Merpati yang baru balik dari mencari makanan terperanjat kerana kesemuanya telurnya sudah tiada. Merpati yakin bahwa telurnya telah diambil oleh lelaki itu lalu merpati pun pergi menemui Nabi Sulaiman dan menceritakan apa yang berlaku. Apabila Nabi Sulaiman mendengar semua rintihan merpati, beliau pun segera memanggil Jin yang menjaga penjuru barat dan penjuru timur. Nabi Sulaiman memerintahkan kedua-dua Jin supaya mengawal pohon yang ada di tepi rumah lelaki tersebut. Sekiranya lelaki itu ingin mengambil telur merpati itu halanginya dengan menarik kedua kakinya.
Tiba suatu masa, datang lah seorang lelaki yang tidak dikenali datang ke rumah lelaki tersebut. Lelaki misteri itu memohon agar diberikan sedikit makanan lalu lelaki itu pun memberikan sebuku roti bersama telur yang di masak. Lelaki misteri itu pun mengucapkan terima kasih dan berdoa agar lelaki itu diberi kesihatan dan keselamatan. Keesokan harinya, lelaki itu ingin mengambil telur merpati lagi untuk di masak. Saat ketika ia hendak mengambil telur tersebut, lelaki itu merasakan kakinya tidak boleh bergerak. Apabila ia meletakkan telur itu semula kakinya terasa ringan semula dan hal itu berlaku untuk beberapa kali sehinggalah Allah Taala memerintahkan dua Malaikat untuk membantu lelaki tersebut. Malaikat itu pun mencekak kepala Jin tersebut lalu mencampaknya ke penjuru timur dan satu lagi ke penjuru barat. Maka selamatlah lelaki itu dari tipudaya Jin.
Burung merpati pun mengadap Nabi Sulaiman sekali lagi untuk menyampaikan tentang telurnya telah dicuri. Nabi Sulaiman merasa curiga kenapa dua orang Jin yang diperintahkan untuk menjaga pihon itu tidak menjalankan tugas yang diberi? Nabi Sulaiman pun memerintahkan kedua Jin itu datang mengadap untuk diberi hukuman. Apabila kedua Jin mengadap Nabi Sulaiman, maka baginda merasa amat marah. Salah seorang Jin menceritakan tentang apa yang terjadi kepada mereka. Setelah mengetahui perkara sebenar, Nabi Sulaiman bermunajat kepada Allah Taala lalu Allah Taala memberitahunya bahawa Allah Taala memberi keselamatan ke atas lelaki itu kerana ia sudah melakukan kebaikan dalam bersedekah dengan telur merpati tersebut. Mendengar firman Allah yang disampaikan oleh Malaikat Jibrail, Nabi Sulaiman tertunduk malu di atas apa yang berlaku sementara lelaki yang memiliki pohon itu tetap meneruskan tugas hariannya dalam memelihara ahli keluarganya.
#MAMR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan