Seperti biasa, TV3 dan RTM akan hanya memaparkan pandangan yang pro kepada kerajaan sahaja berbanding dengan pelbagai lagi ulasan yang pro kepada pembangkang.
Saya pun tidak mahu terkecuali dalam memberi pandangan dalam isu PTPTN ini tetapi pandangan saya hanyalah dari kacamata seorang Penjual Pulut Panggang sahaja.
Congakkan saya berasaskan keputusan SPM 2012 yang baru sahaja keluar tempohari dengan jumlah 468,808 calon dengan 1,609 calon mendapat 9A yang pasti ditawarkan skim pelajar cemerlang dibawah tajaan MARA atau JPA
Maka jumlah calon berbaki 467,199. Dari jumlah tersebut, kita tolak 10% jumlah pelajar yang tidak mahu menyambung pelajaran disebabkan tidak berminat atau pun gagal (istilah gagal sebenarnya tidak boleh digunakan kerana pelajar yang mendapat 1A pun kini layak untuk menyambung pelajaran) iaitu 46,720 orang menjadikan jumlah calon sebanyak 420,479 layak memohon PTPTN.
Dari jumlah 420,479, setiap calon dikehendaki membeli pin e permohonan di BSN berharga RM5.00 satu jadi pada peringkat awal PTPTN menjana RM2,102,395.00 diatas penjualan PIN.
Dari jumlah calon tersebut kita buat pecahan kepada 148500 akan ditawarkan ke IPTA dan bakinya sebanyak 271,979 akan ditawarkan ke IPTS. Dari jumlah 271,979 pula kita buat pecahan kepada 50% membuat Ijazah Sarjana Muda, 30% membuat Diploma dan 20% membuat Sijil. 50% calon Sarjana Muda berjumlah 135,990 calon manakala 30% calon Diploma berjumlah 81,590 dan calon sijil 10% sebanyak 27,1980 calon.
Jumlah PTPTN bagi calon Sarjana Muda IPTA adalah RM30,000 (jumlah maksima) bagi 6 semester bermakna 148,500 calon akan membuat pinjaman sebanyak RM30,000.00 seorang berjumlah RM4,455,000,000 bagi 3 tahun.
Bagi pelajar IPTS Ijazah Sarjana Muda pula, RM49,500 adalah jumlah maksima bagi tempoh 6 semester yang perlu dipinjam oleh calon IPTS dengan jumlah pinjaman RM6,731.505,000 bagi 3 tahun.
Bagi Pelajar jurusan Diploma IPTS, RM24,000.00 merupakan jumlah maksima bagi 6 semester dengan jumlah calon sebanyak 81,590 dengan jumlah pinjaman RM1,958,160,000.
Kita lupakan calon sijil kerana asas pinjaman adalah kecil.
Asas keuntungan PTPTN adalah bermula dengan caj 3% atas nama kos pengurusan dan kini ditukar kepada 1% atas penukaran nama.
Kita bulatkan jumlah pinjaman Ijazah Sarjana Muda IPTA, IPTS dan Diploma IPTS kepada angka RM13,144,665,000 selama 3 tahun dengan jumlah 1% bermakna keuntungan asas pengurusan adalah sebanyak RM13,144,665.00. Ditambah dengan kos pembelian pin sebanyak RM2,102,395.00 maka untung awal adalah sebanyak RM15,247,060.
Dari jumlah keseluruhan pinjaman sebanyak RM13,665,000, pembayaran dibuat secara ansuran mengikut semester iaitu RM13,665,000 dibahagi 6 (semester) iaitu RM2,277,500 semester. Lebihan tersebut sebanyak RM11,387,500 dimasukkan ke bank sebagai fixed deposite (simpanan tetap) dengan jangka hayat kematangan 6 bulan dengan pendapatan 3.38% faedah bagi 3 bulan pertama dan diikuti dengan 3.48% bagi 3 bulan kedua bererti dalam tempoh 6 bulan PTPTN menjana RM384,897.50 bagi tiga bulan pertama diikuti dengan RM409,679.45 bagi tiga bulan kedua.
Ini bererti dalam 6 bulan, pinjaman yang dilakukan oleh pelajar boleh menjana pendapatan RM794,576.95. Bayangkan berapakah pendapatan PTPTN seterusnya kerana kadar faedah bank akan naik sebanyak0.1% bagi 3 bulan seterusnya dan 0.1% setiap bulan selepas sembilan bulan dengan faeedah tertinggi adalah sebanyak 4.88%. Itu baru pinjaman pelajaran berasaskan statistik kelulusan SPM 2012. Bagaimana dengan 2011,2010,2009 dan yang lain-lainnya.
Kebenarannya, PTPTN adalah satu mesin menjana wang kerajaan bagi memastikan setiap pelajar di Malaysia ini akan terikat dengan beban hutang disamping dengan secara halus menunjukkan kepada masyarakat Malaysia kononnya kerajaan BN amat perihatin dengan menyediakan pinjaman kepada para pelajar.
Ketika saya menghadiri kursus membuat pulut panggang di UK selama 3 bulan, saya mendapati bahawa bukan sahaja pendidikan di UK diberi percuma bahkan para pelajar sekolah diberi elaun galakan £30 bagi yang pelajar yang tidak ponteng.
Kawan saya yang sedang berkerja di German juga memaklumkan kepada saya bahawa selain pendidikan percuma, para pelajar dari Negara luar juga ditawar biasiswa apabila telah disahkan tempat di university tempatan.
Kewujudan PTPTN sebenarnya lebih kepada membuka peluang kepada para korporat @ keparat yang memiliki modal untuk membuka IPTS dengan menawarkan pelbagai kursus dengan kos 2 atau 3 kali ganda dari IPTA. Bagi ibubapa pula, peluang untuk melihat anak bergelar mahasiswa pula terbentang luas dengan tawaran dari IPTS ini walaupun keputusan SPM anak mereka kalau zaman dahulu hanyak GRED 3 meskipun terpaksa berhutang.
Saya masih ingat, suatu ketika dulu, jika dapat masuk ke Universiti, ibubapa akan mengadakan kenduri kesyukuran tetapi kini anak sudah mendapat segulung ijazah tetapi terpaksa berkerja di Restoran Makan Segera kerana tiadanya nilai ijazah tersebut dalam pasaran tempatan.
Kita boleh memberi beberapa nama IPTS yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada lepasan IPTS mereka kerana kualiti yang mereka ada tetapi kita juga boleh memberi senarai yang lebih panjang nama-nama IPTS yang melahirkan graduan yang tiada kelayakan untuk berkerja.
Walaupun saya hanya seorang penjual pulut panggang, tapi saya amat perihatin dengan fact and figure dalam isu pinjaman kerana saya tidak mendapat RM250 juta untuk mengembangkan perniagaan yang saya amat arif berbanding seseorang yang mendapat RM250 juta bagi menguruskan perniagaan yang beliau tidak arif.
Saya juga mempunyai hutang bank sebanyak RM14,000.00 yang tidak dilupuskan berbanding seseorang yang memiliki hutang RM57 juta yang begitu senang kerajaan lupuskan.
Saya juga memmiliki untung RM100 sehari berbanding kerugian mencecah ratusan juta oleh syarikat GLC milik kerajaan.
Saya yakin jika saya diberi RM1 juta bagi mengembangkan perniagaan saya, saya akan memastikan corak pengurusan PTPTN dan PLUS yang menjadi model perniagaan saya kerana kedua-dua perniagaan ini sentiasa untung dan tidap pernah rugi…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan