Sabtu, 14 April 2012

perubatan islam

Pengubatan Arab Jahiliyyah

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab jahiliyyah bukan sahaja mempunyai masalah tauhid dan masalah keharmonian kemasyarakatan, malah mereka juga mempunyai pengetahuan perubatan yang tidak tersusun, jahil serta bercanggah dengan nilai perubatan yang sebenar.

Pelbagai cara perubatan mereka yang bukan sahaja bertentangan dengan akal malah mengandungi unsur-unsur khurafat dan syirik. Antara contohnya;
a). Merawat pesakit yang dipatuk ular atau disengat kalajengking adalah dengan mengalungkan perhiasan emas di lehernya.

b). Apabila anak mendapat bisul maka ditudungkan kepala dengan penapis lalu mengelilingi rumah-rumah kaum mereka untuk mengumpulkan roti dan kurma yang kemudiannya diberikan kepada anjing untuk dimakan supaya anaknya sembuh.

c). Pemberian azimat atau tangkal-tangkal tertentu dalam pelbagai bentuk lalu dikalungkan atau diletak di badan seperti pakaian buruk dan tulang manusia kononnya penyakit itu akibat perbuatan roh jahat. Malah sakit tekak juga ‘dikurniakan’ azimat kepada mereka.

Apabila datangnya Islam maka tradisi perubatan yang tidak masuk akal ini diperangi dengan pelbagai cara melalui ajaran Nabi saw dan hasil ijtihad para sahabatnya. Adapun kaedah Nabi saw bukan sahaja melalui ruqyah (bacaan-bacaan doa) malah termasuk juga cara mencegah dan merawat melalui pemakanan.

Pelbagai Doa
Terdapat begitu banyak doa-doa bacaan sebagai salah satu kaedah dalam merawat penyakit dari Nabi saw. Di antara yang paling mahsyur di kalangan umat Islam zaman ini adalah surah al-Fatihah (terdapat dalam Sahih Bukhari no. 2115). Sekiranya anda hendak membeli buku-buku ruqyah ini pastikan ia adalah sabit dari hadith Nabi saw. Biasanya ia terletak di notakaki buku tersebut.

HINDARI buku-buku doa yang tidak diketahui asal-usul doanya. Contohnya seperti terdapat buku-buku doa yang menggambarkan tulisan Arab atau Jawi yang terputus-putus dan disarankan untuk menyalinnya lalu disimpan di dalam dompet sebagai penangkal sihir atau penolak bala. Inilah yang dipanggil tangkal.

Selain itu terdapat juga doa-doa atau kononnya selawat-selawat yang dapat menyembuhkan penyakit, sedangkan Nabi saw tidak pernah mengatakannya malah kelebihannya melampau-lampau pula hingga meninggalkan sunnah Nabi saw yang sahih. Oleh kerana itu saya sarankan pilihlah buku-buku doa yang mempunyai notakaki yang mengatakan dari hadith mana doa itu diambil.

Apakah Ruqyah Itu Memadai?
Sekiranya cukup dengan doa tentulah Rasulullah saw tidak akan mengatakan bahawa madu, kurma, habatussauda dan kandungan makanan lainnya yang mempunyai aspek penyembuhan. Tetapi menerusi penyelidikan terkini umat Islam dan juga bukan Islam mula membuka mata mengenai kehebatan wahyu (sunnah) menerusi lisan Nabi Muhammad saw.

Antara mukjizat ilmu perubatan yang diberi pada Nabi saw seperti hadith lalat, kurma ajwa, kencing unta dan banyak lagi yang mempunyai kesan penyembuhan terhadap penyakit. Sehingga kini ada yang mampu dikaji dan ada yang masih tidak diketahui oleh penyelidik.

Selainnya anda boleh melihat di dalam buku ‘Mengubat Cara Nabi’ karangan ulamak yang terkenal Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.

Cara Perubatan Rasulullah saw
Kaedah atau pengubatan yang dilakukan oleh Nabi saw terdapat tiga cara iaitu;

a). Pengubatan secara semulajadi melalui pemakanan dan sebagainya. Jika kita kaitkan pada zaman ini samalah seperti pengambilan ubat-ubatan serta pengambilan pil vitamin dan seumpamanya melalui kajian yang sah.

b). Pengubatan secara ruqyah (doa yang diilhamkan kepada Nabi saw) bagi menghilangkan pelbagai penyakit termasuk penyakit kerohanian.
Dari Anas bin Malik r.a : "Mahukah kamu aku ruqyah dengan ruqyah Rasulullah saw?" ..... Anas r.a berkata : "
اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ مُذْهِبَ الْبَاسِ اشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شَافِيَ إِلَّا أَنْتَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
(Ya Allah Rabb manusia, Dzat yang menghilangkan rasa sakit. Sembuhkanlah sesungguhnya Engkau Maha Penyembuh. Tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan Engkau iaitu kesembuhan yang tidak akan menyebabkan penyakit lagi)." [5301] Sahih Bukhari

Oleh itu untuk mengamalkan ruqyah ini adalah sunnah. Apabila kita mengamalkan doa atau selawat yang bukan diilhamkan kepada Nabi saw, bererti seolah-olah kita mengangkat perkataan orang lain lebih dari Nabi saw dan meninggalkan sunnah yang sahih seperti ini.

c). Pengubatan yang menggabungkan kedua-duanya. Sebenarnya inilah kaedahnya yang sebenar tetapi saya mengasingkannya atau menyusunnya supaya mudah dibaca dan difahami.

Pemahaman Perubatan Islam Yang Salah @ Pengubatan Islam Jahiliyyah
Inilah tujuan utama risalah ini dan ia adalah isu yang amat penting terutama pada zaman kita ini. Umat Islam telah mula meniru kembali kaedah-kaedah perubatan Arab Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Paling buruk ia dilakukan oleh orang yang kononnya digelar sebagai ahli agama sedangkan ia ahli hawa nafsu yang mengaut untung dan mengambil kesempatan terhadap orang lain, antaranya;

a). Menziarah kubur untuk meminta kesembuhan. Baru-baru ini kita melihat mengenai orang yang menziarahi Pulau Besar di Melaka. Walaupun lisan kita mengatakan hanya Allah yang menyembuhkan, tetapi perbuatan kita ke sana atas tujuan ‘usaha’ itu adalah salah. Inilah konsep perantaraan yang jatuh kepada syirik. Maksudnya kita tidak yakin akan kekuasaan Allah yang memakbulkan doa kita dan perlu ke tempat ‘keramat’ seperti itu untuk meminta hajat.

b). Air zam-zam yang dibacakan tiga puluh juz Al-Quran. Perkara ini sangat menghairankan kerana apakah tidak cukup keberkatan air zam-zam itu sehingga kita ingin menambah ‘berkah’ kepada air zam-zam tersebut dengan bacaan ayat Al-Quran? Konsepnya, dari mana datang keberkatan? Semuanya dari Allah, apakah kita meragui? Para ahli ilmu tidak akan tertipu, sasaran mereka hanya kepada umat Islam yang jahil.

c). Mempercayai bomoh yang bergelar ustaz. Ada seseorang yang menceritakan kepada saya bahawa ia menjumpai seorang ‘ustaz’ dan meminta supaya disembuhkan penyakitnya. ‘Ustaz’ itu kemudiannya memberikan beberapa paku yang dibaca doa dan ayat Al-Quran untuk diletakkan di pintu rumah. Apakah paku itu boleh menyembuhkan penyakit? Ini sihir dan syirik.

d). Pembedahan batin. Kaedah ini dilakukan oleh para penyihir yang bekerjasama dengan syaitan dari golongan jin. Mereka yang mendatangi penyihir ini samalah seperti mendatangi bomoh.

e). Zikir amalan yang bertentangan dengan zikir Nabi saw dan SALAHGUNA ayat-ayat Al-Quran. Antara tujuan zikir ini bukan sahaja untuk tujuan menyembuh penyakit malah untuk tujuan seperti untuk bertemu jodoh, zikir menjadi halimunan, zikir menjadi kebal dan sebagainya.

f). Pemetaan genom yang kononnya apabila dapat dikumpul genom dan memahaminya maka manusia akan bebas dari segala penyakit (mungkin saja ini salah satu dari fitnah dajjal). Ini syirik. Islam tidak melarang pengkajian genetik untuk memberi manfaat tetapi perlu didasari dengan syariat dan bukan mengatasi syariat.

Allah yang mendatangkan penyakit dan hanya Allah yang menyembuhkan. Sakit itu perkara biasa kerana ia menghapus dosa atau menaikkan darjat seseorang.
Hendaklah kita meyakini bahawa penawar atau penyembuh bagi setiap penyakit di dalam Islam hanyalah dari Allah. Namun bukanlah bermakna kita perlu berpeluk tubuh dan kononnya bertawakal tanpa berusaha, sebaliknya ia satu motivasi di dalam diri untuk mencegah dan mencari penawar dengan mengamalkan sunnah Nabi saw. Disamping itu ia dapat menghasilkan rasa harap, takut dan berserah diri kepada tempat meminta segala pertolongan (Allah).

Kesimpulan
Perubatan Islam sebenarnya adalah sistem perubatan yang sah dan sama dengan asas perubatan atau ilmu kedoktoran masa kini melalui kajian-kajian empirik. Malah perubatan Islam bukan sahaja melalui perubatan sains semata-mata, malah ia tetap berpegang dan meletakkan wahyu (Al-Quran dan Al-Sunnah) di peringkat paling atas. Ini bermakna perubatan yang bertentangan dengan syariat adalah ditolak.

Adapun sabdaan Nabi saw mengenai kandungan-kandungan pemakanan adalah wahyu dan kita sebagai umatnya perlu jadikan ia satu motivasi untuk mengkajinya dan memberi kemanfaatan kepada umat Islam dan manusia seluruhnya. Ilmu yang bermanfaat akan mendapat pahala yang berterusan, oleh itu berusahalah.

Dari Jabir bin Abdullah r.a : Rasulullah saw bersabda: "Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ditemukan ubat yang tepat untuk suatu penyakit, maka akan sembuhlah penyakit itu dengan izin Allah 'azza wajalla." [4084] Sahih Muslim
Punca salah faham mengenai perubatan Islam ini kerana tidak memahami makna iman dengan betul. Perbaharuilah syahadah kita setiap hari dan berdoa moga dihindarkan bukan sahaja pada diri sendiri malah keselamatan ahli keluarga, jiran tetangga dan seluruh umat Islam dari fitnah yang merosakkan akidah ini. Belajarlah ilmu tauhid yang sebenar, BACALAH dan tanyalah kepada mereka yang mengetahui.

Kembalilah kepada tauhid yang benar sebelum membicarakan mengenai hukum-hukum perubatan Islam yang lain.

Rujukan dan kitab yang DIANJURKAN untuk dibaca :
Al-Quran dan hadith yang sahih
Sirah Nabi Muhammad [Abu Mazaya al-Hafiz]
Mengubat Cara Nabi [Ibnu Qayyim al-Jauziyah]
Perdukunan Karomah [Zainal Abidin Bin Syamsudin]
Fikah Perubatan [Dr. Harmy dan lain-lain keluaran PTS]
Perubatan Al-Quran dan Al-Sunnah [Abdul Aziz Ismail]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan