Isnin, 9 April 2012

Putik

Ekhwan Ali,10 Apr 2012

Setelah tiga tahun dilancarkan, Government Transformation Programme (GTP) yang diilhamkan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak mula dibentangkan hasilnya kepada rakyat. Semasa program ‘Jelajah Janji Ditepati’ di Johor baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pencapaian GTP berdasarkan 6 National Key Result Area (NKRA) telah melebihi target yang disasarkan dalam tempoh yang singkat.

Antara yang dibentangkan di dalam laporan itu ialah Malaysia diisytiharkan sebagai negara paling aman di asia tenggara dan juga negara paling selamat antara 19 buah negara. Sudah pasti prestasi sebegini menyerlahkan kemajuan cemerlang yang dicapai di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah. Turut dicatatkan, berlaku pengurangan sebanyak 39.7% Jenayah Jalanan dan 11.1% Jenayah Indeks.

Namun begitu, sehingga ke saat mayat Dirang yang ditemui rentung dalam sebuah lubang berhampiran kediamannya pada 8 Mac lalu, angka-angka ini ternyata tidak mampu melegakan hati rakyat. Saban hari, kes rompakan, rasuah, ragut, lari dari rumah, pembunuhan, rogol dan buang bayi berselang-seli menjadi tajuk utama di dada akhbar dan siaran berita di televisyen.

Keadaan ini sudah pasti menimbulkan tanda tanya dan rasa sangsi rakyat terhadap laporan yang telah diuar-uarkan. Lebih membimbangkan adalah, adakah kami semua selamat untuk menjalani kehidupan seharian? Ataupun pasti sekali kami juga akan menjadi mangsa, cuma ‘tunggu’ giliran?

Tidak dapat dinafikan bahawa masalah jenayah ini ada hubungkaitnya dengan keadaan ekonomi sesebuah negara dan rakyatnya. Antaranya berpunca daripada tekanan hidup akibat peningkatan kos sara diri dan bebanan hutang. Secara tidak langsung, ia menjadi punca kepada individu-individu tertentu untuk melakukan sesuatu tindakan luar jangka yang membahayakan orang lain.

Lebih parah lagi apabila rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa jenayah-jenayah yang sering dibawa kepada muka pengadilan hakikatnya lebih tertumpu kepada rakyat bawahan. Apabila melibatkan orang kenamaan atau berjawatan, semacam ia selesai dalam diam.

Ini membuktikan kegagalan sistem kehakiman dan undang-undang dalam menangani masalah ini dan barangkali juga ia adalah cara golongan atasan untuk mengalih perhatian umum terhadap penindasan yang berlaku.

Program atau rancangan hiburan yang tidak dikawal dan melampau juga telah  menyumbang kepada berkembangnya budaya hidup yang merosakkan seterusnya kemungkinan berlakunya pelbagai jenayah.

Sebagai contoh,  penganjuran konsert artis antarabangsa, Girls Generation dari Korea Selatan baru-baru ini yang terkenal dengan penampilan yang menjolok mata dan tarian mengghairahkan. Hal ini pasti sekali memberi pengaruh negatif kepada anak-anak muda khususnya dalam cara pemakaian dan pergaulan mereka.

Di sisi yang lain pula, berlaku gejala sosial meruncing yang akhirnya menjerumuskan mereka sehingga ke tahap melakukan penzinaan dan pembuangan serta pembunuhan bayi. Hiburan yang diketengahkan sepatutnya mestilah dalam kerangka untuk membina perpaduan dikalangan masyarakat serta sebagai medium pendidikan dan lebih penting daripada itu mestilah mematuhi norma masyarakat setempat dan batasan agama.

Tentang keselamatan di jalan raya juga seharusnya diberi perhatian. Soal infrastruktur atau sikap pengguna, kedua-duanya perlu diselesaikan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Saman umpama tidak lagi berkesan sebagai cara untuk menyelesaikan masalah ini. Kerajaan perlu segera mengambil langkah proaktif dalam hal ini.

Menyedari hakikat ini, kerajaan perlu menilai kembali usaha yang dijalankan agar hasilnya selepas ini bukan sahaja sekadar mampu membentangkan angka-angka yang sedap mata memandang dan telinga mendengar, tetapi mestilah sehingga hilang rasa ragu dan sangsi serta lahir perasaan percaya dan yakin rakyat Malaysia bahawa Malaysia benar-benar sebuah negara yang aman dan selamat.

Apa yang lebih menarik, mutakhir ini menunjukkan bagaimana respon anak muda terhadap ceramah-ceramah agama di Youtube khususnya oleh Ustaz Azhar Idrus, mendapat sambutan yang cukup menghangatkan.

Ini membuktikan bahawa anak-anak muda hari ini sudahpun menunjukkan isyarat dan menyatakan kesediaan mereka untuk menerima Islam sepenuhnya sebagai cara hidup mereka, termasuklah dalam pelaksanaan syariat Islam.

Tinggal lagi, bagaimana usaha kerajaan untuk memanfaatkan peluang ini bagi menyediakan suasana yang lebih kondusif pada masa hadapan ke arah pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam yang pasti dapat menjamin keselamatan negara dan rakyat Malaysia untuk hidup bahagia di dunia dan selamat di akhirat. Jangan Petik Buah Putik, Jangan Tunggu Buah Buruk.

Wallahua’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan