Ahad, 15 April 2012

UTHM



'CAKAP tak serupa bikin’. Begitulah gambaran yang boleh ditempelak kepada pihak Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Dalam menangani urusan mahasiswa, baru-baru ini telah berlaku satu kes di mana ia membabitkan kredibiliti sebuah universiti dalam mengurus tadbir pelajarnya dengan sempurna.
 
Terbaru, tiga pelajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan didakwa oleh Mahkamah Universiti berkenaan penyebaran video bantahan terhadap sebuah program yang dianjurkan oleh universiti.


Program tersebut bertujuan untuk menjayakan ‘hari belia sedunia’ telah berubah sifatnya dengan matlamat dan tujuan yang lain yakni ‘doktrinisasi politik’. Selalunya Barisan Nasional suka menempelak pihak lawan dengan menyatakan mahasiswa sentiasa diperalatkan oleh politik pembangkang.
 
Pada hakikatnya tindakan kerajaan terhadap mahasiswa di UTHM kali ini benar-benar menunjukkan siapakah yang sebenarnya memperalatkan mahasiswa dan universiti. Pelajar diminta hadir ke sebuah program yang dipanelkan oleh ahli UMNO.
 
Kononnya ia bertujuan untuk membincangkan persoalan mengenai belia. Tetapi apa yang berlaku berlainan pula. Selama berjam-jam program itu dijalankan, pelajar dihidangkan dengan sebuah taklimat atau ceramah berkenaan dengan parti UMNO semata-mata.
 
Perkara itu bukan berlaku di luar universiti tetapi berlaku di dalam universiti. Masalah beliakah dengan menceritakan sesuatu perkara berkenaan dengan perkauman serta menghentam parti-parti yang dislogankan sebagai ‘pembangkang’?
 
Bukan itu sahaja, malah telah dikhabarkan oleh pelajar yang menghadiri program itu di mana gambar ketua pembangkang dewan rakyat Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga turut ditayangkan sambil memburuk-burukkan pemimpin tersebut.
 
Tindakan sedemikian memang tidak bertamadun. Sebuah universiti yang dipimpin oleh Naib Canselornya boleh menjalankan sebuah aktiviti yang tidak bertamadun. Apakah itu taraf universiti di Malaysia pada hari ini?
 
Doktrinisasi yang menjerat pelajar ini adalah sama dengan tindakan diktator. Pelajar-pelajar yang dipaksa menghadiri program itu sebenarnya didesak dengan begitu teruk. Dalam waktu yang sama semasa program itu diadakan, pelajar sebenarnya sedang menghadapi minggu ujian dan pastinya pelajar pada hari itu ramai yang menumpukan kepada pelajaran mereka.
 
Implikasi dari minggu ujian itu, maka program yang dianjurkan pihak universiti tidak mendapat sambutan yang mengalakkan pada peringkat awalnya. Justeru berlakulah sebuah lagi tindakan yang paling tidak bertamadun dilakukan oleh pihak universiti.
 
Pihak universiti telah mematikan seluruh bekalan elektrik di kolej kediaman pelajar bertujuan untuk memastikan pelajar tidak dapat menyambung pelajaran di bilik mereka. Maka dengan itu pelajar dipaksa dan dikerah ke tempat program kerana mereka tidak ada pilihan yang lain setelah bekalan elektrik terputus.
 
Bila sampai sahaja di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, pelajar telah dihidangkan dengan ceramah program bersajikan politik berpihak kepada UMNO. Antara panelnya adalah Dato’ Ahmad Maslan yang hadir sebagai ahli parlimen Pontian yang juga Ketua Penerangan UMNO, Malaysia.
 
Tindakan universiti dengan memaksa pelajar itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajarnya. Dari itu pelajar telah pun mengadakan satu rakaman video khas yang meluahkan segala isi hati mereka dan disebarkan ke khalayak umum.
 
Kesan dari tindakan itu, pihak universiti telah memanggil mereka yang terbabit untuk diberikan penjelasan terhadap sebaran video yang dilakukan. Namun berlaku satu lagi perkara yang mengelirukan, di mana pelajar yang dipanggil bukanlah disuruh untuk menjelaskan mengenai sebaran video tersebut sebaliknya pelajar tersebut akan didakwa oleh pihak universiti atas kesalahan memalukan universiti.
 
Ternyata tindakan itu cukup memandulkan kredibiliti sebuah universiti. Kalau hendak melobi untuk menjadi calon pilihanraya umum ke-13 pun janganlah sampai terkinja-kinja umpama manusia yang tidak bertamadun.
 
Alasan yang diberikan oleh pihak universiti adalah berkenaan soal ‘malu’. Tetapi sebenarnya pihak universiti harus mencermin diri sendiri dengan tindakan mereka memaksa pelajar untuk hadir program berbentuk doktrinisasi politik kepartian UMNO itu sebenarnya lagilah memalukan dan memandulkan.
 
 
Kalau nak membodek pun janganlah menggunakan nama universiti, gunakanlah nama individu sahaja. Ini soal sebuah tempat pengajian bukan rumah persendirian. UTHM itu pun bukanlah milik Naib Canselornya secara persendirian ia melibatkan banyak pihak.
 
Jika Naib Canselor UTHM itu mempunyai maruah, ia sepatutnya memohon maaf .Pelajar harus diberikan kebebasan untuk memilih yang mana baik dan yang mana buruk, bukan dipaksa seperti memaksa kambing meragut rumput.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan