Rabu, 11 April 2012

Pendidikan percuma

Sebelum saya dan anda tenggelam lebih jauh dalam tulisan ini, biarlah saya tekankan terlebih dahulu tujuan dan matlamat akhir perkataan dan ayat-ayat dalam tulisan ini disusun. 
Saya sedang cuba untuk mengolah kembali persetujuan dari semua orang bahawa pendidikan percuma adalah penting, relevan, dan tentu sekali perlu dituntut oleh semua orang tanpa perlu mengambil kira di mana letaknya diri anda dalam sistem masyarakat dan sosial hari ini.


  Di akhir tulisan ini juga, tidak keterlaluan jika saya katakan objektifnya adalah untuk mengajak anda bersama-sama untuk turun ke Dataran Merdeka pada tanggal 14 April yang akan datang bagi menggenggam hak kita untuk mendapatkan pendidikan percuma.  Mesej utamanya; pendidikan bukan barang dagangan.

Umum ketahui, pendidikan adalah elemen penting dalam pembentukan insan dan Negara.  Tanpa pendidikan dan kemahiran, kita akan terus mundur dalam pembangunan, tidak mampu bersaing dengan arus dunia, terpaksa bergantung dengan kemahiran orang lain, merencatkan rencana-rencana masa depan Negara, serta yang lebih penting melahirkan lebih ramai golongan yang tidak berfungsi.  Rakyat yang tidak mendapat pendidikan secukupnya adalah rakyat yang gagal, dan pada skala lebih besar, Negara ini juga akan jadi Negara yang gagal.  Tidak perlu kita jelaskan lebih banyak tentang peri pentingnya pendidikan dan penguasaan ilmu, sudah terang lagi bersuluh.  Cuma yang menjadi persoalannya di sini, apabila kita sudah pun memahami keperluan dan kepentingan ilmu, dan kita mampu akui ilmu harus dimiliki oleh semua orang, persoalannya sekarang; berapa besar peluang untuk mendapatkannya dan bagaimana pula ilmu ini dilayan sebagai suatu perkara yang mulia.

Negara kita mempunyai sekurang-kurangnya 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), dan angka ini sentiasa bertambah.  Di samping itu juga, kita turut memiliki ratusan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).  Secara keseluruhan, kita mempunyai seramai hampir sejuta pelajar yang sedang menuntut di universiti.  Pada permukaan, angka ini melegakan semua orang dan seolah-olah menjawab persoalan tentang peluang untuk anak-anak kita mendapatkan pendidikan setelah tamat pengajian di peringkat sekolah.  Namun hati-hati.  Kelegaan itu sebenarnya menjerat persepsi kita semua.  Tidak perlu saya mengulas terlalu panjang, cukuplah saya simpulkan bahawa situasi tumbuhnya institusi-institusi ini sebenarnya bukanlah untuk membuka peluang belajar kepada anak-anak yang cerdik sebaliknya adalah peluang untuk membuat keuntungan dari keperluan masyarakat.  Ramai yang menganggap, kenyataan ini hanya berkesan kepada kewujudan IPTS yang diakui mengaut keuntungan jutaan ringgit dari poket-poket ibu bapa dan pelajar yang sanggup membayar mahal, namun kita lupa tentang kewujudan lintah darat PTPTN yang menguasai pelajar dari IPTA-IPTA seluruh Negara.
Bagaimana menteri yang tidak hormat siswa dilantik jaga universiti?

Persepsi umum menganggap, IPTA kononnya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, dan PTPTN adalah satu rahmat yang harus disyukuri oleh semua hamba rakyat.  Namun tidak disedari bahawa, IPTA yang kononnya adalah institusi awam sebenarnya telah lama diswastakan!  Fakta mudah untuk diketahui oleh semua orang adalah; PTPTN tidak lagi menerima suntikan dana dari kerajaan, sebaliknya terus-menerus bergantung kepada pusingan keuntungan yang tidak ada bezanya dengan bank-bank dagangan mahupun ceti-ceti haram dan halal yang beroperasi dalam Negara kita.  Memakan hasil keuntungan dari faedah dan riba, yang diperah melalui titik peluh graduan yang telah berkerja.  Maka yang demikian, adalah tidak adil buat kita untuk mengatakan bahawa PTPTN adalah satu bentuk amal jariah yang disediakan oleh kerajaan kita untuk pelajar-pelajar yang menuntut di universiti.  PTPTN hanyalah ceti yang dilesenkan oleh kerajaan untuk menabur hutang kepada pelajar tanpa rasa bersalah.  Alangkah terkejutnya bila kita selama ini seolah-olah tidak menyedari bahawa pemberian hutang sebegini adalah amalan yang seharusnya ditentang sejak dulu lagi.  Menjadikan anak-anak mahasiswa sebagai hamba kepada PTPTN hanyalah menghina kegigihan mereka yang menuntut ilmu dan sekaligus, menjadikan mereka sebahagian lagi anggota masyarakat yang akan terus menjadi hamba kepada pemodal kaya.

Dengan wujudnya sistem PTPTN ini juga, sekaligus menjadikan ilmu sebagai barang dagangan, bukan lagi entiti suci yang diangkat tinggi dalam kalangan masyarakat.  Alangkah hinanya apabila ilmu menjadi barang dagangan, sedangkan kemuliaannya itu melebihi wang kertas.  Ilmu sebenarnya tidak mampu dan tidak mungkin boleh diletakkan tanda harga seperti ayam dan sayur di pasar.

Apabila muncul perdebatan dan tawaran mengenai pendidikan percuma oleh orang-orang politik, saya melihat situasi ini sebenarnya mula membuka topeng-topeng pemain politik Negara.  Saya terus percaya dan optimis bahawa pendidikan sawajibnya percuma di semua peringkat, yang menggelikan hati adalah kenyataan oleh bapak-bapak menteri dan politikus-politikus yang menentang idea pendidikan percuma ini.  Lihat sahaja kenyataan Menteri Pengajian Tinggi yang terus-menerus mendakwa pendidikan percuma tidak relevan, mengurangkan kompetensi antara pelajar, serta merugikan kerajaan.  Bagaimana kita boleh melantik orang yang tidak menghormati mahasiswa sebagai menteri yang menjaga universiti?  Beliau dengan mudahnya menganggap bahawa pendidikan percuma melemahkan daya saing mahasiswa.  Andai sahaja beliau mampu sedar bahawa bukan wang ringgit yang jadi ukuran terhadap daya saing pelajar, sebaliknya adalah minat dan keghairahan menuntut ilmu itu sendiri yang menjadi tanda aras persaingan antara mahasiswa.  Tidakkah mahasiswa rasa terhina dengan kenyataan bapak menteri ini yang seolah-olah menganggap pelajar berusaha mendapatkan ijazah kelas pertama hanya untuk melepaskan diri dari hutang?  Pelajar bukannya Gladiator yang berlawan di tengah gelanggang orang kaya untuk melepaskan diri dari menjadi hamba.  Pelajar adalah penuntut ilmu yang mahu mengembangkan potensi diri.
Lupuskan hutang kroni untungkan kerajaan?
Tidak sah juga jika kita tidak melihat kepada kenyataan Perdana Menteri kita, Najib Razak yang juga berpendapat, membelanjakan wang yang besar untuk menanggung pendidikan di peringkat universiti adalah langkah yang merugikan kerajaan.  Saya mula tertanya-tanya, adakah melupuskan hutang kroni sebanyak RM589 juta itu langkah yang menguntungkan kerajaan?  Bagaimana pula perbelanjaan besar ketika beliau memegang portfolio pertahanan?  Tidak juga ketinggalan, komisyen-komisyen yang dihulur kepada orang-orang tengah dalam pembelian senjata yang memakan belanja hangus jutaan ringgit selama ini; adakah ini juga tidak merugikan kerajaan?  Mungkin membeli beg tangan dan barang kemas yang turut berjumlah jutaan ringgit buat isteri tercinta juga tidak merugikan beliau dan kerajaan beliau.  Akhir sekali, kenyataan Negara bakal bankrap yang dikeluarkan oleh Ibrahim Ali turut mencuit hati saya.  Tidaklah saya perlu mengulas panjang, cukuplah saya bertanya, adakah beliau telah lupa perjuangan beliau ketika zaman beliau bergelar mahasiswa dahulu?  Kenyataan dan kewujudan orang-orang politik seperti mereka ini saya kira lebih merugikan Negara dari memberi pendidikan percuma kepada rakyat.

Pendidikan percuma bukanlah amalan yang pelik dan asing dalam kalangan Negara-negara merdeka.  Tidak semestinya hanya Negara yang maju sahaja mampu menanggung pendidikan percuma buat rakyatnya.  Lihat kepada Negara seperti Venezuela.  Pendapatan perkapitanya hampir sama dengan Negara kita, mengapa mereka mampu untuk menyumbangkan dana yang besar kepada sektor pendidikan?  Bukan kemampuan ekonomi semata-mata yang menjadi pemangkin kepada idea pendidikan percuma, sebaliknya juga keinginan politik atau "political will" turut memainkan peranan.  Keengganan memberi pendidikan percuma buat rakyat Negara ini bukanlah kerana Negara tidak mampu.  Hujah mengenai Negara tidak mampu dari segi ekonomi boleh dibakul sampahkan dengan mudah jika kita menyedari bahawa Negara kita kaya hasil bumi.  Petronas sahaja mampu menyuntik puluhan billion, ditambah lagi dengan lain-lain sumber pendapatan Negara seperti FELDA, estet-estet getah, kuari-kuari bijih timah, besi, dan emas, lading-ladang tebu, sawit, dan sebagainya.  Sektor industri Negara juga bernilai billion ringgit.  Tidak mampukah kita menanggung pendidikan anak-anak mahasiswa?

Banyak lagi hujah dan analisa lebih terperinci untuk membuktikan bahawa pendidikan percuma bukan idea karut dan populis.  Pendidikan percuma mampu untuk dinikmati oleh semua orang.  Cuma yang menjadi penghalangnya bukanlah kemampuan ekonomi, sebaliknya adalah keinginan politik itu sendiri.  Ahli politik pasti mempunyai sebab sendiri dengan tidak bersetuju terhadap idea ini.  Kita tidak perlu mengusutkan otak untuk memikirkan sebab musabab dan punca keengganan mereka ini.  Tugas kita adalah menuntut hak yang seharusnya telah pun kita genggam sekian lama dahulu.  Pilihan raya telah dekat, dan ini adalah waktu terbaik untuk kita menuntut segala hak yang sekian lama dinafikan dari kita.

14 April ini, saya akan turun bersama rakan-rakan ke Dataran Merdeka bagi menuntut hak kita untuk mendapatkan pendidikan percuma.  Anda bagaimana?
*Adam Adli ialah aktivis mahasiswa, bergiat aktif dalam pertubuhan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan kini Bendahari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan