Jumaat, 6 April 2012

Cemas neno neno

Psipum.org - Amir (bukan nama sebenar), 5 tahun, seorang budak yang sangat nakal.

Hari ini Amir dan keluarga menikmati ikan masak kari yang sememangnya menjadi kegemarannya.

Amir pantang melihat makanan yang disukainya. Pasti akan dimakannya dengan gelojoh.

Kali ini sama seperti sebelumnya, gelojoh. Tiba-tiba Amir memegang lehernya. Ibunya melihat seperti dia tercekik sesuatu. Ibunya panik. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Beberapa ketika, Amir tidak sedarkan diri. Ibunya bertambah panik. Masih lagi tidak melakukan apa-apa.

Bagaimana pula sekiranya perkara ini berlaku kepada anda. Keluarga anda. Sememangnya setiap orang akan panik cuma yang membezakan jika seseorang mampu mengawal panik tersebut dan tahu apa yang dilakukan jika mengalami situasi tersebut. Kerana itu pentingnya untuk kita belajar bagaimana menangani hal-hal kecemasan seperti ini.

Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana sahaja. Cuma kali ini saya memberikan contoh di rumah dan juga kepada ibu bapa untuk menangani anak mereka sekiranya mereka mengalami situasi tersebut. Saya fokuskan kepada kanak-kanak kerana mereka lebih cenderung untuk mengalami kemalangan di rumah.

Konsep rawatan kecemasan bukan bermakna anda boleh lakukan sendiri tanpa mendapatkan bantuan. Tetapi ia adalah alternatif yang boleh anda lakukan sementara menunggu mendapatkan bantuan kecemasan. Tidaklah anda panik dan tidak melakukan apa-apa. Sekurang-kurangnya anda melakukan sesuatu.

Antara jenis-jenis kecemasan adalah seperti terjatuh, tercekik, kebakaran atau melecur, lemas dan juga keracunan.

Pertama sekali apa yang anda perlu lakukan adalah tenang. Tarik nafas dan hembus, fikirkan apa yang anda telah pelajari dan mula lakukannya.

1. Jika anak anda terjatuh.

Apabila anak anda terjatuh, anda mungkin ternampak bahagian badan yang terhentak tersebut mengalami bengkak dan kemerah-merahan. Ambil pek ais dan letakkan di bahagian yang mengalami bengkak tersebut. Perhatikan anak anda dengan teliti selama 24 jam selepas terjatuh atau apabila kepalanya terhantuk untuk mengenal pasti sebarang perubahan tingkah laku.

Jika anak anda tidak boleh menggerakkan bahagian yang tercedera, gunakan bahan keras dan kuat seperti kayu atau surat-khabar yang sudah digulung kemas untuk membuat anduh.

2. Jika anak anda tercekik.

Terdapat beberapa teknik untuk menangani masalah tercekik makanan. Jika anak anda masih lagi kecil sekitar berumur satu hingga dua tahun,pangku anak di atas lengan anda. Pastikan kepala anak menghadap ke bawah. Kemudian tepuk di bahagian belakang di antara tulang belikat. Disebabkan anak anda masih kecil, jangan tepuk belakang dengan terlalu kuat.

Teknik yang sama digunakan sekiranya anak anda besar sedikit sekitar berumur 3 hingga 4 tahun. Letakkan anak anda di atas peha dengan kepala menghadap ke bawah. Seperti meniarap atau dengan cara lain tundukkan mereka. Kemudian tepuk bahagian belakang di antara tulang belikat.

Jika tepukan tidak berhasil untuk anak yang sudah besar, gunakan tujahan abdomen (Heimlich Maneuvre). Lakukan seperti yang ditunjukkan di dalam video di bawah.


Ulang sehingga bahan yang menyebabkan anak anda tercekik keluar. Jika anak anda tidak sedarkan diri, kali ini anda perlu melakukan bantuan pernafasan (CPR).

3. Jika terkena air panas dan menyebabkan melecur ringan.

Apa yang perlu anda lakukan adalah dengan mengambil air sejuk dan tuangkan pada bahagian yang melecur. Pastikan pakaian yang dipakai ditanggalkan TETAPI jangan tanggalkan pakaian atau apa sahaja yang melekat dikulit. Ia sangat menyakitkan!

Selepas itu, tutup bahagian yang terbakar dengan kain yang bersih, ringan dan tidak berbulu. Kita tidak ingin luka tersebut terdedah dan menyebabkan jangkitan masuk ke dalam tubuh badan seterusnya menjadikan keadaan bertambah buruk.

4. Kebakaran atau melecur yang serius.

Dalam keadaan ini anda mesti mendapatkan bantuan kecemasan atau ambulans. Dalam masa tersebut, baringkan anak anda dan tutup bahagian terbakar dengan tuala yang telah direndam dengan air sejuk untuk menghentikan proses kebakaran.

Tidak perlu letakkan ais dibahagian yang terbakar, ianya boleh menyebabkan tisu tersebut menjadi rosak. Selepas beberapa ketika, alihkan tuala basah tersebut dan tutup bahagian yang terbakar dengan kain yang kering dan bersih.

Semasa menunggu kedatangan ambulans. Lakukan apa yang patut seperti memeriksa kadar pernafasan dan nadi setiap 10 minit.

5. Apabila terkena genjatan elektrik.

Tidak banyak yang boleh anda lakukan. Tutup aliran elektrik dengan serta-merta dan terus dapatkan bantuan ambulans.

6. Lemas ketika di bilik air.

Jika anda lihat anak anda tidak sedarkan diri, telefon ambulans dan lakukan bantuan pernafasan (CPR).

7. Apabila kulit terkena bahan kimia.

Curahkan bahagian yang terkena bahan kimia tersebut dengan air yang banyak.

8. Jika tertelan racun ataupun ubat.

Periksa pernafasan anak anda. Anda perlu bawa berjumpa dengan doktor kerana jika mereka tertelan racun mahupun ubat, ia akan mengganggu sistem dalam badan anak anda. Dan ia boleh memberikan kesan sampingan yang mungkin memudaratkan anak anda.

Bagaimana Untuk Melakukan Bantuan Pernafasan (CPR/ Cardiopulmonary Resuscitation)

Apabila anda mengalami situasi ini dalam apa-apa jenis kemalangan. Anda mesti lakukan bantuan pernafasan.

1. Apabila tiada tindak balas dan juga tidak bernafas.
2. Bernafas tetapi nampak sangat sukar untuk bernafas.
3. Bibir, jari-jari atau kulit menjadi biru.
4. Air liur meleleh atau kesukaran menelan sambil bernafas.
5. Terlalu pucat.


Secara asasnya:

1. Pastikan tiada bahaya berdekatan.
2. Telefon ambulans.
3. Gerakkan mangsa untuk melihat tindak balas, jika tiada tindak balas;
4. Periksa saluran pernafasan, rasa sama ada mangsa bernafas atau tidak.
5. Periksa denyutan nadi mangsa.
6. Jika tiada, mulakan teknik bantuan pernafasan.
7. Beri pernafasan melalui alat pernafasan atau mulut.
8. Tekan dada dengan menggunakan tapak tangan. Jika bayi gunakan jari.
9. Lakukan tekan dada sebanyak 30 kali diselangi dengan pernafasan mulut.
10. Lakukan selama yang boleh.

Pentingnya peti kecemasan

Setiap rumah seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu peti kecemasan supaya apabila terdapat kecedaraan ringan mahupun berat, peti kecemasan dapat digunakan.

Pastikan juga peti kecemasan tersebut lengkap dengan alat-alat yang diperlukan. Di dalam peti kecemasan semestinya mengandungi buku panduan untuk menggunakannya. Pastikan anda baca, faham dan tahu cara menggunakannya.

Disebabkan di dalam peti kecemasan tersebut mempunyai banyak ubat-ubat yang membahayakan, pastikan ia disimpan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

Banyak persoalan di dalam fikiran anda? Luahkannya di bahagian komen di bawah. Kami akan sedaya-upaya untuk menjawab persoalan anda.

Info dari: http://psipum.org 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan