KETIKA berbincang sesuatu dengan kawan-kawan sambil minum petang itu, seorang kawan menceritakan dia mendengar seorang ulama berkata di televisyen bahawa hari ini orang yang tinggal di bandar, yang berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan, sudah boleh dianggap sebagai miskin.
Ulama itu seorang yang terkenal. Tak perlulah saya sebut namanya. Bukan dia itu yang penting. Yang penting ialah pendapatnya itu. Dan pendapatnya itu penting kerana bukan dia seorang berpendapat begitu. Ramai lagi hari ini yang berpendapat begitu.
Maka saya pun segera menyanggah pendapat itu.
Pertamanya, nilai apa yang kita gunakan untuk mengukur seseorang itu miskin atau tidak miskin? Apakah kita gunakan nilai Islam? Oh, dia yang memberi pendapat itu seorang ulama, tentulah dia gunakan nilai Islam.
Ah, nilai Islam yang mana tu? Apakah sumber rujukannya? Saya selalu merujuk kepada sirah Nabi s.a.w. Memang, nilai RM3,000 sekarang itu tidak boleh dibandingkan dengan nilai pada zaman Nabi. Tetapi merujuk kepada sirah Nabi bukanlah bermaksud membandingkannya dengan cara begitu.
Saya mengatakan kepada kawan-kawan petang itu: Apakah pada zaman Nabi dan para sahabatdulu mereka membincangkan soal kemiskinan itu sepertimana kita membincangkannya hari ini? Maksudnya, apakah isu kemiskinan itu diberi perhatian penting oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, sepertimana kita hari ini memberi perhatian penting terhadap isu itu?
Nabi Muhammad s.a.w. sendiri – apakah dia seorang yang termasuk dalam kategori orang miskin, atau orang kaya, atau orang yang berpendapatan sederhana? Atau apakah perkara itu sesuatu yang penting diketahui apabila kita mempelajari Islam dalam hal atau bab mengenai kisah hidup Rasulullah s.a.w.?
Seingat saya itu bukanlah satu perkara yang penting. Soal Nabi Muhammad itu seorang yang miskin atau seorang yang kaya bukanlah suatu topik yang menjadi perbincangan dalam mempelajari dan memahami agama Islam.
Begitu juga dengan para sahabat Rasulullah. Kalau pun ada disebut bahawa sahabat ini seorang yang kaya dan sahabat itu seorang yang mempunyai banyak harta, ia disebut begitu sahaja, bukan sebagai suatu isu yang penting dalam kehidupan masyarakat Islam.
Kalau diukur mengikut nilai dan analisis hari ini, Nabi Muhammad s.a.w. itu tentulah seorang yang bukan sahaja miskin, tetapi fakir atau miskin tegar. Selalu sahaja dalam keadaan lapar kerana tidak cukup makanan. Periuk di dapurnya selalu sahaja tak berasap. Begitu juga dengan kebanyakan para sahabat.
Diriwayatkan misalnya baginda Rasulullah s.a.w. bersama dengan para sahabat sedang bekerja menyangkul dan mengorek parit sebagai persiapan untuk strategi suatu peperangan. Mereka dalam keadaan perut lapar kerana tiada makanan. Tiba-tiba datang berita seorang sahabat menjemput mereka ke rumahnya untuk makan.
Berita itu menjadi satu berita yang sangat menggembirakan mereka.
Maknanya apa? Maknanya kemiskinan bukan satu isu penting.
Rasulullah s.a.w. tidak pernah menjadikan kemiskinan sebagai satu isu penting yang perlu beliau tunjukkan langkah-langkah yang patut dibuat bagi mengatasinya.
Kemiskinan bukan isu. Dan ia tidak perlu diangkat sebagai isu untuk diberi perhatian oleh para pemimpin dan pentadbir.
Kemiskinan hanya satu masalah kecil yang akan selesai dengan sendirinya apabila isu-isu atau masalah-masalah lain yang lebih penting, telah diberikan perhatian yang sewajarnya.
Hal ini telah terbukti menjadi satu dasar dalam perjuangan Rasulullah s.a.w.. Mengangkat taraf ekonomi orang-orang miskin bukanlah agenda perjuangan baginda dan para sahabat. Bacalah dan kajilah sirah kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.
Banyak lagi isu dan perkara yang diperjuangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hidupnya. Bukan isu kemiskinan dan bagaimana membasmikan kemiskinan. Ada banyak isu lain yang lebih penting. Namun saya tidaklah hendak membicarakan apakah isu-isu penting itu di sini.
Saya sekadar mengatakan bahawa kita tak usahlah mengangkat perkara-perkara yang tidak penting menjadi agenda penting. Kita janganlah memberi perhatian yang lebih kepada perkara yang tidak perlukan perhatian demikian. Kita hendaklah memperbetulkan fokus kita.
Tidak semua perkara yang dianggap penting oleh orang lain itu kita juga mesti menganggapnya penting. Demikian jugalah tak semua perkara yang tak dianggap penting oleh orang lain itu kita juga mesti menganggapnya tak penting. Amalan riba misalnya sangat penting dalam sistem kewangan kapitalis, tetapi ia sama sekali tak diperlukan dalam sistem ekonomi Islam, bahkan Islam mengharamkan amalannya.
Tetapi kita pula teragak-agak untuk membasmikannya dalam praktik sistem kewangan negara kita.
Demikian juga amalan rasuah dan salahguna kuasa. Kita mengakuinya haram, tetapi kita tidak bersungguh-sungguh berusaha bagi menghapuskannya.
Kita lebih mengutamakan usaha pembasmian kemiskinan daripada usaha pembasmian rasuah dan salahguna kuasa.
Perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabat adalah dipenuhi dengan kerja-kerja perjuangan bagi menegakkan kebenaran dan keutuhan syariat Islam; hingga soal kemiskinan tidak pernah sempat timbul menjadi isu. Bandingkanlah itu dengan perjalanan hidup kita hari ini. Betapa jauhnya kita telah tersasar dan menyeleweng daripada landasan Islam yang telah diletakkan dengan jelas sejelasjelasnya oleh Rasulullah s.a.w. itu.
Dan dengan mengatakan kemiskinan itu bukan isu dan bukan agenda penting dalam perjuangan Islam, saya sama sekali tidak mengatakan bahawa Islam tidak ada tanggungjawab untuk membantu golongan miskin. Di sana ada sistem zakat, di sana ada pengharaman riba, di sana ada galakan bersedekah, di sana ada Baitulmal, wakaf dan sebagainya.
Kita sepatutnya menghormati, memuliakan dan menghayati cara hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Perjalanan hidup mereka itulah ikutan kita. Jangan terikutikut cara orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan