Rasulullah SAW bersabda :
“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia berkata baik atau diam.” HR. Muttafaq alaih
Saya ingin berkongsi sedikit tentang 'Bahaya Lisan', sebuah topik yang saya kupas semasa program MABIT UniMAP di Kolej Kediaman Wang Ulu.
Lidah anugerah Allah kepada kita untuk berkomunikasi tetapi sering disalahgunakan untuk mengeluarkan perkataan yang mendatangkan keburukan seperti berdusta, menyebar fitnah dan bermaksud jahat yang membawa menjatuhkan maruah orang lain, apatah lagi kalau sesama Muslim.
Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua biji mata, lidah dan dua bibir. Dan Kami menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebajikan dan jalan kejahatan).” Surah al-Balad: ayat 8-10
Apakah di antara kesan tidak menjaga tutur-kata ?
1-Fakta yang tidak betul dan menanggung dosa
2-Perkataan tersebut menebabkan saudara Muslim berkecil hati
3-Ukhuwah di kalangan umat Islam tercalar
4-Menyukarkan usaha-sama di kalangan umat Islam
5-Fitnah boleh menyebabkan perpecahan dan huru-hara
6-Nilai peradaban di kalangan umat Islam terkikis dan akan menyebar-luaskan dosa di kalangan umat
7-Kejayaan dan gembiraan di pihak musuh
Apakah contoh bahaya lisan/afatul lisan?
1. Berbicara sesuatu yang tidak perlu
2. Berlebihan dalam berbicara
3. Pertengkaran
4. Berkata keji dan caci maki
5. Ghina’ (nyanyian) dan Syi’r (syair) yg mendatangkan kemaksiatan
6. Bergurau yang berlebihan
7. Menyebarkan rahsia
8. Berbohong dalam berbicara dan sumpah
9. Ghibah (Bergunjing) / mengumpat
10. Pujian yang berlebihan
Elok kita berhati-hati dalam percakapan sehari-harian. Jika dikhuatiri tidak elok dan mungkin memudaratkan, lebih baik kita berdiam diri. Ini akan mengelakkan diri daripada menanggung dosa dan bagi mengelakkan orang lain terasa hati. Lebih buruk lagi jika ada orang tengah silap mendengar dan kemudian menyebarkannya.
Bak kata pepatah:´Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya´.
Lidah juga boleh menjadi alat penyebaran fitnah dan mengadu domba yang boleh menyebabkan perpecahan dan huru-hara.
Allah mengingatkan kita dengan firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.”
Kita tidak mahu termasuk di kalangan mereka yang dicelakakan oleh Allah swt sebagaimana maksud firmanNya: “Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat dan pencela.” (Surah al-Humazah: 1)
Hanya orang yang berpekerti buruk akan melahirkan perkataan buruk walaupun berwajahkan seorang yang soleh. Orang yang cerdik tidak akan sekali-kali mengeluarkan perkataan buruk (secara sengaja atau telah menjadi tabiatnya) yang secara langsung melambangkan keburukan dirinya sendiri.
Jadi saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri (terutamanya), keluarga, akhwat wa ikhwah, teman-teman serta semua kenalan agar membudayakan sikap menjaga lidah.
Semoga terus istiqomah dalam kebaikan. Pandu kami ya Allah....
"Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. "
(An-Nur:24)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan