di antara perkara yang perlu diingat sebagai ketua ialah keadaan timbal-balik. Seandainya kita mahu staf kita lakukan sesuatu perkara itu, kita mesti peka bagaimana jika kita sendiri yang melakukan tugas itu. Sebaliknya, jika kita tidak mahu staf kita melakukan sesuatu itu, kita juga tidak boleh melakukan perkara itu.
Perkara pertama ialah pembawaan seseorang ketua. Jika dia tidak suka kepada staf yang besar kepala, dia juga tidak boleh menjadi bos yang besar kepala. Ada staf yang engkar secara diam-diam, melawan kata tanpa hujah munasabah dan degil bila mengulangi kesilapan. Mereka ini harus ditegur dengan lisan, dengan tulisan dan dengan hukuman.
Tidak patut memarahi anak buah dengan cara menengking-nengking atau membaling kertas kerja atau laporan staf yang tidak menepati kehendaknya. Ketua juga tidak boleh berkata kepada anak buahnya, apa yang diputuskannya itu tidak boleh dipersoalkan kerana dia bos. Itu sikap ketua yang besar kepala namanya. Bos yang besar kepala itu lebih teruk daripada orang bawahan yang besar kepala.
Perkara kedua ialah apabila berdepan dengan staf yang cuba memijak kepala ketuanya dengan berpura-pura baik, berkomunikasi dengan ketuanya seperti seorang kawan, tetapi sebenarnya melakukan tindakan yang menyalahi peraturan syarikat. Staf yang berpakat menolak ketua secara halus dengan mengadakan konspirasi dengan staf lain untuk memboikot arahan ketua juga patut menerima tindakan.
Dalam pada itu, ketua pula tidak boleh memijak kepala stafnya. Dia perlu adil dalam memberi arahan dan tugasan. Tidak boleh memerintah staf menyiapkan sesebuah laporan pada tempoh masa yang dia sendiri tidak boleh lakukan. Tidak boleh memberi tugas yang bertimpa-timpa sedangkan dia sendiri tidak mahu diperlakukan sedemikian.
Perkara ketiga ialah jika seseorang ketua itu terkilan kerana stafnya tidak mempunyai pengetahuan dalam sesuatu bidang tugasnya, dia perlu melengkapkan dirinya dengan pengetahuan yang tidak diketahui oleh stafnya itu. Seseorang ketua mesti tahu apa yang stafnya tahu. Sebaliknya, stafnya tidak semestinya tahu apa yang dia tahu. Pendek kata, ketua sudah semestinya lebih pandai daripada stafnya.
Ketiga-tiga perkara yang diperkatakan itu kesemuanya berkaitan dengan sikap. Sikap adalah soal hati dan hati pula adalah soal semangat. Sesebuah organisasi itu wujud, berdiri dan bergerak dalam satu pasukan kerana semangat. Dalam bahasa motivasi; team spirit atau esprit de corps. Ketua sebagai pembawa obor pasukannya perlu ada semangat.
Tanpa semangat, segala keputusan syarikat akan diputuskan tanpa roh organisasinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan