Ahad, 28 Julai 2013

ithar

a.
Mencari-cari kisah di dalam kitab Hayatussohabah (kehidupan para sahabat رضي الله عنهم) untuk diterjemahkan & dikongsikan di sini. Akhirnya saya jumpa kisah ini. Walaupun ianya kisah yang seringkali didengar, namun setiap kali baca tentangnya seolah-olah itu kali pertama baca. Kisahnya benar-benar hidup, Allahu Robbi 
------------------------------------

Seorang lelaki yang sangat berhajat & dalam kesusahan telah datang menemui Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Lalu Baginda صلى الله عليه وسلم menyuruhnya ke rumah isteri-isterinya.

Kesemua isteri Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberitahu hal yang sama: "Demi yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak punya apa-apa (makanan) kecuali hanya air sahaja."

Akhirnya Baginda صلى الله عليه وسلم berkata: "Siapakah yang mahu menjadikan lelaki ini sebagai tetamunya untuk malam ini, semoga Allah merahmatinya."

Maka seorang lelaki daripada kalangan Ansar bangun & berkata:"Aku wahai Rasulallah."

Lelaki Ansar رضي الله عنه itu pun membawa tetamu tersebut ke rumahnya. Tiba di rumah, dia bertanya isterinya: "Ada sesuatu yang boleh dimakan tak?". Isterinya رضي الله عنها menjawab: "Tidak ada. Jika ada pun, sedikit makanan buat anak-anak kita."

Lelaki Ansar berkata lagi: "Lengahkan mereka dengan sesuatu, bila mereka mahu makan malam maka kamu tidurkanlah mereka. Bila je tetamu kita ini masuk untuk makan bersama, kamu padamkan sahaja pelita itu agar dia menyangka kita juga makan bersamanya."

Abu Hurairah رضي الله عنه menyambung kisah ini.

Mereka pun makan bersama pada malam itu. Seorang kenyang (tetamu) manakala dua orang lagi (suami isteri) itu tidur dalam kelaparan.

Apabila menjelang pagi keesokan harinya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata: "Sesungguhnya Allah kagum dengan layanan kalian berdua terhadap tetamu semalam."

Ditambah di dalam riwayat yang lain sehingga turun ayat ini, al-Hasyr: 9.

"Mereka itu mengutamakan orang lain daripada diri mereka sendiri walaupun mereka juga memerlukannya ketika itu."

Jilid 2, m/s: 264.
-------------------

*Itulah didikan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Menanamkan rasa ITHAR (mengutamakan orang lain) di dalam diri para sahabatnya. Ia berjaya kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri insan yang paling mengutamakan orang lain.

Sahabat, jom kita berusaha mencontohi akhlak ini. Semoga kita dapat bertemu dengan mereka kelak di samping Baginda صلى الله عليه وسلم, amin. Salawaaaat ...

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Tiada ulasan:

Catat Ulasan